PEMANDANGAN di kota Tarim, Hadramaut, Yaman.
Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my


KOTA Tarim di Hadramaut, Yaman antara tempat bersejarah lagi diberkati. Ia terkenal sebagai ‘Kota Seribu Wali’ kerana menjadi tempat berkumpulnya wali Allah.

Malah, masyarakat di kota itu juga dirahmati dengan kebaikan serta perilaku mulia kerana memiliki darah keturunan Nabi Muhammad SAW.

Rasulullah SAW menceritakan berkenaan Yaman menerusi sabdanya yang bermaksud: “Telah datang ahli Yaman, mereka adalah orang yang selembut-lembut hati dan selembut-lembut sifat, iman itu di Yaman dan fiqh itu di Yaman dan hikmah juga di Yaman.” (Hadis riwayat Muslim)

Selain itu, kota Tarim juga dikenali sebagai ‘al-Ghanna’ bererti tempat yang sangat subur dan makmur.

Berkat doa Khalifah Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang pernah menyatakan, apabila beliau bermimpi memasuki kota Tarim, maka keesokan harinya hatinya berasa bahagia.

Kebahagiaan itu dirasakan selama tiga hari. Apabila beliau berziarah ke kota itu, kebahagiaan itu beliau rasakan selama tujuh hari tujuh malam.

ERA Adlina bersama suami, Mohd Hamizane Mohd Ariffin dan anaknya ketika menziarahi sekitar makam Imam Ahmad Muhajir di kota Tarim.

Ramai golongan salafus soleh menyebut kota Tarim sebagai ‘Madina As-Siddiq’. Ia disebabkan Saidina Abu Bakar pernah bersumpah setia kepada penguasa Tarim pada masa itu bernama Ziyad bin Lubaid Al-Anshari serta penduduknya.

Sumpah setia itu menjadi jaminan kemakmuran, kesuburan tanah dan sumber airnya serta Allah SWT memberkati Tarim dengan ramainya ulama serta wali Allah yang soleh.

Bagi Era Adlina A Kadir, pengalamannya berkunjung ke kota Tarim pada tahun lalu cukup istimewa kerana dapat merasai sendiri keistimewaan berada di bumi yang diberkati itu.

Menurutnya, dia bersama keluarga serta sahabat berkelana ke bumi Yaman selama 11 hari.

“Kami dapat rasakan rahmat dan kurniaan Allah SWT tidak putus-putus mencucuri bumi barakah itu. Bagi kaum wanita yang mahu ke bumi Yaman, mereka perlu memakai niqab, jubah dan stoking berwarna hitam.

“Mereka sangat menjaga aurat. Pernah sekali ada peserta Muslimah terlupa hendak memakai niqab selepas mengambil wuduk, mereka terus mengingatkan untuk memakainya. Itu antara adab yang perlu dipatuhi ketika ziarah.

“Sebab itu, di sana jika tidak memakai niqab ia menjadi satu kesalahan yang memalukan bagi kaum wanita,” katanya.

Era Adlina berkata, perjalanan mereka bermula dengan niat dan tujuan supaya semua perkara yang dilakukan diberkati Allah SWT.

“Kami diingatkan untuk menjauhi percakapan sia-sia, menjaga adab dan hati serta sentiasa berbaik sangka.

MASJID Imam Umar Al-Muhdhor adalah masjid agung yang menjadi kebanggaan penduduk kota Tarim.

“Sepanjang berada di sana, kami sempat menziarahi makam nabi dan wali antaranya Nabi Imran AS dan Nabi Ayub AS, Al-Imam Muhammad Shohib Mirbath, Sayyidunal Imam Al Faqih Al Muqaddam Muhammad bin Ali bin Muhammad Shahib Mirbat, Al-Imam Ahmad Al-Muhajir dan ramai lagi,” katanya.

“Seorang ulama, Sheikh Abdul Rahman As-Segaf menyatakan, di kawasan pemakaman Zanbal di kota Tarim itu bersemadinya lebih 10,000 tokoh aulia.

“Tidak jauh dari makam Zanbal terletak makam 70 sahabat Rasulullah SAW yang pernah bersama Baginda SAW ketika Perang Badar.

“Apabila berpeluang menziarahi makam anbiyak dan aulia itu, kami diingatkan mengenai kehidupan dunia yang sementara.

“Alam kubur adalah fasa pertama kehidupan sebenar bermula. Satu persoalan besar yang dipelajari ketika kembara itu adalah semua nabi dan rasul yang diutuskan ke muka bumi ini menyebarkan ilmu menyuruh manusia mengakui hanya Allah SWT sebagai Tuhan yang berhak disembah dan beribadat kepada-Nya,” katanya.

Menurutnya, setiap manusia memegang amanah yang sangat berat dan mereka memilih dihantar ke dunia ini untuk menerima ujian Allah SWT.

“Sedangkan bukit dan langit tidak mahu terima amanah itu kerana takut tidak lepas ujian di dunia. Syahadah adalah penyaksian dan bukan semata-mata ucapan.

“Dunia ini adalah perjalanan hati untuk mengenali Allah SWT. Akhirnya kita menanti saat pertemuan dengan-Nya.

Allah SWT pilih kita untuk melakukan kebaikan sebab Allah tahu hamba-Nya ada keinginan dan semangat itu,” katanya.

PEMANDANGAN di sekitar kawasan makam Nabi Hud AS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 8:39 AM