GAMBAR Hiasan
Nor Asree Mohd Noh

Pemberian nama amat penting kepada setiap individu. Nama juga dikatakan sebagai tarbiah awal kepada seseorang sebagaimana ibu bapa menamakan anaknya yang baru dilahirkan.

Sejak akhir-akhir ini, ada trend memilih nama bayi yang panjang sehingga melebihi tiga perkataan yang terhasil selepas menggabungkan idea daripada ahli keluarga.

Segelintir masyarakat pula melihat tokoh tertentu untuk dijadikan nama anak masing-masing.

Harus bagi kita untuk meletakkan apa sahaja nama bagi anak selagi ia tidak termasuk dalam perkara yang dilarang agama.

Setiap ibu bapa perlu berhati-hati ketika memilih nama anak kerana dibimbangi nama yang dipilih itu membawa makna buruk atau mempunyai unsur syirik kepada Allah SWT.

Selain itu, kemungkinan nama itu tidak mendapat penerimaan adat masyarakat setempat sehinggakan ia menjadi bahan ejekan.

Nama seseorang itu sama ada baik atau buruk akan merujuk kepada bahasa tertentu. Islam tidak mengehadkan umatnya hanya meletakkan nama dalam bahasa Arab sahaja.

Sebagai contoh, ada ibu bapa ingin menamakan anak mereka dengan nama Melayu klasik seperti Lanang (laki-laki), Kesuma (bangsawan), Antun (anggun) dan lain-lain, maka ia diharuskan kerana nama itu bermaksud baik.

Nama yang dipilih daripada bahasa selain Arab turut dibenarkan dalam agama selagi ia baik dan tidak menunjukkan makna mensyirikkan Allah SWT.

Paling utama dalam fiqah ketika menamakan anak ialah nama yang memberi makna baik walaupun dalam apa-apa bahasa sekali pun.

Sejak dahulu, orang Melayu Islam begitu gemar menamakan anak mereka dengan nama Arab.

Namun, ada kalanya nama itu bukan sahaja tidak mengikut tatabahasa yang betul, malah membawa makna salah pada sudut pandang Islam.

Contohnya, nama Sharr al-Bariyyah. Kemungkinan besar, ada segelintir ibu bapa terlalu ghairah untuk mencedok kalimah al-Quran untuk dijadikan nama.

Walhal, ia perlu diselidiki terlebih dahulu dari segi makna kerana ada juga kalimah atau nama merujuk kepada makna tidak baik seperti Sharr al-Bariyyah iaitu seburuk-buruk makhluk.

Ada segelintir orang Melayu suka menamakan anak mereka dengan Zana dan Wati.

Jika lafaz itu dirujuk kepada kamus Arab, maka kedua-dua perkataan itu menggambarkan makna yang tidak baik iaitu zina (zana) dan bersetubuh (wati).

Dalam masyarakat Arab pula, kita biasa menjumpai nama seperti ‘Abd al-Nabiy (hamba nabi), ‘Abd al-Rasul (hamba rasul), ‘Abd al-Manaf (hamba manaf) dan lain-lain.

Nama menggunakan lafaz ‘abd (hamba) hanya boleh disandarkan kepada Allah SWT sahaja seperti ‘Abdullah (hamba Allah), ‘Abd al-Rahman (hamba Maha Pemurah) dan sebagainya.

Sebahagian sarjana Islam, antaranya Imam al-Nawawi berpendapat, jika seseorang dinamakan dengan nama yang buruk, tambahan pula ia mensyirikkan Allah, maka wajib dia mengubahnya.

Justeru, ibu bapa perlu teliti dan berhati-hati sebelum memberikan sesuatu nama.

Oleh itu, menjadi keutamaan kepada ibu bapa untuk membuat sedikit kajian mengenai nama yang dipilih seperti merujuk kamus atau buku yang diperakui bagi memastikan makna nama itu baik dan sesuai.

Ibu bapa juga boleh merujuk kepada orang yang lebih alim dan bertanyakan pandangan daripada mereka.

Menurut Sheikh Bakar Abu Zayd dalam bukunya Tasmiyah al-Mawlud, amalan salafus soleh terdahulu, apabila dikurniakan anak mereka akan membawa anak itu kepada Nabi Muhammad SAW untuk dinamakan.

Itu menandakan ibu bapa digalakkan untuk bertanyakan kepada seseorang yang berpengetahuan terlebih dahulu untuk dilihat kesesuaian makna nama yang dipilih itu.

Boleh juga merujuk ahli bahasa Arab sebelum menamakan anak. Jika nama itu dinisbahkan kepada bahasa lain yang bukan bahasa ibunda ibu bapanya, maka dengan merujuk kepada pakar bahasa, itu adalah lebih baik.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka bertanyalah kamu kepada ahlu zikr (ahli bidang) jika kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Anbiya’, ayat 7)

Penulis pensyarah Fakulti Bahasa dan Pendidikan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 8:43 AM