GAMBAR hiasan.
Qira’ah Fatwa

BENARKAH bersiul dilarang dalam Islam kerana amalan itu dikaitkan dengan orang Musyrikin Quraisy?

Allah SWT menyatakan dengan jelas antara tatacara ibadat yang dilaksanakan oleh Musyrikin Makkah ialah dengan cara bersiul dan bertepuk tangan seperti dinyatakan dalam ayat 35, Surah al-Anfal yang bermaksud: “Dan tiadalah sembahyang mereka di sisi Baitullah itu melainkan bersiul-siul dan bertepuk tangan. Oleh itu rasalah kamu (wahai orang kafir) akan azab seksa dengan sebab kekufuran kamu.”

Menurut Imam al-Jassas, siulan dan bertepuk tangan dinamakan solat bagi mereka kerana kedua-duanya dilakukan sebagai pengganti kepada doa dan tasbih. Dan dikatakan juga bahawa mereka bertepuk tangan dan bersiul sewaktu sedang beribadah. (Rujuk Ahkam al-Qur’an 3/76)

Jelas, bersiul dan bertepuk tangan sewaktu beribadat adalah satu perbuatan haram kerana menyerupai perbuatan orang kafir Quraisy.

Jika bersiul di luar ibadat seperti nyanyian, gurauan dan sebagainya, maka ulama menyatakan pandangan mereka seperti berikut:

• Bersiul adalah dilarang

Ia adalah pandangan ulama al-Lajnah al-Da’imah bahawa bersiul itu dilarang kerana ia tradisi kaum jahiliah dan sebahagian daripada akhlak yang buruk. (Rujuk Fatawa al-Lajnah al-Daimah 26/390)

Diriwayatkan juga daripada Ibn ‘Abbas, bersiul adalah antara akhlak kaum Nabi Lut AS. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir 6/276)

• Bersiul hukumnya makruh

Ia dinyatakan oleh Ibn Muflih yang menukilkan pandangan daripada Syeikh Abd al-Qadir. (Rujuk Al-Adab al-Syar’iyyah 3/375)

Ini juga pandangan Syeikh Ibn ‘Uthaimin yang menyatakan, beliau tidak suka akan perbuatan bersiul dan menyebutnya sebagai makruh zatiyyah bukan makruh dari sudut syarak.

Namun, beliau sendiri mengakui tidak mempunyai dalil jelas untuk menyokong pandangannya itu. (Rujuk Liqa’at Bab al-Maftuh, 4/119)

• Bersiul hukumnya diharuskan

Ia adalah mafhum daripada pandangan ulama tafsir seperti Muhammad al-Amin al-Syanqiti dan Muhammad al-Tohir ibn ‘Asyur yang mengikat celaan Allah SWT terhadap siulan kaum kafir Quraisy atas sebab niat mereka untuk menghalang umat Islam daripada solat dan membaca al-Quran dengan cara bersiul di Masjid al-Haram. (Rujuk Adhwa’ al-Bayan 2/162 dan Al-Tahrir wa al-Tanwir 9/339)

Kesimpulannya, kami menyatakan bersiul sekadar untuk hiburan dan suka-suka tanpa sebarang niat untuk meniru perbuatan kafir Quraisy atau kaum Nabi Lut, hukumnya diharuskan.

Ini kembali kepada kaedah penting dalam fiqh iaitu hukum asal bagi setiap perkara (mu’amalah) adalah harus, sehingga ada dalil yang mengharamkannya.

Ulama yang mengharamkannya pula adalah kerana ia disebut di dalam al-Quran sebagai perbuatan ibadat kaum kafir Quraisy meskipun tiada lafaz atau dalil yang jelas mengharamkannya jika dilakukan bukan dengan niat beribadat.

Namun demikian, keharusan itu adalah dengan syarat ia tidak digunakan pada tempat salah seperti bersiul untuk menarik perhatian wanita, mengejek dan menyerupai orang fasik.

Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 8:46 AM