MASJID Nabawi yang dibina Rasulullah di Madinah menjadi saksi perjuangan gigih Nabi Muhammad SAW menyebarkan agama Islam di Tanah Arab. GAMBAR hiasan
Fatimah Syarha Mohd Noordin
am@hmetro.com.my


CARA kita merancang strategi menghadapi kesusahan mungkin menjadi inspirasi kebangkitan dalam hidup orang lain.

Menjenguk kisah kejayaan dakwah Nabi SAW di Madinah, bukan sedikit kesusahan yang dialami ketika berada di Makkah.

Allah SWT menjanjikan: “Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam).

Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jua kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj, ayat 40-41)

Berikut antara strategi Nabi SAW di Madinah iaitu:

1. Membina masjid

Begitu besar peranan masjid. Ia menjadi asas pembinaan masyarakat Islam, menghidupkan jiwa dan medan penyatuan. Pertemuan demi pertemuan di masjid membina taaruf. Ia seterusnya memupuk ukhuwah dan kasih sayang sehingga wujud persefahaman.

Kemudian, terbentuklah komuniti yang bantu- membantu ke arah kebaikan dan ketakwaan. Kerjasama itu menyelesaikan banyak masalah. Hebatnya fungsi masjid di Madinah pada zaman itu bukan sahaja menjadi tempat ibadat, bahkan ia bagaikan ‘hotel’ tempat berlindung bagi mereka yang tiba di Madinah dan tiada tempat tinggal.

Masjid juga menjadi tempat perbincangan pelbagai isu ukhrawi dan semasa. Bahkan, masjid ibarat tentera kerana strategi perang juga dibincang di situ. Sememangnya, tentera Islam mencari kekuatan di masjid sebelum bergerak menyertai Ghazwah atau Sariyyah.

Masjid turut menjadi tempat tawanan perang yang musyrik bagaikan penjara yang mendidik. Di situ, mereka mendapat dakwah secara hikmah apabila berpeluang melihat keindahan cara hidup orang Islam yang sangat mencintai Tuhannya dan menjaga kasih sayang sesama mereka.

Selain itu, masjid berfungsi seperti hospital apabila menjadi tempat merawat tentera Islam yang cedera ketika berperang dalam khemah khas yang didirikan.

Siapa tidak kenal khemah Rafidah yang terkenal dalam peperangan ahzab. Masjid menjadi seperti pusat pentadbiran di mana perwakilan luar mencari masjid untuk mengunjungi Baginda Nabi SAW.

2. Mempersaudarakan kaum Ansar dengan Muhajirin

Penyatuan hati Ansar dan Muhajirin meringankan bebanan ekonomi dan sosial dihadapi golongan muhajirin yang terpaksa meninggalkan harta dan tanah air demi bersama seruan Nabi SAW.

Ia juga menautkan rasa cinta golongan Ansar kepada golongan Muhajirin yang sehelai sepinggang bagai melayani kaum kerabat sendiri. Itulah mahalnya rasa persaudaraan.

Ibn Hisham menyenaraikan antara sahabat yang dipersaudarakan oleh Rasulullah SAW. Abu Bakar dipersaudarakan dengan Kharijah bin Zuhayr.

Seterusnya, Ja’far bin Abi Talib dengan Mu’adh bin Jabal, ‘Umar bin al-Khattab dengan ‘Utban bin Malik, Abu ‘Ubaydah bin ‘Abd Allah dengan Sa’d bin Mu’adh, al-Zubayr bin al-‘Awwam dengan Salamah bin Salamah, ‘Abd al-Rahman bin ‘Awf dengan Sa’d bin al-Rabi’ dan Uthman bin ‘Affan dengan ‘Aws bin Thabit.

Selain itu, Talhah bin ‘Ubayd Allah dengan Ka’b bin Malik, Sa’d bin Zayd dengan Ubay bin Ka’b, Mus’ab bin ‘Umayr dengan Abu Ayub Khalid bin Zayd, ‘Ammar bin Yasir dengan Hudhayfah bin Yaman dan juga Abu Hudhayfah bin ‘Utbah dengan ‘Abbad bin Bishr.

Kasih sayang sesama mereka sampai tahap sanggup mewariskan harta sendiri. Namun, Allah SWT memperbetulkan keadaan dengan firman-Nya yang menunjukkan ikatan atas dasar persaudaraan sesama Islam ada sedikit perbezaan dari segi hukum hakam dengan ikatan atas dasar hubungan kerabat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka daripada golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

3. Membuat perjanjian dengan penduduk Madinah

Madinah ketika itu dihuni pelbagai lapisan masyarakat. Mereka hidup dalam perbezaan agama dan budaya. Misalnya, ada kaum Muslimin (Muhajirin dan Ansar), Yahudi (Bani Qurayzah, Bani al-Nadhir dan Bani Qaynuqa’) dan juga Musyrikin.

Cabarannya mereka sebagai penduduk asal Madinah mempunyai hak dan tanggungjawab. Adat hidup bersama dalam satu negara, setiap kelompok masyarakat perlu bersatu mempertahankan Madinah.

Mereka juga perlu sepakat dalam isu ganti rugi kehilangan nyawa dan harta benda. Perjanjian itu menunjukkan jiwa besar Rasulullah SAW membina penyatuan masyarakat, mencintai kehidupan aman damai dan selamat, tidak berperang sesama sendiri.

Rasulullah SAW mempertimbangkan semua perkara penting itu sebelum membuat perjanjian dengan penduduk Madinah sama ada Muslim atau bukan Muslim.

Baginda juga bijak berunding terlebih dahulu sebelum kandungan perjanjian itu dimeterai. Sempena Ramadan yang bakal tiba, kita boleh melatih diri mempertingkatkan hubungan dengan masjid.

Semoga hubungan kita dengan Allah SWT menjadi lebih baik. Begitu juga hubungan sesama manusia. Ramadan boleh menjadi madrasah untuk kita mengambil cakna kebersamaan dalam keluarga ketika bersahur dan berbuka.

Ramadan juga melatih masyarakat dengan amalan sedekah khasnya memberi makan kepada orang berbuka puasa. Itulah strategi kejayaan yang boleh kita raih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 4:30 AM