PINTU utama ke Muzium Topkapi, di Istanbul.
Dr Nurkhamimi Zainuddin

EMPAYAR Turki Uthmaniyyah terkenal sebagai pemerintahan Islam paling berjaya di dunia.

Ia pernah menguasai sebahagian besar benua Asia, Eropah dan Afrika Utara.

Empayar Turki Uthmaniyyah bertahan 623 tahun iaitu daripada 1299 hingga 1922.

Kerajaan Uthmaniyyah juga adalah kerajaan Islam terakhir mengamalkan sistem pemerintahan khalifah selepas kerajaan Umayyah dan kerajaan Abasiyyah.

Jika berkunjung ke Istanbul, Turki, satu daripada kesan peninggalan terbesar Kerajaan Turki Uthmaniah adalah Istana Topkapi yang kini dijadikan muzium.

Istana Topkapi berada di kawasan Sultanahmed dan lokasinya tidak jauh dari Hagia Sophia.

Kawasan itu menghadap Bosporus yang bertemu Laut Marmara yang dibina pada abad ke-15.


PENULIS bergambar di kawasan pintu masuk Muzium Ayasofya.

Perjalanan memasuki Muzium Topkapi melalui kawasan taman dengan pepohon menghijau serta bunga mekar.

Istana Topkapi dibangunkan Sultan Mehmet II atau dikenali sebagai Muhammad Al-Fateh hasil penaklukan Konstantinopel.

Kawasan itu turut menghimpunkan tempat tarikan yang wajib dikunjungi di Istanbul termasuk Masjid Sultan Ahmet (Masjid Biru) dan Muzium Hagia Sophia yang terletak berdekatan satu sama lain.

Di situ, sultan Uthmaniyyah bersemayam selama ratusan tahun. Namun, Topkapi memberi pengisahan yang lebih banyak berbanding apa yang diceritakan dalam sejarah Turki.

Keinginan untuk mengetahui khazanah yang dipamerkan itu membuatkan kita sanggup meluangkan masa lebih lama di situ.

Setiap koleksi sungguh istimewa. Ia menceritakan kisah masyarakat, tadbir urus serta diplomasi ketika zaman Uthmaniyyah.

Mahkota adalah antara hadiah hebat yang diutuskan raja Mughal Asia Selatan kepada sultan berkenaan.

Koleksi porselin China yang ada di muzium itu juga dikatakan sebagai himpunan terbesar berada di luar China.

Selain porselin, turut dipamerkan adalah ribuan barangan yang dihasilkan di Jerman, Perancis dan Russia.


PEDANG Rasulullah antara yang dipamerkan di Muzium Topkapi.

Selain itu, kaftan diraja, pedang, barangan kemas, kapal dan pelbagai hadiah turut menjadi sebahagian koleksi empayar besar itu.

Sultan-sultannya sememangnya hebat kerana dapat melindungi serta memelihara warisan Islam.

Antara yang dipamerkan termasuk mohor Nabi Muhammad SAW, sepucuk surat ditandatangani baginda, pedang milik baginda serta pedang-pedang sahabat nabi.

Selain itu, kunci Kaabah serta pelbagai objek lain berkaitan kota suci Makkah dan Madinah turut disimpan di situ.

Sultan-Sultan Uthmaniyyah pernah berkhidmat dan melindungi tiga kota suci umat Islam iaitu Makkah, Madinah dan Baitulmuqaddis dengan penuh rasa hormat.

Kamar suci pula mengandungi barang peninggalan lain termasuk dulang yang digunakan Nabi Ibrahim, pedang Nabi Daud dan jubah Nabi Yusuf.


ARTIFAK di laluan pelancong sebelum memasuki Muzium Topkapi, Istanbul.

Bagaimanapun, pengunjung perlu membeli tiket berasingan untuk memasuki bahagian Harem iaitu yang menjadi tempat tinggal sultan dan kerabat diraja.

Begitu serba ringkas catatan penulis dalam kembara ke Istanbul. Melihat keindahan alam semula jadi di negara orang dapat meningkatkan keimanan kepada Allah.

Prinsip kembara yang penting dalam Islam ialah ibrah iaitu pengajaran yang diperoleh. Ia dapat membentuk diri menjadi insan lebih baik.

Itulah tujuan sebenar kita mengembara. Firman Allah di dalam Surah Al-Hajj, ayat 46 yang bermaksud: “Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.”


SUASANA Muzium Hagia Sophia atau dalam bahasa Arab Ayasofya yang dibina sebagai gereja besar bagi penganut Kristian Ortodoks sebelum diubahsuai menjadi masjid oleh kerajaan Uthmaniyyah pada 1453.

Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 8:18 AM