GAMBAR hiasan.
Mohd Rizal Azman Rifin

SOLAT adalah ibadat yang menduduki tempat tertinggi. Seandainya seseorang Muslim itu taat mendirikan solat fardu sebanyak lima kali dalam sehari bermakna dia seolah-olah menegakkan agamanya.

Apabila meninggalkan solat, ia umpama seseorang itu tidak mahu berusaha membina agamanya dengan sempurna. Terdapat tidak kurang 100 ayat dalam al-Quran membicarakan mengenai solat.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Mukminun, ayat 1-2 yang bermaksud: “Benar-benar sangat beruntung orang-orang beriman. Yakni mereka yang khusyuk dalam mengerjakan sembahyang.”

Dalam satu lagi ayat, Allah SWT menegaskan yang bermaksud: “Benar-benar sangat beruntung orang-orang yang membersihkan diri dengan beriman dan sentiasa berzikir menyebut nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang.” (Surah Al-A’la, ayat 14-15)

Solat mengandungi falsafah atau hikmah tersendiri yang perlu kita hayati. Sangat daif pemikiran jika ada yang menganggap solat mengganggu rutin tugasan seharian.

Ini kerana solat perlu ditafsirkan sebagai jalan petunjuk Allah SWT untuk membimbing manusia supaya sentiasa menghargai dan menepati masa. Itu adalah falsafah ulung dalam solat.

Cukup masa, setiap Muslim wajib menunaikan perintah Allah itu tanpa melengahkannya. Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisa’, ayat 103 yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman dan ditentukan waktunya.”

Lihat kronologi perjalanan mendirikan solat yang bermula dengan solat Subuh, diikuti solat Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak. Apabila mendirikan solat di luar waktunya maka solatnya tidak sah.

Solat ada had sempadan masa yang ditetapkan. Dalam hal ini, jelas solat membimbing kita bagaimana menguruskan perjalanan waktu dengan sebaiknya.

Rasulullah SAW mengingatkan kita, ‘Solat pada awal waktu akan memperoleh keredaan Allah dan di akhirnya mendapat keampunan-Nya.’ (Hadis riwayat Imam At-Tirmizi)

Malah, Rasulullah SAW pernah ditanya sahabatnya berkenaan masa mendirikan solat. Lantas Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Solat pada awal waktunya.” (Hadis riwayat Imam At-Tirmizi dan Abu Daud)

Menerusi ibadat solat, ia mengajar kita supaya bijak menguruskan masa. Sebarang kecuaian akan memberikan kesan buruk kepada catatan amal kita.

Selain itu, mendirikan solat juga memberi makna kita berusaha untuk menjadi mukmin yang berpegang kepada amanah dan menepati janji kepada Allah SWT.

Fahami dan hayati sepenuhnya janji ikrar kita setiap kali mendirikan solat menerusi bacaan ayat dalam doa iftitah yang bermaksud, “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”

Doa iftitah itu sebenarnya terkandung dalam ayat 162 Surah Al-An’ am. Berdasarkan bacaan ikrar kita kepada Allah dalam doa iftitah itu, sewajarnya kita mampu memberikan pedoman supaya setiap kerja harian yang dibuat sentiasa berpijak kepada lunas agama dan tidak membiarkan diri terjebak dengan sebarang unsur yang bertentangan dengan agama.

Seandainya kita seorang bapa, maka ikrar janji dalam doa iftitah itu wajib dizahirkan dengan menunaikan amanah memelihara serta menjaga anak dengan sebaiknya termasuk memberikan mereka didikan agama serta beramal dengan akhlak yang mulia.

Bagi seorang pendidik pula, sekiranya dia cuai dan bersikap sambil lewa dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai pendidik, itu bermakna dia seorang yang tidak beramanah dan menepati janji kepada Allah sebagaimana setiap waktu solat dia membaca doa iftitah itu.

 Solat juga sepatutnya meninggalkan impak positif dalam mendidik kita sentiasa fokus terhadap tugasan harian. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah Al-Mukminun, ayat 1-2)

Jelas kepada kita, mendirikan solat itu bukan seperti melepaskan batok di tangga sahaja, sebaliknya Allah SWT arahkan kita khusyuk iaitu memberi sepenuh tumpuan terhadap ibadat solat.

Kita juga dilatih dan diajar mengenai ketelitian dalam melakukan sesuatu kerja. Kita cuba hayati bagaimana khusyuknya menantu Rasulullah SAW, Saidina Ali bin Abi Talib ketika mendirikan solat.

Dikisahkan dalam satu pertempuran, beliau dipanah dan anak panah musuh itu terkena pada tubuhnya. Anak panah itu cuba dicabut namun Saidina Ali berasa sangat sakit.

Kemudian ketika beliau sedang menunaikan solat sunat, sahabatnya sekali lagi cuba mencabut anak panah itu dan ternyata kali ini mereka berjaya. Ini kerana Saidina Ali langsung tidak menyedari sahabatnya sedang mencabut anak panah itu daripada tubuhnya.

Selesai solat, beliau bertanyakan sahabat jika tujuan mereka berhimpun itu untuk mencabut anak panah daripada tubuhnya.

Maka jawab sahabatnya: “Anak panah itu sudah berjaya kami keluarkan daripada tubuhmu ketika kamu sedang mendirikan solat.”

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 9:10 AM