GAMBAR hiasan.
Qira’ah Fatwa

YANG mana lebih utama bagi seseorang, sama ada hadir ke masjid dengan berjalan kaki atau menaiki kenderaan?

Terdapat beberapa dalil yang menjadi sumber perbahasan hukum.

Antaranya, sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila solat telah bermula, maka janganlah kamu mendatanginya dalam keadaan berlari. Datangilah (solat) dalam keadaan berjalan dengan tenang. Solatlah (dengan apa) yang kamu sempat dan (rakaat yang tertinggal itu) maka sempurnakanlah.” [Riwayat al-Bukhari (908)]

Hadis itu jelas menunjukkan kepada kita mengenai perintah dan galakan untuk menghadiri solat dalam keadaan berjalan dan tenang.

Berjalan dengan tenang serta tidak tergopoh-gapah atau berlari akan memberi kesan negatif terhadap kekhusyukan dalam solat.

Sebahagian ulama mengatakan: “Sesungguhnya dilarang untuk berlari-lari menuju solat adalah kerana ia akan menghilangkan kekhusyukan (di dalam solat) disebabkan kepenatan dan juga terputus nafas yang disebabkan perbuatan berlari tersebut.” [Rujuk al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, Al-Qurthubi (1/165)]

Terdapat juga sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membersihkan dirinya (berwuduk) di rumahnya kemudian dia berjalan kaki menuju
ke satu rumah dari rumah-rumah Allah untuk dia menunaikan satu kefarduan dari kefarduan kepada Allah, maka setiap langkahnya itu salah satunya memadamkan dosa dan selangkah lagi mengangkat darjatnya. [Riwayat Muslim (666)]

Imam al-Nawawi menyatakan, kelebihan berjalan kaki menuju
ke masjid ia akan menghapuskan dosa kecil seseorang dan mengangkat darjatnya di sisi Allah SWT.

Dalam sebuah riwayat daripada Ubai bin Ka’ab RA, beliau berkata yang bermaksud: “Ada seorang lelaki yang mana aku tidak ketahui seorang pun dari kalangan manusia yang menunaikan solat menghadap ke arah kiblat dari kalangan penduduk Madinah yang lebih jauh rumahnya dengan masjid berbanding lelaki berkenaan.

Meskipun begitu, dia tidak pernah terlepas menunaikan solat berjemaah di masjid. Aku berkata kepadanya: “Alangkah baiknya jika kamu membeli seekor himar (keldai) yang dapat kamu naikinya pada musim panas dan juga pada waktu gelap.”

Lalu beliau berkata: “Aku tidak suka rumahku bersebelahan dengan masjid.” Lalu hal itu diketahui Rasulullah SAW, maka Baginda pun bertanya kepada lelaki itu terhadap kenyataannya itu.

Maka lelaki itu menjawab: “Yang aku mahukan wahai Rasulullah adalah dituliskan ganjaran pahala terhadap datangnya aku ke masjid dan pulangnya aku kepada keluargaku.”

Maka Rasulullah SAW menjawab: “Semoga Allah memberikan kepada kamu kesemua perkara itu.” [Riwayat Abu Daud (557)]

Demikian juga sebuah hadis diriwayatkan Abd al-Rahman bin Jabr RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan disentuh oleh api neraka kedua kaki hamba yang berdebu menuju ke jalan Allah.” [Riwayat al-Bukhari (2811)]

Dengan melihat dalill yang disebutkan itu, jelas menunjukkan berjalan kaki menuju ke masjid adalah lebih afdal berbanding menaiki kenderaan sama ada motosikal atau kereta.

Lebih-lebih lagi apabila seseorang itu dapat memastikan dengan berjalan kaki menuju ke masjid itu membolehkan dia mendapat saf pertama, muwafiq dalam solat berjemaah dan sebagainya.

Bagaimanapun, antara maqasid dan roh solat adalah untuk mendapatkan kekhusyukan.

Justeru, sekiranya berjalan kaki dalam jarak yang jauh boleh menyebabkan keletihan atau menghasilkan bau tidak enak pada anggota badan sehingga mengganggu kekhusyukan di dalam solat, maka lebih utama hadir ke masjid dengan menaiki kenderaan berbanding berjalan kaki.

Sumber: Al-Kafi li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 9:38 AM