GAMBAR hiasan
Suriany Awaludin

SUAMI pernah mengugut untuk menceraikan saya dengan alasan saya tidak lagi menjaga dirinya zahir dan batin. Malah, dia berterus terang mengatakan saya sudah tidak menarik seperti dahulu. Tutur katanya langsung tidak menjaga hati dan perasaan saya.

Saya cuba berubah, namun masih tetap tidak berupaya menarik perasaan sayangnya terhadap diri saya. Dua bulan lalu, saya berkenalan dengan seorang lelaki di Facebook.

Saya meluahkan segala perasaan kepadanya kerana terlalu kecewa dengan sikap suami. Tetapi, suami dapat hidu saya cuba berkongsi cerita dengan lelaki berkenaan.

Dia rampas telefon dan membuka semua mesej saya hantar kepada lelaki itu. Bagaimanapun, tiada sebarang perilaku curang saya lakukan dan lelaki itu dalam mesejnya banyak menasihatkan saya. Bolehkah saya memohon perceraian kerana menganggap hubungan kami sudah tiada persefahaman?

Suami tidak pernah memohon maaf atas apa yang dilakukan kepada saya. Dia juga mungkin merasakan selama ini, saya banyak beralah dan tidak menyangka saya sanggup membuat keputusan untuk berpisah dengannya.

Isteri kecewa,Seremban

Memohon cerai di Mahkamah Syariah bukan semudah dijangka. Setiap suami dan isteri disiasat mengenai tuntutan cerai berkenaan.

Sekiranya isteri yang memohon, suami akan disiasat sama ada dia bersetuju atau tidak dengan perceraian dituntut isteri itu. Jika suami bersetuju, maka mahkamah menjalankan siasatan bagi memastikan perkahwinan itu tidak dapat didamaikan.

Mahkamah juga perlu tahu keadaan perkahwinan itu berada dalam shiqaq (perbalahan) berlanjutan menyebabkan berlaku pecah belah.

Prosedur perceraian itu diperuntukkan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri iaitu mengikut Seksyen 47 (3) yang memperuntukkan: Jika pihak satu lagi bersetuju terhadap perceraian itu dan mahkamah berpuas hati selepas penyiasatan perkahwinan itu sudah tidak dapat dipulihkan, maka mahkamah hendaklah menasihatkan suami melafazkan satu talak di hadapan mahkamah.

Berlainan pula jika pasangan tidak bersetuju dengan permohonan cerai berkenaan. Mengikut seksyen sama, prosedur perdamaian perlu dipatuhi terlebih dahulu sebelum mahkamah meneruskan serta memutuskan perceraian yang dipohon pihak berkenaan.

Dalam isu ini, perceraian walaupun ia halal selepas tiada jalan penyelesaian dicapai, namun Islam mendidik umatnya mencari jalan penyelesaian yang penuh harmoni dan hikmah sehingga berlaku perdamaian antara suami dan isteri.

Namun, seandainya wujud penganiayaan atau kezaliman ke atas isteri, undang-undang keluarga Islam menyediakan prosedur tuntutan pembubaran perkahwinan secara fasakh dan khuluq (tebus talak).

Fasakh perlu dipohon dengan mengemukakan alasan yang boleh melayakkan isteri menuntut fasakh. Manakala khuluq pula dibenarkan jika suami enggan melafazkan talak melainkan dengan bayaran yang dibuat isteri.

Kedua-dua kaedah pembubaran perkahwinan itu diperuntukkan di dalam Seksyen 53 dan 49 Enakmen Undang-Undang Keluarga. Fasakh memerlukan prosiding perbicaraan dijalankan dan isteri perlu mengemukakan bukti yang menyokong satu daripada alasan fasakh.

Dalam situasi pembaca, rentetan krisis yang berlaku menyebabkan isteri merasakan tiada lagi rahmah dan mawaddah dalam hubungan mereka.

Sikap suami yang berterusan tidak menjaga lisan, tidak menghargai kewujudan isteri serta gagal melayani isteri dengan hikmah adalah punca isteri merasakan perkahwinan itu tiada lagi persefahaman.

Jika suami masih sayangkan isterinya dan ingin mempertahankan perkahwinan itu, suami perlu mengambil langkah ta’dib atau mendidik isteri sekiranya isteri tidak lagi mentaatinya.

Namun, sikap ego yang beraja di dalam diri menyebabkan suami sentiasa merasakan dirinya betul dalam semua perkara sehingga membiarkan isteri terkontang-kanting melayani perasaan sedih dan kecewa.

Lebih buruk, isteri tidak menyedari kesilapan dirinya akibat pengabaian didikan daripada suami. Oleh itu, jika puan masih berdaya untuk mempertahankan perkahwinan, saya sarankan puan rujuk kaunselor bertauliah bagi menyelesaikan kesulitan yang dialami.

Berkemungkinan juga suami tidak menyedari apa yang puan mahukan. Segala kemungkinan tidak akan diketahui selagi tiada usaha untuk membincangkannya. Mudah-mudahan usaha puan dipandang Allah dan dicurahkan kembali rahmat dan kasih sayang-Nya.

Sekiranya merasakan diri semakin teraniaya atau dizalimi, puan boleh membuat permohonan cerai di mahkamah. Seelok-eloknya, puan ajak suami berbincang dari hati ke hati terlebih dahulu.

Jika tiada penyelesaian, puan boleh nyatakan hasrat kepada suami untuk bercerai dan mendapatkan persetujuannya. Sekiranya suami memberi kerjasama, puan boleh memfailkan permohonan cerai di mahkamah.

Perbincangan sama ada dibuat bersama suami atau melalui pihak lain adalah salah satu usaha perdamaian yang puan ambil sebelum memutuskan untuk memohon perceraian.

Seandainya usaha perdamaian itu masih tiada berjaya, maka mahkamah akan melihat kewajaran perkahwinan puan dan suami dibubarkan dengan perceraian.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 9:00 AM