GAMBAR HIASAN
Bersama Fadly Samsudin

KETIKA Nabi Muhammad tinggal di Makkah selama 13 tahun sebagai rasul, puasa belum difardukan.

Allah mewajibkan puasa pada bulan Ramadan pada 2 Hijrah iaitu selepas dua tahun Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah.

Sepanjang kehidupan Rasulullah, Baginda hanya berpuasa Ramadan sembilan kali kerana pada 11 Hijrah, Baginda wafat.

Bermakna, kita dapat bertemu berpuasa dalam bulan Ramadan lebih banyak daripada Rasulullah.

Katakan, usia kita sekarang 30 atau 40 tahun, jika ambil umur baligh berusia 15 tahun, maka masing-masing sudah 15 dan 25 kali bertemu Ramadan.

Apatah lagi yang sudah memasuki usia emas 60 tahun, sudah 45 kali Allah berikan kepadanya peluang beramal ibadat dalam bulan Ramadan.

Tetapi, setiap tahun perkara sama berulang iaitu ramai antara kita tidak menggunakan peluang beribadat dengan bersungguh-sungguh sehingga akhirnya.

Boleh dikatakan, pada 10 malam terakhir yang sepatutnya dipenuhkan dengan beramal ibadat selalu bertukar ‘acara’ mencari kelengkapan menyambut Aidilfitri.

Masjid dan surau tidak lagi dikunjungi. Semangat tidak lagi seperti permulaan kedatangan Ramadan yang penuh sesak dengan jemaah sehingga ada yang terpaksa bersolat di luar.

Sedar atau tidak, kita bakal bertemu Ramadan untuk 1440 Hijrah dalam 19 hari lagi. Orang yang merindui kedatangan Ramadan, perasaan mereka pasti bercampur baur antara kesedihan dan kegembiraan.

Yang pasti, Ramadan adalah bulan Rasulullah menggandakan amal ibadat.

Apabila masuk saja Rejab, sahabat menyatakan, mereka melihat Rasulullah mula meningkatkan amal ibadat antaranya dengan melakukan sedekah, solat sunat dan membaca al-Quran.

Seterusnya, masuk pula Syaaban, Nabi Muhammad terus menggandakan lagi amal ibadat.

Saidatina Aisyah R.Anha berkata, tiada bulan yang paling banyak Nabi Muhammad berpuasa sunat melebihi bulan Syaaban.

Maka, Nabi Muhammad hampir melengkapkan seluruh bulan Syaaban itu dengan berpuasa sunat. Mesejnya, Rasulullah menjadikan keseluruhan Ramadan itu bulan beribadat.

Malah, 60 hari sebelum kedatangan Ramadan, Baginda mengajar umatnya supaya mempersiapkan jiwa dan tubuh badan untuk menyambutnya.

Ramadan disebut sebagai Syahrul Quran iaitu bulan al-Quran. Sejak zaman Rasulullah sehingga zaman sahabat, tabi’in dan tabi’ taabi’in, mereka menghidupkan Ramadan dengan al-Quran.

Ramadan juga satu-satunya bulan disebut oleh Allah sebagai bulan al-Quran kerana di dalam Ramadan, 30 juzuk al-Quran dibawa dari Luh Mahfuz turun ke langit pertama dunia.

Allah berfirman yang bermaksud: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah...” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Al-Quran yang mempunyai 114 surah itu sudah berada di Luh Mahfuz sebelum Nabi Muhammad lahir.

Allah memerintahkan malaikat Jibril membawa turun al-Quran dari Luh Mahfuz pada bulan Ramadan ke langit pertama dunia.

Al-Quran kemudian turun kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibril selama 23 tahun iaitu 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah, secara berperingkat.

Ketika Allah memilih Ramadan untuk dijadikan sebagai bulan turunnya al-Quran, maka kedudukan Ramadan diangkat sebagai penghulu segala bulan.

Begitu juga dalam Ramadan ada Lailatulqadar. Malam penuh keberkatan itu dipilih Allah sebagai malam dibawa turun al-Quran lalu menjadikannya malam terbaik daripada malam lain kerana al-Quran.

Kemudian, al-Quran itu diturunkan pula kepada Nabi Muhammad menjadikan Baginda sebagai penghulu sekalian nabi dan rasul kerana kemuliaan al-Quran.

Seterusnya, kemuliaan al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad menjadikan kita terpilih sebagai umat terbaik yang pernah diutuskan Allah kerana kemuliaan al-Quran.

Maka, amat rugi kepada mereka yang sudah meninggal dunia dalam keadaan tidak sempat menyintai serta memuliakan al-Quran dalam hidupnya.

Orang yang hidup dengan al-Quran, Allah akan sentiasa memuliakannya di dunia, di alam barzakh, di padang mahsyar sehingga seseorang itu dihimpunkan di dalam syurga kelak.

Untuk pedoman bersama, apabila kita semua kelak menempuh alam barzakh, selepas jasad kita dikebumikan dan dalam tempoh kiraan seekor kambing disembelih dan dilapah dan dagingnya dibahagikan, maka akan datang dua malaikat iaitu Munkar dan Nakir.

Mata mereka itu kebiru-biruan sambil membawa ‘mitraqah’ iaitu sejenis alat seumpama besi penukul. Sekiranya ia diletakkan di atas sebuah gunung, maka akan hancur berkecai gunung itu.

Ketika dua malaikat itu bercakap kepada mereka yang mati dalam keadaan suul khatimah, maka akan keluar seolah-olah api daripada mulutnya.

Di dalam kubur, malaikat Munkar dan Nakir datang untuk menghukum seseorang bermula di kakinya.

Bagaimanapun, Saidina ‘Abdullah bin Abbas menyatakan: “Sesiapa membaca surah al-Mulk sehingga menjadi amalan wiridnya, nescaya ia mendapat bantuan dan pertolongan daripada Allah di dalam kuburnya. Bila azab hendak datang ke kepala, terdengar satu seruan: “Tidak boleh engkau datang ke kepala ini kerana ada Surah Al-Mulk.”

Itu satu-satunya kelebihan mengamalkan membaca al-Quran atau lebih khusus membaca surah al-Mulk yang pasti akan mempertahankan tuannya daripada azab kubur.

Bagaimanapun, selamat atau tidak kita di alam seterusnya iaitu apabila dibangkitkan di padang mahsyar, ia belum terjamin.

Dalam keadaan tiada seorang manusia pun berani mengangkat muka di padang mahsyar, tiba-tiba al-Quran datang membela pembacanya di hadapan Allah.

Berdasarkan sebuah hadis sahih daripada Abu Umamah al-Bahili, beliau berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: ‘Bacalah al-Quran kerana al-Quran itu akan memberi syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak. Dan bacalah Az Zahrawain iaitu Surah Al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-dua surah itu akan datang pada hari kiamat, seolah-olah kedua-duanya bagai sekelompok awan atau payung yang menaungi, atau dua kelompok burung yang mengembangkan sayapnya. Kedua-duanya akan membela pembacanya pada hari kiamat.” (Riwayat Imam Ahmad)

Maka, Surah al-Baqarah dan Ali Imran itu akan tampil lalu berhujah di hadapan Allah serta menjawab segala persoalan sehingga tuannya dimasukkan dalam syurga.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 8:52 AM