GAMBAR HIASAN
Bersama Mohd Rizal Azman Rifin

ISU yang dilaporkan media sebelum ini memaparkan ada penuntut institut pengajian tinggi (IPT) terpaksa mengikat perut lantaran kesempitan kewangan untuk perbelanjaan harian di kampus.

Bagaimanapun, sudah banyak pihak di IPT mengambil langkah segera bagi menangani isu berkenaan. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) misalnya, menjadi perintis kepada kewujudan Food Bank dalam menyalurkan bantuan makanan harian kepada penuntut yang kurang mampu.

Ada juga pihak menyarankan supaya bantuan agensi zakat diagihkan kepada penuntut daripada keluarga tergolong dalam kategori B40.

Cadangan itu begitu baik kerana adanya bantuan zakat, keperitan yang ditanggung penuntut dikurangkan.

Apa yang dihadapi penuntut di IPT pada masa ini memberi peluang kepada sesiapa untuk memberikan bantuan mengikut kadar kemampuan masing-masing.

Pihak berkepentingan di IPT sewajarnya mewujudkan tabung bantuan khusus bagi menampung perbelanjaan harian yang membolehkan masyarakat turut sama memberikan sumbangan.

Di Politeknik Muadzam Shah, khususnya di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal tempat penulis berkhidmat turut memperkenalkan Gerobok Rezeki yang mana semua warga kampus diberi peluang memberikan sumbangan dalam bentuk makanan dan minuman.

Sejak wujudnya Gerobok Rezeki itu, ramai warga kerja yang tidak melepaskan peluang menghulurkan sumbangan. Ia satu perkembangan positif dalam membina masyarakat kampus yang penyayang dan prihatin.

Selain itu, turut diwujudkan adalah tabung bantuan pelajar miskin. Penulis percaya di IPT yang lain juga sama saja.

Penghayatan masyarakat Muslim terhadap perintah Allah dan Rasulullah akan menjadikan diri sentiasa ingin memberikan kesenangan dan kebahagiaan kepada orang lain.

Islam sangat menganjurkan umatnya berjiwa penyayang serta bersikap prihatin terhadap nasib insan lain. Abu Hurairah RA pernah memberitahu bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Demi Zat yang jiwaku ada dalam genggaman-Nya, manusia yang bersedekah senilai dengan sebiji kurma daripada hasil yang baik (halal) dan Allah hanya menerima sedekah yang baik(halal). Maka, sesungguhnya Allah akan menerima sedekahnya dengan tangan kanan-Nya, kemudian Dia mengembangkannya bagi pemiliknya sebagaimana salah seorang daripada kamu membesarkan anak kudanya sehingga menjadi seperti (sepenuh) gunung.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Selain itu, Imam Muslim turut melaporkan sebuah lagi hadis yang mempunyai maksud sama.

Dalam hadis itu, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tulus ikhlas bersedekah walau hanya dengan sebiji kurma daripada kerja halal, Demi Zat yang jiwaku ada dalam genggaman-Nya, nescaya sedekahnya bakal diterima Allah dan akan membesar sehingga menjadi sebesar gunung.”

Tentu kita mahukan diri dan seluruh ahli keluarga sentiasa dipayungi keampunan, rahmat dan reda Allah. Maka, antara amalan yang disarankan Rasulullah untuk dilakukan adalah bersedekah kepada golongan memerlukan.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidak ada satu hari yang mana seseorang hamba bangun pada waktu paginya melainkan terdapat dua malaikat turun daripada langit. Salah satu daripadanya berdoa, ‘Ya Allah, Ya Tuhanku, kurniakanlah gentian yang baik kepada orang yang suka membelanjakan hartanya kepada kebaikan dan yang satu lagi berdoa, ‘Ya Allah Ya Tuhanku, kurniakanlah kemusnahan kepada orang yang kedekut untuk membelanjakan hartanya kepada kebaikan.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Rasulullah juga ketika hayatnya tidak senang apabila melihat ada dalam kalangan masyarakat berada dalam kesusahan dan kemelesetan hidup. Baginda pasti akan segera menghulurkan bantuan sambil mengajak sahabatnya turut menghulurkan sumbangan.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 8:42 AM