GAMBAR HIASAN
Bersama Mohamad Shahrizal Nasir

SERUAN merujuk kepada ungkapan ditujukan secara berfokus dengan tujuan mendapatkan perhatian.

Ia juga ditujukan kepada pihak tertentu bagi menyampaikan pernyataan, perintah, saranan, nasihat, larangan dan seumpamanya.

Ungkapan seruan turut digunakan ketika marah, sedih, rintihan, pengharapan dan banyak lagi.

Dalam bahasa Arab, gaya bahasa seruan dikenali dengan an-Nida’.

Seruan boleh digunakan seorang anak ketika berbicara dengan ibunya, seorang guru kepada muridnya, seorang individu kepada rakannya, juga seorang hamba kepada Tuhannya.

Lihat sahaja apabila kita berdoa kepada Allah, ada kalanya kita sebut, “Ya Allah”, “Ya Rabb”, “Ya Arhama ar-Rahimin” semuanya seruan seorang hamba kepada Allah untuk diperkenankan sesuatu hajat.

Memang tabiat hamba sentiasa mengharapkan seribu satu hajat dan permohonan dalam hidupnya.

Semua orang tidak perlu berasa malu untuk menyeru Allah dalam doanya.

Bahkan, Allah menyukai hamba-Nya yang menadah tangan memohon hajat kepada-Nya.

Ia bukti hamba memiliki banyak kelemahan, dan hanya Allah yang Maha Berkuasa memperkenankan segala permintaan yang baik.

Sedarkah kita, Allah turut menyeru manusia supaya melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan.

Jangan jadi insan yang hanya pandai menyeru Allah untuk memenuhi hajatnya.

Sedangkan seruan Allah langsung tidak diendahkannya. Ada banyak seruan dinyatakan Allah menerusi firman-Nya dalam al-Quran.

Seruan itu dikhususkan kepada golongan beriman serta golongan yang mengaku beriman kepada Allah.

Rujuk firman Allah yang dimulai dengan ayat “Ya ayyuhal lazina aamanu…” (Wahai orang yang beriman). Persoalannya, adakah seruan Ilahi itu dihayati dan disahut hamba-Nya?

Allah menyeru golongan beriman supaya meninggalkan perbuatan serta sangkaan buruk terhadap orang lain.

Juga larangan mengintip hal orang lain serta mengumpat perkara bersifat peribadi dengan tujuan jahat.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain...” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Begitu juga seruan Allah kepada orang yang beriman supaya bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa.

Jangan berpura-pura menerima agama Allah, namun hakikatnya diri tidak mengiktiraf ketinggian Islam.

Apa juga yang berlaku, pastikan diri tetap mempertahankan Islam meskipun hal itu tidak disukai golongan kafir.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (Surah Ali Imran, ayat 102)

Semua orang Islam mengaku beriman kepada Allah dan Rasulullah. Namun, apakah bukti kasih sayang terhadap Rasulullah?

Allah menyeru umat Islam supaya memperbanyakkan selawat terhadap Rasulullah.

Itu antara bukti kasih sayang dan cinta kepada Baginda. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad), wahai orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Seruan Allah juga membabitkan perintah supaya manusia yang beriman menunaikan perjanjian yang dibuat.

Setiap janji perlu dilaksanakan kerana ia satu kewajipan yang tidak boleh dikompromi.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian...” (Surah al-Ma’idah, ayat 1)

Perkara yang turut termasuk dalam seruan Allah kepada golongan yang beriman ialah perintah supaya sentiasa mengingati-Nya.

Ingatlah manusia diperintahkan supaya sentiasa mengingati Allah dalam setiap inci kehidupan.

Tidak ada satu perkara yang berlaku dalam kehidupan ini terlepas daripada pengetahuan Ilahi.

Justeru, manusia perlu mengingati Allah supaya setiap perbuatan sentiasa selari dengan ketetapan Allah.

Orang yang melakukan dosa dan kejahatan lupa Allah sentiasa melihat perbuatannya.

Kealpaan itu boleh diubati sekiranya hati sentiasa ingat kepada Allah dengan zikrullah. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.” (Surah al-Ahzab, ayat 41)

Banyak lagi seruan Allah kepada golongan yang beriman. Semua seruan itu diikuti dengan saranan dan ada juga larangan daripada Allah.

Seruan berkaitan larangan daripada Allah seperti termaktub dalam ayat al-Quran bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).” (Surah an-Nur, ayat 27)

Semua seruan Ilahi itu ditujukan kepada golongan yang beriman kepada Allah.

Jadi sahut seruan itu kerana semuanya demi kebaikan hidup di dunia dan akhirat.

Jangan sekadar mengaku beriman kepada Allah, namun tidak menyahut seruan daripada-Nya.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 8:47 AM