GAMBAR hiasan.
Nor Asree Mohd Noh

SAAT paling menggembirakan bagi pasangan suami isteri sudah pasti ketika dikurniakan anak dalam hidup mereka.

Tidak dinafikan, ada pasangan sudah memilih nama ketika bayi itu masih dalam kandungan lagi kerana sangat teruja untuk menerima zuriat.

Nama adalah satu aspek penting dalam Islam kerana seseorang itu akan diseru dengan namanya pada hari akhirat kelak.

Berdasarkan hadis Nabi SAW dalam riwayat Abu Dawud: “Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari kiamat dengan nama kamu (nama yang diberikan ketika di dunia) dan nama bapa kamu, maka perelokkanlah nama kamu.”

Dalam Islam, disunatkan menamakan anak pada hari ketujuh selepas kelahiran sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Setiap anak yang lahir tergadai akikahnya yang disembelih pada hari ketujuh dan pada hari itu pula si anak tersebut akan diberi nama dan dicukur rambutnya.” (Riwayat Abu Dawud)

Tidak menjadi masalah jika anak dinamakan pada hari dia dilahirkan kerana terdapat riwayat Rasulullah juga pernah melakukannya.

Bagaimanapun, nama anak sejak kebelakangan ini didapati sudah mengi-
kut trend dan budaya tidak sihat serta tersasar daripada tujuan sebenar.

Ada nama terlalu panjang melebihi tiga atau empat perkataan, nama yang jarang didengar serta menamakan anak dengan nama artis luar negara.

Islam membenarkan serta mengharuskan apa sahaja nama untuk digunakan kepada bayi yang baru dilahirkan.

Seperti terdapat dalam kaedah fiqah, ‘al-asl fi al-asma’ al-Ibahah’ iaitu asal pada nama adalah harus.

Islam meletakkan garis panduan supaya nama yang digunakan itu baik dan tidak menjadi perka-
ra dibenci agama serta mengundang mudarat kepada anak pada kemudian hari.

Nama terbaik yang dianjurkan Islam ialah bercirikan pengabdian hamba kepada Tuhannya seperti Abdullah dan Abdul Rahman.

Selain itu, antara nama yang dianjurkan Islam ialah nama nabi seperti Adam, Nuh dan Ibrahim.

Seterusnya, nama orang soleh seperti sahabat dan sahabiyah Nabi SAW seperti Umar, Khalid, Huzaifah, Muaz, Khadijah dan Hafsah.

Selain itu, nama tabi’iy dan orang alim. Setiap anak mempunyai hak untuk mendapat nama yang baik supaya boleh menjadi doa kepada orang yang dinamakan itu serta membuatkan orang lain suka dan selesa dengan panggilan nama diberikan itu.

Apabila ingin memberikan nama anak, seseorang itu perlu melihat kepada fiqahnya seperti berikut:

l Memilih nama yang mempunyai makna baik. Tidak semestinya nama nabi atau sahabat Rasulullah.

l Usahakan untuk meletakkan nama yang mudah dan tidak terlalu panjang sehingga menyusahkan si pemilik nama dan orang yang memanggilnya.

l Tidak menggunakan nama menyerupai ahli agama lain seperti Yuhana (disebut di dalam Kitab Ahkam Ahl al-Dhimmah), nama mensyirikkan Allah SWT seperti ‘Abdul ‘Uzza dan ‘Abd ‘Ali serta nama pelaku maksiat .

l Tidak memilih nama bermakna buruk dan berbentuk penyucian (tazkiyah) dan cercaan seperti disebut oleh Imam Tabari yang dinukilkan oleh Ibn Hajar dalam Kitab Fath al-Bari.

Nama dalam bahasa Arab misalnya Fitnah (kacau-bilau/azab), Nahidah (montok buah dada) dan dalam bahasa Melayu seperti tempang, capang dan hitam.

Menurut Imam Nawawi dalam bukunya al-Majmu’, sunat mengubah nama yang buruk. Begitu juga menjauhi nama bersifat makruh seperti yang disandarkan dengan lafaz ‘al-Din’ dan ‘al-Islam’.

Bakar Abu Zayd menerusi kitab Tasmiyah alMawlud berkata, sebahagian besar ulama mengharamkan dan kebanyakan memakruhkan penggunaan nama seperti itu kerana boleh meragukan tujuan serta maksud sebenar.

Contohnya, seseorang dinamakan Nasir al-Din (pembela agama), tetapi ketika hayatnya dia seorang pendusta, maka nama itu tidak mencerminkan dirinya yang sebenar.

Ibu bapa wajib memikirkan tujuan nama itu diberikan kepada anak mereka supaya dapat menaruh harapan baik daripadanya selain menjadi doa, bukannya sekadar mencari glamor dan kelainan dalam masyarakat.

Penulis pensyarah Fakulti Bahasa dan Pendidikan Kolej Universiti Islam
Melaka (KUIM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 9:31 AM