HANYA Allah SWT yang mempunyai kuasa untuk menurunkan hujan buat hamba-Nya.
Bersama Mohd Shahrizal Nasir

Ilmu Allah SWT amat luas dan mustahil untuk kita kuasai semuanya. Perkara itu dijelaskan Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.” (Surah al-Kahfi, ayat 109)

Kadang-kadang kita rasa tahu semua perkara. Mungkin ada yang berasa bangga kerana mengetahui sesuatu perkara yang tidak diketahui orang lain.

Memang benar kita dikurniakan Allah SWT dengan pengetahuan mengenai beberapa perkara.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “… dan kamu tidak diberi-
kan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” (Surah al-Israk, ayat 85)

Ayat itu membuktikan, ilmu yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia amat terbatas.

Dia-lah yang Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu perkara sama ada yang nya-
ta mahupun tersembunyi.

Sifat merendah diri mengakui kehebatan pengetahuan Allah SWT akan menjadikan diri kita sentiasa mengenali Allah SWT dengan segala sifat-Nya yang sempurna.

Dalam Surah Luqman, ayat 34, Allah SWT menjelaskan kepada manusia bahawa pengetahuan-Nya meliputi banyak perkara.

“Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia-lah jua yang menurunkan hujan dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat) dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi amat meliputi pengetahuan-Nya.”

Tiada seorang pun manusia dapat mengetahui bilakah tarikh sebenar berlakunya kiamat.

Hatta Rasulullah SAW sendiri tidak mengetahui detik berlakunya hari kesudahan dunia ini.

Baginda SAW menyatakan, tanda-tanda sebelum berlakunya hari kiamat seperti yang dinyatakan dalam hadis Baginda.

Namun, detik sebenar berlakunya hari kiamat hanya dalam pengetahuan Allah SWT.

Ketetapan berlakunya hari yang pasti itu tidak dinyatakan Allah SWT bagi membolehkan manusia sentiasa bersedia untuk menghadapinya.

Bagaimanapun, kiamat bukan hari untuk ditunggu-tunggu kemunculannya. Perkara yang lebih utama ialah persediaan untuk melalui detik itu.

Selain detik berlakunya kiamat, manusia juga tidak mengetahui detik berlakunya hujan.

Kita hanya menyaksikan hujan namun seperti tiada apa-apa yang berlaku. Hujan sebenarnya adalah rahmat daripada Allah SWT yang dapat menyuburkan makhluk lain seperti tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan.

Mungkin kita boleh membuat ramalan, tetapi ramalan bukan satu kemestian. Betapa lemahnya manusia dan betapa hebatnya ilmu Allah SWT mengatur ketetapan bila berlakunya hujan.

Ketika hujan, banyakkan berdoa khususnya pada permulaan turunnya hujan.

Selain itu, manusia juga tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dalam rahim ibu.

Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui proses yang berlaku pada janin yang bersenyawa dalam rahim seorang ibu.

Penentuan jantina bayi dalam rahim ibu juga tidak dapat dikenal pasti dengan peralatan moden.

Kadangkala kita dapat mengetahui jantina bayi, tetapi apabila dilahirkan jantina bayi itu sebaliknya.

Begitulah hebatnya pengetahuan Allah SWT berbanding sekelumit pengetahuan yang ada pada manusia.

Kita hanya mampu merancang perkara yang mungkin akan berlaku pada hari esok.

Itu yang disebut perancangan. Tidak ada seorang pun dalam kalangan manusia boleh memastikan dia akan memperoleh sesuatu pada hari esok.

Setiap perkara yang belum berlaku semuanya dalam pengetahuan Allah SWT dan berdasarkan ketentuan-Nya.

Kita hanya mampu merancang, tetapi perancangan yang hakiki adalah di sisi Allah SWT.

Malah, pengetahuan Allah SWT termasuk perjalanan kuman atau virus yang amat kecil.

Jika manusia menyedari hakikat pengetahuan Allah SWT, maka tidak wajar mereka melupakan Allah SWT ketika membuat sebarang perancangan.

Manusia juga tidak akan menyembunyikan kebenaran kerana ia tidak terlepas daripada pengetahuan Allah SWT.

Sandarkan semuanya atas keizinan dan keredaan Allah SWT. Pasti ada keberkatan di sebaliknya.

Oleh itu, wajar untuk manusia mengungkapkan insya-Allah untuk perkara yang belum tentu lagi akan berlaku.

Ungkapan itu menunjukkan betapa kuatnya iman kita terhadap Allah SWT. Sebaik mana perancangan seseorang, ia tidak akan terlaksana sekiranya tidak dikehendaki-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti. Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): InsyaAllah…” (Surah al-Kahfi, ayat 23-24)

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 7:50 AM