GAMBAR hiasan.
Sedetik Rasa

SELEPAS kematian, di mana tempat berkumpulnya roh orang beriman dan orang kafir?

Di dalam buku Teman di Barzakh kupasan kitab Ziarah Ke Alam Barzakh karya Al-Imam Jalaluddin as-Suyuthi menyatakan Abdullah ibnu ‘Amr ibnu al-’As iaitu salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW pernah ditanya oleh seseorang berkenaan hal itu.

Beliau menjawab, roh orang beriman berada di dalam burung yang berwarna putih di bawah naungan Arasy Allah SWT dalam keadaan bersujud kepada-Nya.

Setiap roh itu tidak berada di dalam satu tempat. Ada yang ditempatkan di dalam burung berwarna putih dan ada yang ditempatkan di dalam burung berwarna hijau berterbangan di dalam syurga Allah SWT.

 Sementara itu, roh orang kafir ditempatkan di dalam bumi di lapisan ketujuh.

Selepas nyawa seseorang dicabut, roh orang Mukmin akan dibawa melintasi roh orang yang beriman dan orang kafir.

Ketika itu, akan berlaku sapa-menyapa dan bertanya khabar antara mereka. Ketika melintasi kumpulan roh orang beriman, kumpulan roh beriman itu bertanya hal keadaan sahabat mereka.

 Sekiranya roh itu menjawab sahabat mereka sudah meninggal dunia, mereka akan menjawab roh si fulan sudah dihantar ke bawah iaitu lapisan bumi ketujuh.

Itu bermaksud, roh berkenaan ditempatkan bersama-sama orang kafir. Apabila melintasi kum-pulan roh orang kafir, roh berkenaan akan bertanya keadaan kenalan mereka.

Jika roh itu menjawab si fulan sudah meninggal dunia, maka mereka membalas: “Sesungguhnya si fulan itu sudah dinaikkan ke bahagian atas” iaitu roh itu ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Di dalam satu riwayat daripada Abdullah ibnu Umar menyatakan, roh itu akan ditempatkan di dua tempat di dunia.

Jika roh itu dalam golongan orang baik, ia ditempatkan di Jabiyah iaitu lokasinya dikatakan berada di Syam.

Ulama turut menyatakan, Syam adalah gabungan empat negara iaitu Palestin, Jordan, Lubnan dan Syria.

Roh orang kafir pula ditempatkan di satu lembah dinamakan Barhut yang dikatakan terletak di Yaman.

Ali ibnu Abi Talib r.a sebagaimana dituturkan oleh Abu Bakar an-Najjad menyatakan, “Sebaik-baik lembah manusia adalah lembah Makkah. Seburuk-buruk lembah manusia adalah lembah al-Ahqaf, suatu lembah yang terdapat di Hadramaut yang dinamakan Barhut. Di dalamnya berkumpul arwah orang kafir.”

Menurut riwayat lain, Saidina Ali ibnu Abi Talib mengatakan, roh orang beriman semuanya ditempatkan di sumur zamzam iaitu Makkah.

Bagaimanapun, apa yang tersirat daripada riwayat itu adalah roh orang beriman semuanya di tempat yang baik.

Ibnu Jarir dalam tafsirnya menuturkan riwayat daripada Muhammad ibnu ‘Awf ath Thai’i yang diterimanya daripada Abu Mughirah.

Abu Mughirah mendengar daripada Safwan. Safwan pernah bertanya kepada Amir ibnu Abdillah di Yaman, “Apakah arwah orang yang beriman itu berkumpul?”

Ibn Abdillah menunjuk ke bumi lalu membacakan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz: ‘Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh.’” (Surah al-Anbiyaa’, ayat 105)

 Selepas itu, beliau berkata: “Itulah bumi tempat berkumpul arwah orang yang beriman sehingga hari kebangkitan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 8:42 AM