GAMBAR hiasan.
Mohd Rizal Azman Rifin

ISLAM menggesa setiap ibu bapa mengambil berat aspek pentarbiahan atau pendidikan anak-anak.

Dalam Surah al-Tahrim, ayat 6, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluargamu daripada api neraka.”

Ayat itu menjelaskan ibu bapa perlu menitikberatkan hal berkaitan asuhan, bimbingan serta pendidikan yang terbaik untuk anak-anak.

Tentunya dalam hal ini, pendidikan agama serta menerapkan akidah perlu dilaksanakan dengan sempurna.

Iman dan hidayah bukan seperti meninggalkan harta pusaka berbentuk fizikal, tetapi iman adalah kefahaman dan keyakinan dalam hati seseorang anak.

Justeru, setiap ibu bapa perlu tanya diri adakah mereka sudah membimbing serta mendidik anak-anak dengan akidah sebagai seorang Muslim yang taat kepada agamanya?

Imam al-Ghazali ada berpesan: “Anak-anak adalah amanah atas ibu bapa. Jika sudah terbiasa dengan perkara kebaikan, anak itu akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya.

Sebaliknya, jika dibesarkan dalam suasana yang tidak baik dan dipersiakan seperti haiwan, menderitalah dia dan binasa. Dosa juga akan ditimpakan ke atas orang yang dipertanggungjawabkan itu.”

Justeru, asas pendidikan seharusnya diberikan keutamaan. Ini termasuk menanamkan akidah serta mengajar mereka berkenaan syariat dalam agama seperti solat di samping membina akhlak peribadi berteraskan akhlak Islam.

Ia selaras dengan perintah Allah SWT dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam penghayatan kehidupannya.

Sejak 15 kurun lalu, Islam sudah meletakkan kanak-kanak sebagai aspek yang perlu diberi perhatian utama.

Pada 1959, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan undang-undang bagi melindungi kanak-kanak dengan usaha memberikan hak yang sepatutnya baik terhadap permasalahan kesihatan, pendidikan, pemantapan akhlak dan sebagainya.

Semua usaha yang dilakukan PBB itu terkandung dalam ajaran Islam yang suci. Perhatian utama tentunya mengajar mereka solat kerana solat adalah tiang agama.

Insya-Allah, jika baik solatnya, maka akan baik juga aspek lain. Jika buruk dan culas mendirikan solat, ia memberi petanda kurang baik masa depan mereka, khususnya pegangan agama.

Selain ibadat solat, ibu bapa juga tidak boleh sesekali mengabaikan pendidikan al-Quran.

Seandainya kurang ilmu dalam hal itu atau tidak mampu mengajar sendiri, ikhtiar lain mesti diusahakan supaya anak dapat membaca dan mahir membaca al-Quran.

Seorang tabiin, al-Alim al-Muslim al-Qobisi pernah memberitahu dengan berkata: “Sesiapa yang inginkan anak-anak menjadi penyejuk matanya, maka hendaklah dia mengeluarkan wang untuk mengajar anaknya.

Mudah-mudahan usaha mengeluarkan belanja menghantar anak mempelajari al-Quran itu kita digolongkan sebagai salah satu golongan daripada orang yang berlumba-lumba mengerjakan amalan kebajikan.”

Tokoh ilmuwan Islam tidak asing lagi, Ibn Khaldun juga mengingatkan berkenaan pendidikan al-Quran.

Beliau berkata: “Al-Quran adalah ilmu pertama yang dipelajari oleh anak-anak kerana mempelajari al-Quran adalah satu syiar agama yang dipelopori oleh orang-orang Islam dan diteruskan oleh semua orang Islam di negeri-negeri mereka kerana al-Quran yang menguatkan iman dan cara untuk mengasah kebolehan-kebolehan lain.”

Jika kita mahu anak sentiasa mendirikan solat menepati waktunya, maka kita mesti terlebih dahulu menunjukkan sikap demikian.

Ketaatan dan kepatuhan mereka dalam mendirikan syariat agama menjadi penanda aras kejayaan seseorang ibu bapa memikul amanah Allah.

Seandainya anak-anak liat dan kurang cakna terhadap amalan syariat agamanya, bermakna ada sesuatu kurang baik kepada masa depan kita di hadapan Allah SWT kelak.

Untung nasib kita sebagai ibu bapa bukan terbatas kepada amalan peribadi semata-mata, sebaliknya apa yang kita lakukan untuk memimpin ahli keluarga berlandaskan acuan Islam sebenar itu turut dikira sama.

Ingatlah, kita tidak akan terlepas daripada disoal di hadapan Allah kelak berkenaan amanah yang kita tunaikan di dunia ini.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 9:30 AM