GAMBAR hiasan.
Fatimah Syarha Mohd Noordin

Rasulullah SAW menganjurkan umatnya memaniskan wajah dengan senyuman serta menuturkan kata-kata yang baik.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu mengecilkan perbuatan baik walaupun kecil, meskipun hanya dengan berwajah manis saat menemui saudaramu.” (Hadis Sahih Muslim - 2626 Kitab al-Birru wa al-Shilah wa al-Adab)

Dalam satu lagi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Senyumanmu ke wajah saudaramu adalah sedekah bagimu.” (Hadis Hasan At-Tirmidzi (1956) Kitab Al-Birru wa Ash-Shilah)

Saidatina Aisyah berkata, “Belum pernah aku melihat Rasulullah SAW tertawa terbahak-bahak sampai terlihat bahagian dalam mulut Baginda.” (Riwayat Bukhari)

Al-Bhagha meriwayatkan ketika tertawa Rasulullah SAW selalu menutup mulutnya dengan tapak tangan.

Ibnu Abbas r.a berkata, “Rasulullah SAW adalah orang paling banyak tersenyum dan menangis.” (Riwayat Bukhari)

Bahkan, adakalanya Rasulullah SAW tetap tersenyum walaupun disakiti. Baginda tidak marah kerana dirinya dianiaya namun akan marah jika agama Allah SWT dihina.

Salah satu kisah kesabaran Baginda seperti diriwayatkan dalam sahih Bukhari dan sahih Muslim.

Daripada Anas bin Malik, beliau berkata: “Aku berjalan bersama Rasulullah SAW, Baginda mengenakan selendang dari Najran yang tepinya kasar. Tiba-tiba datang seorang Arab Badwi dari belakang dan menarik selendang dengan kuat sehingga aku melihat ada bekas tepi hujung selendang di tengkuk Rasulullah SAW kerana kuatnya tarikan Arab Badwi itu.

Kemudian Arab Badwi itu berkata, “Wahai Muhammad, perintahkan agar aku diberi sebahagian harta Allah yang ada padamu. Aku tidak meminta hartamu, juga harta ayahmu.”

Rasulullah SAW terdiam sejenak ketika mendengar permintaan orang Badwi itu.

Lalu Baginda berkata, “Benar, semua harta itu kepunyaan Allah dan aku adalah hamba-Nya. Kerana kamu sudah berbuat kasar kepadaku, aku harus mendapatkan balasan yang setimpal.”

“Tidak mungkin,” jawab orang Badwi itu.

“Kenapa tidak mungkin?” Tanya Rasulullah SAW. Jawab orang Badwi, “Kerana engkau tidak membalas kejahatan dengan kejahatan.”

Mendengar jawapan itu, Rasulullah SAW tersenyum. Baginda kemudian memenuhi keinginan orang Badwi yang menyakiti Baginda. (Muttafaqun Alahi: Al-Bukhari - 6088, Kitab Al-Adab, Muslim - 1057, Kitab Al-Zakat)

Dalam memberikan hukum-hakam, Baginda tidak memberatkan. Baginda tidak memaksa hukum itu dilaksanakan sepenuhnya bagi orang yang benar-benar tidak mampu melaksanakannya.

Usah kita terbeban dengan hukum yang membuatkan diri berada dalam kesempitan.

Salah satunya, dalam peristiwa antara Rasulullah SAW dengan salah seorang sahabat Baginda.

Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan: Seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata, “Wahai Rasulullah. Aku telah celaka, aku telah melakukan hubungan intim dengan isteriku pada siang hari bulan Ramadan.”

Rasulullah SAW berkata, “Bebaskanlah seorang hamba sahaya.” Lelaki itu menjawab, “Saya tidak mempunyai hamba sahaya.”

Rasulullah SAW berkata, “Kalau begitu, laksanakanlah puasa dua bulan berturut-turut.”

Lelaki itu menjawab, “Aku ini sudah tua. Aku tidak mampu untuk melaksanakan puasa dua bulan berturut-turut.”

Rasulullah SAW berkata lagi, “Kalau begitu, berilah makan 60 orang miskin.”

Lelaki itu berkata lagi, “Ya Rasulullah, aku ini orang yang tidak memiliki apa-apa.”

Setelah mendengar jawapan sahabat itu, Rasulullah SAW membawa satu bekas yang penuh berisi kurma.

Baginda berkata, “Sedekahkanlah kurma ini kepada orang yang meminta.”

Lelaki itu berkata lagi, “Wahai Rasulullah, aku ini orang yang paling fakir. Demi Allah, tidak ada keluarga yang lebih memerlukan kurma ini melebihi keperluanku kepadanya.”

Alasan diberikan lelaki itu membuatkan Rasulullah SAW berasa lucu. Baginda tersenyum lebar hingga menampakkan gigi hadapan Baginda.

Kemudian dengan perasaan kasih sayang dan persaudaraan, Baginda berkata, “Kalau memang demikian, pergilah dan serahkan kurma itu kepada keluargamu.” (Muttafaqah Álaih: Al-Bukhari - 6087, Kitab A-Adab, Muslim - 1111, Kitab Ash-Shiyam)

Ada lagi kisah iaitu mengenai doa yang mengundang tawa Baginda SAW. Daripada Anas bin Malik r.a, ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW pada hari Jumaat ketika Rasulullah SAW sedang berkhutbah di Madinah, lelaki itu berkata, “Hujan tidak turun, mohonlah kepada Tuhanmu agar hujan diturunkan.”

Rasulullah SAW melihat ke langit, kami mendapati tidak ada awan. Lalu Baginda memohon agar hujan diturunkan.

Maka, awan pun berkumpul, kemudian hujan pun turun hingga parit Kota Madinah mengalir air.

Hingga hari Jumaat berikutnya hujan masih tidak berhenti. Lelaki itu atau orang lain berdiri, ketika itu Rasulullah SAW sedang berkhutbah.

Orang itu berkata, “Kami telah tenggelam, mohonlah kepada Tuhanmu agar menahan hujan itu daripada kami.”

Maka Rasulullah SAW tersenyum dan berdoa, “Ya Allah, di sekitar kami, jangan di atas kami,” dua kali atau tiga kali.

Kemudian awan mula terkuak dari Kota Madinah ke kanan dan ke kiri. Hujan turun di sekitar kami, tidak turun di Kota Madinah walaupun sedikit.

Allah SWT menunjukkan kemuliaan Rasulullah dan doanya yang mustajab. (Muttafaqun Alaih: Al-Bukhari - 933, Kitab Al-Jumáh, Muslim - 895, Kitab Solat Al-Istisqa)

Ketika Rasulullah SAW bersama sahabat sedang berbuka puasa dengan buah kurma, setiap kali makan bijinya akan diletakkan berdekatan tempat masing-masing.

Beberapa ketika kemudian, Saidina Ali menyedari dia sudah makan kurma dengan jumlah agak banyak.

Beliau melihat longgokan biji kurma di hadapannya lebih banyak berbanding sahabat yang lain.

Secara diam-diam, Saidina Ali memindahkan biji kurma itu ke sisi Rasulullah SAW. Dengan tersipu-sipu dia berkata, “Wahai Rasulullah, nampaknya engkau begitu lapar. Engkau makan kurma lebih banyak daripadaku. Lihatlah longgokan biji-biji kurma di tempatmu.”

Rasulullah SAW tersenyum dan berkata, “Ali, kamulah yang makan lebih banyak kurma. Aku makan kurma dan masih menyimpan bijinya. Sedangkan engkau makan kurma bersama biji-bijinya!” (Riwayat Bukhari)

Saat berjenaka pun bernas sekali ungkapan Baginda. Subhanallah!

Penulis pendakwah dan penulis buku

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 11:55 AM