Gambar hiasan
Mohd Rizal Azman Rifin

MEDIA sosial kini memainkan peranan cukup penting dengan kehendak manusia. Contohnya, ceramah atau kuliah agama yang dijalankan di surau atau masjid kini boleh ditonton sesiapa sahaja di seluruh dunia secara langsung menerusi Facebook.

Kaedah penyampaian ilmu agama juga sewajarnya seiring dengan perkembangan zaman.

Malah, media sosial mampu menjadi pemangkin ke arah menyebarkan syiar Islam serta memberi kefahaman mengenai sesuatu perkara dalam agama.

Bagaimanapun, sebagai umat Islam dan pengguna media sosial yang berhemah, kita seharusnya berhati-hati ketika menyalurkan setiap maklumat.

Sudah banyak kali ditemui sebaran di laman sosial mengenai hadis tidak sahih serta kisah agama yang tidak diketahui sumber asalnya.

Sekiranya tidak berhati-hati, ia boleh menyebabkan apa sahaja dianggap sebagai benar sedangkan perkara itu tidak mendapat pengesahan pihak berkuasa berkenaan.

Urusan penyebaran urusan agama mesti berdasarkan ilmu yang sahih. Sebarang kegiatan memperkatakan mengenai agama Allah tanpa berdasarkan ilmu, bererti seseorang itu melakukan pendustaan terhadap Allah SWT.

Islam tidak membenarkan individu kurang mahir dalam sesuatu bidang ilmu, apatah lagi ilmu agama memperkatakan sesuatu dengan sewenang-wenangnya mengikut kehendak hatinya.

Larangan berbuat demikian bukan bermakna Islam hanya untuk golongan tertentu sahaja.

Dalam Surah al-Nahl, ayat 43, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutuskan rasul-rasul sebelummu (Wahai Muhammad) melainkan daripada kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu, bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

Satu hadis disampaikan Amru bin al-As, beliau mengatakan Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu secara sekali gus daripada hamba-hamba-Nya, tetapi mengangkatnya dengan cara mematikan ulama sehingga tidak ada lagi orang alim, orang ramai mengangkat pemimpin yang jahil (menjadi pemimpin mereka). Pemimpin itu ditanya tentang sesuatu isu, lalu mereka mengeluarkan fatwa tanpa berdasarkan ilmu. Mereka menjadi sesat dan menyesatkan orang lain.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Imam Malik ketika hayatnya pernah mengingatkan: “Tidak semua orang yang ingin mengajar mengenai hadis dan fatwa di masjid boleh berbuat demikian, sebaliknya perlu meminta pandangan daripada orang yang soleh dan orang-orang yang pakar mengenainya terlebih dahulu.

“Jika mereka semua berpendapat yang terbabit itu layak berbuat demikian, bolehlah mengajar di masjid itu.

“Saya sendiri tidak berani mengajar di masjid melainkan selepas 70 orang guru pakar memperakuinya, barulah saya berbuat demikian.”

Lihat bagaimana berhati-hatinya Imam Malik dalam urusan penyampaian ilmu agama.

Walaupun beliau seorang yang diakui ketokohannya dalam ilmu agama, sikap berhati-hati tetap dijunjung tinggi.

Beliau tidak melakukan sesuatu dengan sesuka hati tanpa merujuk kepada yang lebih pakar. Sikap imam tersohor itu sewajarnya dicontohi kita semua.

Kisah anggota masyarakat awam yang bercakap atau menulis berkenaan agama tanpa ilmu jelas semakin ketara dan gejala seperti itu wajib ditangani.

Berikut adalah kisah yang mungkin boleh menimbulkan rasa insaf, sekali gus menyebabkan kita lebih berhati-hati.

Terdapat dua lelaki bersaudara dalam kalangan Bani Israel suatu ketika dahulu. Salah seorang daripadanya sering berbuat dosa, sedangkan seorang lagi sangat bersungguh-sungguh dalam amalan ibadat.

Lelaki yang rajin beramal itu sentiasa melihat saudaranya melakukan dosa dan dia menasihatkannya, “Berhentilah daripada berbuat dosa.”

Jawab saudaranya, “Biarkan saya dengan Tuhan saya. Apakah kamu dibangkitkan untuk menjadi pengintip terhadap apa yang aku lakukan?”

Maka dijawab oleh lelaki yang rajin beramal ibadat itu, “Demi Allah, Allah tidak akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah tidak akan memasukkan kamu ke dalam syurgaNya.”

Ditakdirkan kemudiannya, Allah SWT mengambil nyawa kedua-dua lelaki bersaudara itu dan mereka dikumpulkan di hadapan Allah.

Lalu Allah SWT berfirman kepada lelaki yang rajin beribadat itu, “Adakah kamu lebih tahu daripada-Ku atau adakah kamu dapat menguasai apa yang ada pada tangan-Ku?”

Kemudian Allah SWT berfirman kepada saudaranya yang sering berbuat dosa, “Pergilah dan masuklah kamu ke dalam syurga dengan rahmat-Ku dan berfirman kepada yang rajin beribadat itu, Pergilah dan masuklah kamu ke dalam neraka.’”

Kisah itu dicatatkan oleh Imam Abu Daud dan Ibnu Hibban yang statusnya adalah hasan.

Sahabat Rasulullah SAW, Abu Hurairah pernah mengungkapkan, “Demi Tuhan yang mana diriku berada di dalam genggaman-Nya, seseorang hamba yang bercakap suatu kalimah tanpa melihat baik buruknya boleh membinasakan dunia dan juga akhiratnya sekali gus.”

Sehubungan itu, jangan sekat semangat untuk mendalami ilmu yang bermanfaat khususnya ilmu agama.

Cara terbaik adalah ilmu itu dipelajari dengan cara berguru, menadah kitab daripadanya dan berada di dalam masjid bagi mengikuti ilmu itu disampaikan.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 11:00 AM