GAMBAR Hiasan
Qira’ah Fatwa

Bolehkah menggabungkan dua surah dalam satu rakaat dalam solat?

Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: Tidak mengapa menggabungkan dua surah dalam satu rakaat.

Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, katanya bermaksud: “Aku mengetahui surah-surah yang pernah Rasulullah SAW menggabungkannya. Dia menyebut 20 surah daripada surah-surah al-Mufassal, setiap dua surah dalam satu rakaat. (Riwayat al-Bukhari - 822) dan Muslim - 742)

Kami kemukakan daripada ramai ulama salafus soleh yang melakukan pembacaan al-Quran dengan khatam dalam satu rakaat.

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut: Ucapan Imam al-Bukhari pada bab “Menghimpunkan dua surah pada satu rakaat serta bacaan dengan al-Khawatim (akhir surah) dan surah sebelum surah.”

Bab itu mengandungi empat masalah.

1. Menghimpunkan antara dua surah, maka hukumnya zahir harus berdasarkan kepada hadis Ibn Mas’ud dan juga hadis Anas. (Lihat Fath al-Bari, 2/255)

Dalam satu hadis diriwayatkan daripada Aisyah r.anha menyebut bermaksud: “Bahawa Rasulullah SAW mengutuskan seorang lelaki sebagai pemimpin kepada satu pasukan tentera. Dalam mengerjakan solat berjemaah, beliau (menjadi imam dan) selalu membacakan al-Quran lalu mengakhirinya dengan bacaan surah al-Ikhlas. Apabila mereka kembali, perkara itu sudah dilaporkan kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda SAW bersabda: “Mintalah penjelasan daripadanya kenapa beliau berbuat demikian?”

Mereka pun bertanya kepada sahabat berkenaan lalu beliau menjawab: “Kerana surah itu (mengandungi penjelasan berkenaan) sifat Allah, sebab itulah saya suka untuk sentiasa membacanya.”

Lantas Rasulullah SAW pun bersabda: “Beritahu kepada beliau bahawa Allah mengasihinya.” (Riwayat al-Bukhari - 7375 dan Muslim - 1926)

Ibn Battal berkata: Di sini menjadi hujah bagi sesiapa yang mengharuskan mengulangi bacaan surah pada satu rakaat dalam sembahyang sunat. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 2/392)

Daripada ‘Alqamah dan al-Aswad, mereka berdua berkata yang bermaksud: “Telah datang seorang lelaki menemui Ibn Mas’ud seraya berkata: ‘Sesungguhnya aku membaca surah mufassal pada satu rakaat, maka lantas Ibn Mas’ud menjawab: Adakah bacaannya cepat seperti cepatnya sya’ir, seperti kurma kering yang rosak jatuh.

“Akan tetapi Nabi SAW membaca dua surah yang hampir sama panjangnya, surah al-Najm dan al-Rahman dalam satu rakaat, al-Qamar dan al-Haqqah dalam satu rakaat, al-Tur dan al-Zariyat dalam satu rakaat, al-Waqi’ah dan al-Qalam dalam satu rakaat, al-Ma’arij dan al-Nazi’at dalam satu rakaat, al-Mutaffifin dan ‘Abasa dalam satu rakaat, al-Muddathir dan al-Muzzammil dalam satu rakaat, al-Insan dan al-Qiyamah dalam satu rakaat, al-Naba’ dan al-Mursalat dalam satu rakaat, al-Dukhan dan al-Takwir dalam satu rakaat.” (Riwayat Abu Daud - 1396)

Hadis itu dengan jelas menunjukkan bahawa Baginda SAW pernah melakukannya.

Berdasarkan nas-nas itu, maka dibolehkan imam membaca dua surah selepas al-Fatihah dalam rakaat yang sama. Bagaimanapun, kebiasaannya Rasulullah SAW membaca satu surah pada setiap rakaat selepas al-Fatihah.

Justeru, dibolehkan membaca dua surah bukan semestinya menjadi kelaziman.

Lebih-lebih lagi, ketika imam solat bersama jemaah yang ramai memerlukan sifat meraikan ahli jemaah, tambahan pula ada yang uzur, tua, kurang sihat serta mereka yang mempunyai hajat.

Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 1:02 PM