GAMBAR hiasan
Fadly Samsudin

DALAM kalangan makhluk ciptaan Allah SWT, paling Dia kasih dan sayang adalah manusia.

Ini dibuktikan menerusi kisah yang dinyatakan Nabi Muhammad SAW.

Rasulullah SAW menyatakan, Baginda mengetahui satu perkara iaitu lelaki terakhir akan keluar dari neraka dan turut menjadi lelaki terakhir masuk ke dalam syurga.

Dalam kisah itu, Baginda melihat lelaki berkenaan keluar dari neraka Jahanam dalam keadaan kadangkala merangkak dan tersembam mukanya ke bumi kerana neraka itu bentuknya seperti curam yang sangat dalam.

 Begitulah keadaan neraka - semakin dalam kedudukannya, maka semakin panas api dan ‘bahang’ bakarannya.

 Setiap hari lelaki itu dibakar di dalam neraka. Selepas dosa-dosanya disucikan, akhirnya Allah SWT mengeluarkannya dari neraka disebabkan dalam dirinya masih ada iman sebesar zarah.

Seperti yang kita ketahui, zarah itu lebih kecil daripada sebutir pasir. Begitulah betapa kasih dan sayangnya Allah SWT buat hamba-Nya selagi seseorang itu tidak pernah mensyirikkan Allah SWT.

Walaupun lelaki itu paling akhir masuk ke syurga, dia tetap dinanti-nantikan serta dialu-alukan Allah SWT untuk masuk ke dalam syurga-Nya.

Lelaki terakhir dan paling rendah kedudukannya di dalam syurga itu kemudian melintasi titian sirat. Setelah selesai, lelaki itu tiba di taman syurga.

Di situ, dia melihat sepohon pokok yang besar lalu dia memohon kepada Allah SWT untuk menghampiri pohon besar itu serta ingin minum air dari sungai yang mengalir di bawahnya itu.

Permintaan lelaki itu diizinkan Allah SWT namun dengan syarat lelaki itu tidak membuat permintaan yang kedua.

Lelaki itu menjawab, dia berjanji kepada Allah SWT tidak akan meminta lagi permohonan lain. Maka, Allah SWT ‘meluluskan’ permintaan pertamanya.

Selepas menikmati air dari sungai itu, lelaki itu melihat pula pohon dan sungai yang lebih besar.

Kemudian, dia memohon lagi kepada Allah SWT untuk mendekati pohon yang terletak lebih hampir dengan pintu syurga itu.

Allah SWT berkata kepadanya yang bermaksud: “Bukankah sebentar tadi kamu sudah berjanji tidak akan memohon permintaan lain?”

Lelaki itu berkata, itu adalah permintaannya yang terakhir. Bagaimanapun, Allah SWT tidak menghampakan permohonan lelaki itu.

Bagaimanapun, apabila berada di pohon kedua, dia melihat pula pohon ketiga. Tanpa perasaan bersalah, sekali lagi dia memohon kepada Allah SWT untuk duduk di pohon ketiga yang lebih rendang dan luas sungainya.

Allah SWT berkata kepada lelaki itu yang bermaksud: “Hambaku, bukankah baru sebentar tadi kamu berjanji tidak lagi memohon kepadaku dengan permintaan lain?”

 Maka, berkali-kali lelaki itu berjanji di hadapan Allah SWT. Untuk kali ketiga, dia berjanji itu adalah permohonannya yang terakhir.

Apabila sampai di pohon yang ketiga itu, dia mendengar bunyi-bunyian dari dalam syurga.

Lelaki itu berkata, “Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam syurga ini.” Permintaan keempat itu bagaimanapun tetap ditunaikan oleh Allah SWT.

Lalu dia dibenarkan masuk ke dalam syurga. Ketika lelaki itu masuk beberapa kali ke dalam syurga, dia mendapati di dalamnya sudah penuh.

Pada kali ketiga, ketika dia keluar, Allah SWT berfirman kepada lelaki itu yang bermaksud: “Wahai lelaki terakhir yang masuk ke dalam syurga, ingatkah kamu akan kemewahan dunia?”

 Ketika Allah SWT menyebut kepada lelaki itu kedudukannya sebagai orang terakhir masuk ke dalam syurga, dia dikurniakan nikmat 10 kali ganda dunia.

Lelaki itu kemudiannya berkata kepada Allah SWT kenapa dia dipersendakan sedangkan Allah SWT Tuhan sekalian alam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Aku tidak pernah mempersendakan kamu kerana sesungguhnya sepuluh kali ganda dunia itulah pemberian Aku kepada kamu. Dan sesungguhnya wahai pemuda, Aku berhak dan Aku berkuasa untuk melakukan apa sahaja yang Aku kehendaki. Masuklah ke dalam syurga dan kekallah di dalamnya selama-lamanya.”

Kata Nabi Muhammad SAW, Allah SWT sengaja menukar keadaan di dalam syurga itu seakan-akan ia penuh untuk bergurau dengan lelaki berkenaan.

Kisah yang dinyatakan itu adalah bersumberkan hadis sahih riwayat Imam Muslim.

Sehubungan itu, kita perlu sentiasa mencari cinta Allah SWT dan meletakkan kecintaan kepada Allah SWT yang paling tinggi dalam kehidupan kita supaya Allah SWT menganugerahkan kecintaan-Nya kepada kita.

Semoga kita semua digolongkan Allah SWT dalam kalangan orang yang dianugerahkan syurga dan reda-Nya.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 8:34 AM