GAMBAR hiasan
Sedetik Rasa

KONSEP zikir itu sepatutnya membuatkan seseorang itu ingat serta dekat kepada Allah SWT.

Hakikatnya, ramai dalam kalangan kita contohnya selepas selesai menunaikan solat, mulut mengucapkan istighfar namun tangan memegang telefon untuk melihat mesej yang masuk atau menyemak status dihantar di laman sosial.

Bagaimana istighfar itu mampu memberi kesan kepada si pengucapnya jika ia dilakukan sambil lewa.

Nabi Nuh a.s ketika berdakwah kepada umatnya selama 950 tahun, kalimat pertama yang disampaikan kepada kaumnya adalah seruan untuk beristighfar.

Perkara itu dinyatakan dalam Surah Nuh ayat 9-13 yang bermaksud: “Selain daripada itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus terang dan menyeru mereka lagi secara berseorangan perlahan-lahan. Sehingga mereka aku berkata (kepada mereka): ‘Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu. Dan Dia juga akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak pinak dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaan-Nya.’”

Daripada ayat itu, Allah SWT menjanjikan kepada mereka yang sering beristighfar dengan pelbagai ganjaran seperti dosa diampunkan, dikurniakan limpahan hujan yang bermanfaat, harta kekayaan, anak pinak serta kenikmatan hidup.

Ternyata anjuran untuk beristighfar itu bukan kalimat yang biasa kerana jika kita mampu mengucapkannya dengan baik, maka Allah SWT akan mengurniakan kemuliaan seperti yang dinyatakan Nabi Nuh kepada kaumnya.

Orang yang rajin beristighfar juga Allah SWT akan sediakan tempat kembali kepada mereka iaitu syurga seluas langit dan bumi serta digolongkan mereka sebagai orang bertakwa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Al-Imran, ayat 133)

Apabila dilihat kepada ganjaran yang cukup hebat disediakan Allah SWT itu, adakah kita masih ingin bersambil lewa ketika mengucapkan kalimah istighfar?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 8:22 AM