GAMBAR hiasan
Kembara Mukmin

Rasulullah SAW memberi jaminan buat umatnya, antara mata yang tidak akan disambar api neraka Jahanam sampai bila-bila adalah mata yang menangis kerana takut kepada Allah SWT.

Cukup mahal sekali apabila memiliki hati yang begitu mudah tersentuh dan mengalirkan air mata kerana takutkan Allah SWT. Malah, Allah SWT turut menggambarkan sifat orang beriman itu ialah apabila disebut kalimah Allah, maka akan bergoncang hatinya.

Apabila ingin memberikan suntikan tarbiah kepada umatnya, Baginda SAW tidak akan melepaskan kita daripada memikirkan peristiwa hari kiamat.

Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad menerangkan: “Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan daripada Allah pada hari kiamat apabila tidak ada naungan melainkan naungan Allah. Mereka adalah:

• Pemimpin yang adil.

• Pemuda yang sejak kecil sudah beribadat kepada Allah yang Maha Besar lagi Maha Perkasa.

• Orang yang hatinya terpaut pada masjid.

• Dua individu yang saling mengasihi kerana Allah, kedua-duanya berkumpul kerana Allah dan berpisah pun kerana Allah.

• Lelaki yang dipikat wanita yang mempunyai status dan kecantikan tetapi dia berkata: “Percayalah, saya takut kepada Allah.”

• Orang yang bersedekah dan merahsiakan sedekahnya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya.

• Orang yang ingat kepada Allah dalam keadaan sunyi lalu menitis air matanya. (Hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim)

Jelas kepada kita, salah satu golongan yang mendapat naungan Allah SWT itu adalah mereka yang bangun ketika orang lain sedang nyenyak tidur pada malam hari.

Mereka bangun untuk berdoa dan berzikir kepada Allah SWT sambil menitiskan air mata kerana takutkan Allah SWT tatkala mengingatkan kembali dosa yang pernah dilakukan.

Barangkali, sikap orang seperti itu sangat kurang dimiliki setiap insan yang beriman kepada Allah SWT. Mereka adalah golongan yang dipilih Allah SWT untuk memiliki hati yang bersih dan jernih.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka.’” (Surah al-Imraan, ayat 191)

Satu lagi hadis yang turut menerangkan kelebihan menangis ialah daripada Abdullah bin Mas’ud: Nabi SAW menerangkan kepada saya, ‘Baca al-Quran untuk saya.’ Saya menjawab, ‘Wahai utusan Allah, bagaimana pula saya hendak membacakan al-Quran untuk tuan sedangkan ia diturunkan kepada tuan?’

Dijawab oleh beliau, ‘Saya suka mendengar orang lain membacanya.’ Saya pun membacakan surah an-Nisa’ kepada beliau sehingga sampai ke ayat 41 yang bermaksud: ‘Bagaimana nanti apabila Aku hantar saksi kepada setiap umat dan kamu Aku jadikan saksi bagi umat ini?’

“Kemudian Nabi Muhammad SAW berkata, ‘Cukuplah bacaan saudara itu.’ Saya menoleh kepada beliau, tiba-tiba saya ternampak air matanya mengalir.” (Diriwayatkan Bukhari dan Muslim)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 9:28 AM