UMAT Islam perlu berusaha mencontohi Rasulullah. FOTO/NSTP
Bersama Mohd Shahrizal Nasir

Rasulullah SAW diiktiraf sebagai penghulu sekalian nabi dan rasul. Baginda diutuskan untuk membawa rahmat kepada seluruh alam meliputi manusia dan makhluk lain sehingga hari kiamat.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107)

Baginda SAW dimuliakan Allah SWT dengan tanggungjawab cukup besar.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa berita gembira (kepada orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang yang ingkar). Dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufik yang diberiNya dan sebagai lampu yang menerangi.” (Surah al-Ahzab, ayat 45-46)

 Ketika pensyariatan solat fardu, Baginda SAW diperintahkan untuk menemui Allah SWT di Sidratul Muntaha sepertimana dinyatakan dalam nas sahih berkaitan peristiwa Isra’ dan Mikraj.

Allah SWT ada menyatakan kemuliaan diri Rasulullah SAW menerusi firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Kami mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat).” (Surah al-Kauthar, ayat 1)

Apa lagi yang perlu dijelaskan sebagai bukti kemuliaan Rasulullah SAW di sisi Allah SWT? Semuanya cukup jelas diperakukan Allah dan termaktub dalam al-Quran iaitu Kalamullah.

Kemuliaan yang ada pada diri Baginda tidak sama sekali menangkis seribu satu cabaran yang dihadapi dalam hidupnya.

Begitu juga dengan perjalanan dakwahnya. Pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap dirinya yang mulia. Baginda sering ditohmah sebagai seorang tukang sihir dan pendusta.

Itu satu tohmahan yang amat berat ketika Baginda diperintahkan untuk menyebarkan dakwah kepada manusia. Mereka melemparkan gelaran yang boleh membuatkan orang ramai tidak percayai terhadap diri Baginda SAW.

Perkara itu dirakamkan Allah SWT di dalam al-Quran: “Dan mereka (yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu) berasa hairan bahawa mereka didatangi seorang rasul pemberi amaran daripada kalangan mereka sendiri. Dan mereka yang kafir itu berkata: Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta.” (Surah Sad, ayat 4)

Bukan sekadar dilemparkan gelaran buruk, Baginda juga pernah dipulaukan penduduk Makkah selama beberapa tahun bersama pengikutnya yang beriman.

Tidak cukup dengan itu, Baginda menerima ugutan bunuh semata-mata kerana tindakannya menyebarkan dakwah kepada penduduk Makkah.

Semuanya dihadapi dengan penuh sabar dan taat terhadap perintah Allah SWT. Penghinaan kepada Rasulullah SAW oleh orang yang tidak beriman itu adalah asam garam dalam kehidupannya.

Kita kenang pula bagaimana peristiwa Baginda diperlakukan oleh penduduk Taif. Mereka menolak dakwah serta menghina Rasulullah SAW dengan ejekan dan balingan batu sehingga mengalir darah daripada tubuh Baginda yang mulia itu.

Umat Islam perlu sentiasa menzahirkan rasa kasih terhadap Baginda.

Segala tomahan yang dilemparkan kepada insan bernama Muhammad Rasulullah SAW perlu disangkal.

Tindakan itu memberi mesej jelas bahawa penghinaan terhadap diri Rasulullah SAW tidak boleh diterima sama sekali.

Daripadaa Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak beriman seseorang dalam kalangan kalian hingga menjadikan aku lebih dicintai melebihi kecintaannya kepada anaknya, bapanya dan seluruh manusia.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kecintaan kepada Baginda SAW bukan saja perlu dizahirkan ketika dirinya dihina golongan kafir, malah perlu dizahirkan melalui amalan berselawat ke atasnya pada setiap masa.

Lebih teruk, ada orang mengaku dirinya Islam, tetapi tidak pernah berselawat, tidak mengikut sunah serta menolak ajaran Baginda atas alasan peredaran zaman.

Mereka turut mengaitkan Baginda dengan sesuatu yang tidak pernah dinyatakan olehnya. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesiapa yang membenci (menolak) sunahku, maka dia tidak termasuk golonganku.” (Muttafaq ‘alaih)

Sunah terbesar adalah menyebarkan dakwah Islamiah. Itu yang menjadi perjuangan sepanjang hidup Baginda. Sebarkan Islam kepada manusia walaupun dengan sebaran yang kecil. Terus menyebarkan Islam kerana hanya Islam agama yang diterima di sisi Allah SWT.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 11:26 AM