SURAH diturunkan untuk memberi manfaat akal dan jiwa insan.
Fatimah Syarha Mohd Noordin

AKRAB dengan wahyu bermakna akrab dengan kekuatan. Wahyu diturunkan Allah SWT untuk memberi kekuatan kepada hamba-Nya dan menjadi rahmat kepada sekalian alam.

 Sejarah agung penurunan al-Quran mengembangkan budaya keilmuan seperti membaca, mengkaji dan meneroka sehingga kehidupan dan kemanusiaan menjadi lebih baik.

Penurunan al-Quran pertama kali berlaku ke atas Nabi Muhammad SAW ketika Baginda bersunyian di Gua Hira’. Baginda didatangi Jibrail yang mengarahkan dengan satu arahan keramat, “Bacalah!”

Namun, Nabi Muhammad SAW menjawab: “Saya tidak tahu membaca.” Jibrail terus memeluk Baginda dengan kuat sehingga pelukan itu membuatkan Baginda sukar untuk bernafas.

Episod itu berterusan sehingga beberapa kali. Lalu Jibrail melepaskan Nabi SAW dan mengajar Baginda membaca lima ayat pertama daripada Surah al-’Alaq.

Baginda pulang ke rumah dalam keadaan ketakutan. Baginda minta diselimutkan. Setelah tenang, Nabi SAW meluahkan kebimbangannya, namun ditenangkan isteri tercinta, Saidatina Khadijah binti Khuwailid.

 Khadijah yang bijaksana merujuk isu itu kepada sepupunya, orang alim bernama Waraqah bin Nawfal. Waraqah menjelaskan makhluk yang mendatangi Nabi SAW itu adalah makhluk yang sama mendatangi Nabi Musa a.s untuk pelantikan sebagai rasul.

 Sekiranya Waraqah masih muda dan kuat, beliau sendiri mahu mendukung perjuangan Nabi SAW, namun apakan daya beliau cuma insan tua yang uzur lagi buta.

Allah SWT mendidik Rasul-Nya supaya bertambah kuat memikul tugas sebagai utusan-Nya dengan pendidikan al-Quran. Nabi SAW memulakan dakwahnya dengan golongan yang berada dalam lingkungan pengaruh dan kuasanya iaitu ahli keluarga terdekat dengan perintah al-Quran.

Ada yang segera menerima dan ada juga yang hebat menentang. Pendidikan hebat Allah SWT itu dapat difahami daripada ayat al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.

Pertama ialah Surah al-‘Alaq. Surah itu berjumlah 19 ayat. Ayat 1 hingga 5 daripada surah itu adalah ayat al-Quran yang pertama kali diturunkan saat Nabi Muhammad SAW bersunyi-sunyian di Gua Hira’.

Ia termasuk surah Makkiyah (diturunkan sebelum hijrah). Dalam surah yang dinamai segumpal darah (Al-A’laq) itu, Nabi Muhammad SAW diajar supaya banyak membaca wahyu yang turun ke atasnya.

Bacaan itu hendaklah dengan nama Allah SWT yang menciptakan. Nabi SAW diperkenalkan Allah SWT sebagai Tuhan yang menjadikan manusia daripada segumpal darah.

Allah SWT menjadikan kalam sebagai alat untuk mengembangkan pengetahuan. Tidak hairanlah umat Baginda sangat menjunjung ilmu pengetahuan.

Dalam surah itu juga Allah SWT menguatkan Nabi-Nya dengan pembelaan. Allah SWT menyergah golongan yang bertindak melampaui batas dan mengancam mereka yang menghalangi kaum muslimin melaksanakan perintah Allah SWT.

Ia bertepatan dengan sebab turunnya surah ini (ayat 9-17) iaitu berhubung perbuatan Abu Jahal melarang Baginda SAW untuk melakukan solat.

Maka turunlah ayat itu sebagai ancaman kepada orang-orang yang menghalang orang lain melakukan ibadat walaupun berasa dia memiliki ramai pengikut.

Cukup dengan memanggil Malaikat Zabaniyah (yang menyeksa orang-orang berdosa di dalam neraka). Allah SWT boleh menarik ubun-ubun mereka.

Berikutnya, terdapat didikan Allah SWT tentang kepentingan ilmu pengetahuan dalam Surah al-Qalam. Surah itu terdiri daripada 52 ayat, termasuk Surah Makkiyah dan diturunkan selepas Surah al-’Alaq.

Surah itu dinamakan al-Qalam, merujuk kepada kata al-Qalam yang terdapat pada ayat pertama surah itu yang bererti ‘pena’. Surah itu juga dikenali sebagai Surah ‘Nun’ merujuk kepada huruf Nun pada awal surah.

 Surah berkenaan menceritakan kepentingan kalam dan penulisan. Ia menjadi medium pengetahuan manusia dalam mengajak manusia kepada kehidupan bersumberkan ilmu yang benar, namun Baginda dituduh gila.

Allah SWT memujuk utusan-Nya dengan penafian Baginda bukan gila, bahkan berbudi pekerti lagi agung. Allah SWT juga melarang bertoleransi dalam soal kepercayaan.

Allah SWT mendidik peribadi utusan-Nya supaya tidak mengikuti orang-orang mempunyai sifat tercela pada pandangan Allah SWT. Allah SWT menceritakan nasib pemilik kebun sebagai contoh orang yang tidak bersyukur terhadap nikmat Allah SWT.

Allah SWT juga mengecam orang yang ingkar dan mengancam mereka dengan azab. Begitulah peranan al-Quran sebagai peringatan bagi seluruh umat.

Seterusnya, Nabi SAW menerima bekalan kekuatan jiwa yang sangat hebat daripada Surah al-Muzammil ber maksud, ‘Orang yang berselimut’.

Dalam surah itu, Allah SWT menguatkan NabiNya dengan petunjuk supaya bangun pada malam hari dan bersolat tahajjud. Ia satu persiapan jiwa untuk menyampaikan wahyu yang berat.

Selain itu, membaca al-Quran dengan tartil pada malam hari lebih berbekas dalam jiwa dan mudah dihayati. Allah SWT juga mengajar bertasbih dan bertahmid serta memerintahkan supaya sentiasa bersabar di atas celaan yang diterima

 Surah al-Dhuha yang diturunkan selepas Surah al-Fajr bagaikan surah cinta agung apabila Allah SWT mengungkap dengan indah bahawa Dia tidak akan sesekali meninggalkan Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT memberikan harapan bahawa kehidupan dan dakwah Nabi Muhammad SAW akan bertambah baik dan berkembang.

Allah SWT juga membela kemanusiaan apabila mengajar etika supaya tidak menghina anak yatim dan mengherdik orang yang meminta-minta.

Allah SWT mengajar cara untuk bahagia iaitu dengan banyak menyebut nikmat-Nya sebagai tanda bersyukur. Surah al-Insyirah yang diturunkan selepas Surah al-Dhuha tidak kurang hebatnya.

Dalam surah itu, Allah SWT mengingatkan bahawa Dia melapangkan dada Nabi-Nya dan mengangkat beban kesukarannya.

Lebih indah, Allah SWT memotivasikan bahawa bersama kesusahan terdapat kesenangan. Sebab itu, Nabi SAW tetap kuat melakukan amal soleh dan terus bertawakal kepada-Nya.

Demikian indahnya hidup bersama kekuatan motivasi al-Quran. Simbahilah jiwa kita dengan bekalan ini supaya jiwa bertambah kuat.

Bahkan, ia bermanfaat bagi akal supaya terus kuat cetusan semangat mengembangkan ilmu pengetahuan, sekali gus menguatkan jasad untuk beramal soleh.

Penulis pendakwah dan penulis buku

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 7:00 AM