UMAT Islam perlu mempunyai keyakinan penuh kepada Allah SWT. FOTO hiasan
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

SEBELUM kedatangan Islam, masyarakat Arab menyembah pelbagai tuhan. Mereka menjalani kehidupan tidak bermoral, melakukan kejahatan serta bertindak kejam.

Apabila Islam diturunkan melalui Rasul yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW, ia membawa manusia keluar daripada kegelapan.

Mereka menerima dan mengambil Islam sebagai agamanya. Malangnya pada hari ini, ramai orang Islam hanya ‘Muslim’ pada nama sahaja dan melupakan ajaran Islam sebenar.

Tidak ada sebarang keistimewaannya sebagai seorang Islam berbanding dengan penganut agama lain jika tidak mematuhi tanggungjawab agama dan moral sebagai pengikut agama Islam.

Sebagai seorang Muslim, seseorang perlu menjalani kehidupan mengikut ajaran al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Berikut beberapa ciri utama yang harus diusahakan untuk diadaptasikan dalam kehidupan sebagai umat Islam.

1. Mengingati Allah SWT

Umat Islam perlu mempunyai keyakinan penuh kepada Allah SWT sebagai Pencipta.

Selain memiliki kepercayaan sepenuhnya pada Keesaan Tuhan, seorang Muslim mesti selalu mengingati Allah SWT yang akan menjadi daya tahan untuk tidak tunduk kepada sesiapa dalam mencari keyakinan, bantuan dan belas kasihan.

Firman Allah SWT dalam Surah Ar Ra’d, ayat 28, yang bermaksud: “(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, dengan mengingati Allah lah hati menjadi tenteram.”

Ayat itu menyatakan, orang beriman memperoleh kepastian hati dan kepercayaan dengan mengingati secara konsisten terhadap kebesaran Allah SWT.

Perbuatan mengingati Allah SWT bukan sahaja ketika dalam solat, tetapi perlu menjadi sebahagian rutin dalam kehidupan.

2. Sentiasa bersikap benar

Seseorang tidak boleh menganggap dirinya seorang mukmin sejati melainkan dia mengambil berat terhadap wataknya sendiri.

Salah satu sifat utama yang ditekankan oleh Islam ialah menonjolkan keindahan keperibadian seseorang dengan mengamalkan kebenaran.

Muslim bukan hanya mempunyai akidah dan kepercayaan yang benar, wajib bersikap benar dalam semua tindakannya termasuk pertuturan.

Firman Allah dalam Surah At-Taubah, ayat 118 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.”

Ayat itu jelas mengarahkan semua orang beriman menjadikan kebiasaan dalam bersikap benar. Ia satu proses berterusan sepanjang hubungan kita dengan yang lain termasuk bersikap jujur, memenuhi segala janji dan menegakkan keadilan.

Justeru, tidak ada ruang untuk bersifat ‘talam dua muka’.

3. Sikap rendah diri, pemaaf dan pemurah

Terdapat penekanan yang besar terhadap kesopanan, memberikan sedekah dan pemaaf. Nabi Muhammad SAW mempunyai keperibadian paling hebat.

Baginda seorang yang sederhana dalam hubungannya dengan orang lain, mengampuni musuh ketatnya dan selalu melakukan amal kebajikan.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah harta menjadi berkurang kerana sedekah dan tidaklah seseorang yang memberi maaf kepada orang lain melainkan Allah akan menambah kehormatan kepada dirinya dan seseorang tiada bersikap merendah diri kerana Allah, melainkan ia akan diangkat darjatnya oleh Allah.” (Hadis riwayat Muslim)

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 12:30 PM