MAKAM Rasulullah di bawah kubah hijau di Masjid Nabawi, Madinah.
Fadly Samsudin

Apabila ada orang bukan Islam biadab mencerca serta menghina Nabi Muhammad SAW, kita wajib mempertahankannya.

Selayaknya apabila berlaku perkara sedemikian dalam masyarakat kita hari ini, umat Islam perlu bersatu hati menzahirkan penghormatan buat Rasulullah SAW.

Antara sifat agung yang ada pada diri Baginda adalah sifat prihatin serta kerinduan terhadap umatnya walaupun Baginda tidak pernah melihat kita.

Dalam sebuah hadis ada dinyatakan mengenai kerinduan serta kecintaan Rasulullah SAW terhadap umatnya yang lahir selepas kewafatannya.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersama-sama sahabatnya pergi ke kawasan perkuburan Baqi’ dan Baginda bersabda yang bermaksud: “Sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita.”

Pensyarah kanan Fakulti Pengajian Al-Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi dalam satu perkongsian menyatakan sahabat Rasulullah SAW sangat menjaga kemuliaannya biarpun Baginda sudah wafat.

Menurutnya, segala apa yang menyakiti Rasulullah SAW pasti akan membuatkan sahabat Nabi berasa sensitif.

Diceritakan, pernah dua lelaki dari Taif meninggikan suara di Masjid Nabi. Saidina Umar datang memanggil mereka lalu menegur mereka. Umar berkata: “Apakah kamu berdua meninggikan suara di dalam Masjid Rasulullah?” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kewajipan mencintai Rasulullah SAW juga dikaitkan dengan keimanan diri seseorang.

Malah, kecintaan itu perlu melebihi orang yang paling rapat dengan diri kita termasuk ibu bapa dan anak sendiri.

Daripada Anas r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia lebih mencintai aku daripada kedua-dua orang tuanya, anaknya dan manusia seluruhnya.” (Riwayat Bukhari)

Tanamkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dengan cara mempelajari sejarah kehidupan Baginda untuk dijadikan contoh dan panduan hidup.

Jika perkara itu diabaikan, sudah pasti generasi pada hari ini dan akan datang tidak berasa sensitif ketika Rasulullah SAW dihina.

Diceritakan dalam peristiwa Tabuk, ada beberapa orang munafikin mencela Nabi Muhammad SAW.

Lalu turun ayat al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main.” Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”

“Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta) kerana sesungguhnya kamu kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak daripada kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.” (Surah At-Taubah, ayat 65-66)

 Begitu juga berlaku peristiwa pada zaman Nabi Muhammad SAW, ada seorang lelaki buta mempunyai hamba wanita yang cukup anti dan sering mencerca Baginda SAW.

Lelaki buta itu cuba melarangnya, tetapi wanita itu tetap tidak mahu berhenti menghina Nabi Muhammad SAW.

Pada suatu malam, wanita itu kembali mencela dan menghina Nabi Muhammad SAW.

Akhirnya, lelaki buta itu mengambil pisau, lalu ditikam ke perut hamba wanita itu sehingga mati.

Pada keesokan harinya, kecoh di Madinah ada seorang wanita dibunuh. Berita itu sampai ke pengetahuan Nabi SAW.

Lalu Baginda mengumpulkan sahabat dan bertanya: “Saya jadikan Allah sebagai saksi, jika benar ada orang yang membelaku, tolonglah berdiri.”

 Kemudian lelaki buta itu berdiri dan menceritakan kejadian sebenar yang berlaku. Maka, Nabi SAW menyatakan darah wanita itu tiada nilai.

Menghina Rasulullah SAW adalah perbuatan yang cukup buruk. Seluruh umat Islam perlu sentiasa berdoa supaya Allah SWT memberikan hidayah kepada umat ini untuk beramal dengan ajaran Nabi SAW.

Di Mahsyar kelak, Baginda adalah individu yang akan dicari manusia supaya mereka diberikan syafaat dan pertolongan untuk melepaskan diri daripada diazab api neraka.

Baginda SAW akan berdoa kepada Allah SWT untuk membantu umatnya dan permintaannya itu akan diperkenankan Allah SWT.

Begitulah betapa kasih dan sayang Nabi Muhammad SAW terhadap umatnya. Perjuangan Baginda mengembangkan Islam menyebabkan umat Islam sehingga ke hari ini dapat mengecapi nikmat terbesar iaitu iman dan Islam.

Sehubungan itu, kita perlu sentiasa menzahirkan rasa kerinduan terhadap Nabi Muhammad SAW antaranya dengan berselawat serta mengamalkan sunahnya.

Amalan selawat itu cukup tinggi nilainya. Setiap kali kita berselawat, selawat itu pasti akan dibalas oleh Baginda.

Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang pun yang memberikan salam kepadaku (selepas kewafatanku), melainkan Allah mengembalikan rohku sehinggalah aku dapat menjawab salam orang itu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad, Riyadus Solihin)

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 11:17 AM