GAMBAR hiasan
Sedetik Rasa

MALAIKAT penjaga neraka dikenali dengan nama Zabaniyah. Sifat malaikat itu sangat kasar, keras dan tiada belas kasihan!

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-‘Alaq, ayat 16-17 yang bermaksud: “Kemudian biarlah ia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya). Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya)!”

Sisa usia kita yang masih berbaki ini adalah untuk mempersiapkan diri kita dengan melakukan amalan ahli syurga.

Setiap orang beriman pasti akan bimbang dan sangat takut melakukan kemaksiatan apabila membaca ayat al-Quran ancaman daripada Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah At-Tahriim, ayat 6)

Penghuni neraka kelak, tidak akan mati biarpun tubuh badan mereka sentiasa dibakar, dicincang, dipotong atau dirosakkan.

Dalam Surah Al-Furqan, ayat 65-66 yang bermaksud: Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka jahanam daripada kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan. Sesungguhnya neraka jahanam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk.”

Nabi Muhammad SAW pernah bercerita mengenai kedalaman api neraka.

Daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata, “Kami pernah bersama Nabi SAW, tiba-tiba beliau mendengar seperti suara benda jatuh ke dasar.

“Nabi SAW bertanya, ‘Tahukah kalian suara apa itu?’ Kami menjawab, ‘Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.’”

Baginda bersabda yang bermaksud: ‘Ini adalah batu yang dilemparkan ke neraka sejak 70 tahun yang lalu dan sekarang baru sampai ke dasarnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis sahih itu menunjukkan saiz neraka sangat besar dan dalam.

Bayangkan, golongan yang mendapat seringan-ringan seksaan di dalam api neraka kelak adalah seorang lelaki yang diberi pakai kasut atau selipar daripada api neraka.

Sebaik sahaja meletakkan kakinya di atas selipar itu, maka akan terbakar dan menggelegak otaknya.

Ketika itu, dia merasakan dialah yang mendapat azab neraka paling pedih, sedangkan itulah seringan-ringan azab di dalam neraka.

Marilah kita semua memanjatkan doa dengan penuh pengharapan supaya Allah SWT selamatkan diri dan ahli keluarga kita daripada menjadi bakaran api neraka.

Sesungguhnya, tiada manusia yang mampu menahan azab neraka SWT. Semua sisi di dalam neraka itu api yang sangat luar biasa kepanasannya sehingga membuatkan seluruh penghuninya tidak mampu lari.

Ibn Mas’ud menyatakan, Rasulullah SAW mengajarkan satu doa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika seorang kamu bertasyahud, maka hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah daripada empat perkara iaitu “Allahumma inni a’uuzubika min ‘azaabi jahannama, wamin ‘azabil qabr, wamin fitnatil mahya wal mamaaat, wamin syarri fitnatil masih al-Dajjal.” (Riwayat Muslim)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 11:07 AM