GAMBAR hiasan.
AL-FIQH

1. Antara roh dan jasad manusia, mana yang dijadikan terlebih dahulu? Adakah kedua-duanya akan binasa?

Roh sebenarnya terlebih dahulu wujud sebelum wujud jasad manusia. Roh tidak akan rosak manakala jasad pasti akan rosak dan binasa.

Sementara itu, nikmat dan azab seksa akan dirasai oleh kedua-duanya.

2. Di manakah roh akan ditempatkan?

Roh orang beriman ditempatkan di ‘Illiyyin manakala roh orang kafir ditempatkan di Sijjin. Bagaimanapun, roh tetap ada hubungan dengan jasadnya.

Syeikh al-Qurtubi berkata: “Roh para syuhada berada di dalam syurga dan ada pula pendapat mengatakan bahawa roh orang yang beriman semuanya di dalam syurga.

Apabila tiba saat kematian bagi seseorang, malaikat maut ditugaskan mengambil nyawanya dan selepas itu rohnya akan disambut oleh malaikat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya roh orang beriman dalam kalangan kamu hidup gembira. Apabila mereka bertemu antara satu sama lain, mereka akan bertanya mengenai
si polan, apakah Allah sudah lakukan terhadap si polan lelaki dan apa pula yang Allah lakukan terhadap si polan perempuan. Jika mereka menjawab mengatakan bukankah si polan juga sudah datang ke alam ini bersama-sama kita, maka mereka akan berkata, adapun si polan sudah dipertemukan dengan ibunya.”

Daripada apa yang disampaikan itu menunjukkan orang yang sudah meninggal dunia juga boleh berkata-kata, berbual-bual dan bertanya khabar sesama mereka.

Ia sama seperti hadis yang menceritakan mengenai orang yang meninggal dunia dan sudah dikebumikan menjawab salam yang diucapkan oleh orang yang hidup ketika melintas kawasan kuburnya.

Kadangkala ada manusia yang sampai ke tahap keramat (wali) dan selepas dikebumikan, mereka juga akan diperdengarkan kepadanya apa yang berlaku di dunia.

3. Apabila didapati matahari terbit di sebelah barat (menandakan kiamat hampir berlaku), adakah pada ketika itu Allah akan menerima taubat seseorang yang bertaubat?

Adakah pada masa itu masih diterima orang kafir yang hendak masuk Islam serta pada ketika itu, adakah amalan soleh masih diangkat kepada Allah SWT?

Begitu juga, adakah umat Islam masih wajib menunaikan solat dan jika masih diwajibkan, bagaimana caranya?

Pada saat itu, Allah SWT tidak akan menerima lagi taubat orang mukalaf mahupun orang yang melakukan maksiat.

Begitu juga Allah tidak akan menerima orang kafir yang ingin memeluk Islam. Selain itu, segala amalan soleh dan segala amalan sunat masih diangkat dan dibawa menghadap Allah SWT kerana hukum wajib dan sunat masih kekal seperti keadaannya.

Matahari akan terus naik sehingga gelincir dan selepas itu kembali turun seperti kebiasaannya.

Sumber: Kitab Furu’ Al-Masa’il wa Usul Al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 1:57 PM