SESEORANG itu boleh saja mengucapkan takziah secara bertulis di Facebook, WhatsApp dan seumpamanya. FOTO hiasan
Qira’ah Fatwa

APABILA menerima berita kematian seseorang melalui aplikasi WhatsApp, perlukah kita menyampaikan takziah secara bertulis atau memadai mengucapkannya secara lisan?

Dari sudut definisi, takziah bermaksud: “Memberikan ketenangan kepada keluarga si mati dan menggalakkan mereka untuk bersabar dengan jaminan pahala (terhadap perbuatan itu) serta mendoakan jenazah si mati yang beragama Islam dan juga doa kepada mereka yang ditimpa musibah.”

Secara umumnya, hukum takziah di dalam Islam adalah sunat yang dituntut. Ini berdasarkan satu hadis diriwayatkan Abu ‘Umarah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada seorang mukmin yang mengucapkan takziah kepada saudaranya disebabkan suatu musibah melainkan Allah SWT akan memakaikannya dengan pakaian kemuliaan pada hari kiamat kelak.”(Riwayat Ibn Majah - 1601)

Imam Al-Sindi dalam syarahannya ke atas hadis itu berkata: “Takziah kepada saudaranya adalah dengan cara menyuruhnya supaya bersabar. Seperti ucapan ‘semoga Allah memberikan ganjaran yang besar kepada kamu’ dan seumpamanya.” (Rujuk Hasyiyah Al-Sindi ‘ala Ibn Majah - 1/486)

Ucapan sebegitu menepati anjuran Rasulullah SAW seperti yang disebutkan dalam riwayat daripada Usamah bin Zaid r.a berikut bahawa Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi Allah SWT apa yang Dia ambil dan milik-Nya jualah apa yang Dia berikan. Semuanya ada ajal (tempoh masa) yang tertentu di sisi-Nya. Perintahkanlah dia (perempuan itu) untuk bersabar, nescaya kamu akan mendapat ganjaran.” (Riwayat Al-Bukhari - 7377)

Seseorang itu boleh saja mengucapkan takziah di hadapan mereka yang ditimpa musibah itu atau boleh untuk seseorang mengucapkan takziah secara bertulis dan mengajak orang ramai turut mengucapkan takziah kepada keluarga si mati seperti yang dilakukan di Facebook, WhatsApp dan seumpamanya.

Boleh juga bagi seseorang mewakilkan orang lain menyampaikan takziah kepada orang ditimpa musibah bagi pihaknya seperti berlaku dalam hadis Usamah itu apabila Rasulullah SAW menghantar wakil untuk mengucapkan takziah atas musibah yang menimpa.

Dibolehkan bagi seseorang yang mendengar atau mengetahui berita kematian melalui WhatsApp untuk berpada dengan ucapan takziah melalui lisan saja iaitu mengucapkan istirja’ dan doa keampunan kepada si mati.

Bagaimanapun, digalakkan untuk menulis ucapan takziah dengan lafaz yang betul bagi memulakan sunah yang baik.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengajak ke arah petunjuk (kebaikan), dia mendapat pahala seperti mana pahala mereka yang mengikuti petunjuk itu. Dalam keadaan yang demikian itu tidak mengurangkan pahala mereka sedikit pun.” (Riwayat Muslim - 2674)

Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 12:38 PM