Fatimah Syarha Mohd Noordin

KITA bertuah kerana hidup di zaman perkembangan ilmu pengetahuan. Kemajuan sains dan teknologi meningkatkan lagi upaya kita meyakini kebenaran kata-kata Allah.

Penemuan moden menjadikan fikiran manusia mampu menyingkap rahsia tersembunyi di sebalik sesuatu yang kesannya dapat dirasa.

Misalnya, kita tahu adanya kuasa elektrik apabila sesuatu perkakas itu berfungsi. Kita tidak dapat lihat elektrik itu, tetapi yakin ia ada.

Allah berfirman yang bermaksud: “Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?.” (Surah Fussilat, ayat 53)

Kemajuan dalam bidang sains dan teknologi sepatutnya menjadikan kita hamba yang lebih teguh beriman.

Ada pemikiran hari ini mengangkat sains seperti Tuhan. Sains hanya mampu menerangkan sistem alam yang Tuhan jadikan dan tidak sesekali mampu ‘mengambil alih’ kerja Tuhan.

Begitu juga kemajuan ilmu psikologi, ia membantu kita lebih memahami diri dan manusia lain. Manusia mempunyai kecerdasan, kecenderungan dan naluri yang berbeza.

Mental manusia ada yang mampu membuat pelbagai penemuan baru. Selain itu, ada juga yang tidak mempunyai keseimbangan kimia, mengalami mental disorder, lemah dan sukar memahami urusan walaupun ia mudah.

Jiwa manusia juga ada pelbagai keadaannya. Ada yang menyuruh kepada kejahatan (nafsu al-ammarah bil su’), ada yang mampu muhasabah dan mencela buruk dan baik dirinya (nafsu al-lawwamah) dan ada jiwa yang tenang (nafsu al-mutmainnah).

Sebagaimana tubuh, roh memerlukan ‘makanan’ sesuai untuknya. Roh juga akan sakit dan perlukan rawatan.

Ahli ilmu mudah mengenali orang yang ahli dalam kalangan mereka. Allah yang Maha Berilmu mudah mengenali roh yang bercahaya dalam kalangan hamba-Nya.

Dia memilih insan paling jernih jiwa untuk diangkat menjadi Rasul dan Nabi. Dengan fitrah yang bersih dan bersedia menerima cahaya Ilahi itu, Nabi dan Rasul dapat berinteraksi dengan makhluk yang lebih tinggi (malaikat) seterusnya menerima wahyu samawi (langit).

Lihat kaedah hipnotisme (pukau) dalam dunia moden hari ini. Orang yang mempunyai kemampuan pukau boleh memaksa kemahuannya kepada orang lebih lemah sehingga menuruti segala kehendaknya.

Jika perkara seperti itu boleh berlaku sesama manusia, bagaimana pula akal manusia boleh meragui kuasa Allah mampu menurunkan wahyu ke hati dan lidah Rasul-Nya?

Dengan kemajuan telekomunikasi hari ini, kita mampu mendengar percakapan orang lain di benua berbeza yang terpisah ribuan kilometer, terhalang oleh lautan dan gunung-ganang.

Bahkan, orang yang sudah meninggal dunia sekalipun, suaranya yang pernah dirakam dalam bentuk video masih boleh kita mendengarnya berulang kali.

Sahabat menjadi saksi kebenaran wahyu dan memeliharanya secara ‘mutawatir’ (ramai yang menyaksikannya dan mustahil mereka berdusta).

Mereka turut memelihara syarat-syarat yang meyakinkan generasi sesudahnya kebenaran mengenai wahyu itu. Kita sendiri menyaksikan kesan wahyu mempengaruhi peradaban bangsa dan ketinggian moral pengikutnya.

Manusia menjadi tinggi dan mulia selagi mengamalkan ajaran wahyu sebaliknya apabila ajaran itu diabaikan, ia mengundang pelbagai mudarat di atas muka bumi ini.

Logik penurunan wahyu tidak dapat diragukan lagi. Kembali kepada petunjuk wahyu demi mengubati kebinasaan akhlak manusia.

Allah berfirman yang bermaksud: “Tidaklah patut adanya pada manusia yang ingkar itu perasaan hairan disebabkan Kami wahyukan kepada seorang lelaki daripada jenis mereka (Nabi Muhammad, dengan berfirman kepadanya): ‘Berilah amaran kepada umat manusia (yang ingkar, dengan balasan azab) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan kepada orang-orang yang beriman, bahawa bagi mereka ada persediaan yang sungguh mulia di sisi Tuhan mereka (disebabkan amal-amal soleh yang mereka kerjakan). (Setelah Nabi Muhammad memberi amaran dan menyampaikan berita yang menggembirakan) berkatalah orang-orang kafir (yang berasa hairan itu): “Sebenarnya (al-Quran) ini ialah sihir yang terang nyata.” (Surah Yunus, ayat 2)

Penulis pendakwah dan penulis buku

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 6:01 AM