ADA kalanya, ada individu tidak mampu hadapi masalah yang menimpa seorang diri dan ia menyebabkan masalah terus berpanjangan. - Gambar hiasan
Suriany Awaludin

SAYA sudah berkahwin hampir enam tahun dan dikurniakan tiga anak. Sejak setahun lalu, suami sangat jarang berada di rumah pada waktu malam. Dia kerap keluar dan akan pulang pada tengah malam atau awal pagi.

Apabila saya tegur, dia akan marah dengan menengking dan pernah menampar saya. Saya bimbang jika dia berterusan berbuat demikian, ia akan menjejaskan kesihatannya kerana tidak cukup tidur untuk bekerja.

Anak-anak pula pasti menangis apabila kerap menyaksikan kami bertengkar. Malah, saya yakin jiran juga mendengar pertengkaran kami.

Pernah juga saya pujuk suami pergi mendapatkan khidmat kaunseling di jabatan agama kerana hubungan kami tidak semesra seperti dulu.

Bagaimanapun, cadangan saya itu ditolaknya kerana menyatakan hubungan kami tiada masalah dan perkara itu tidak perlu diperbesarkan lagi.

Minta pandangan puan, apa lagi cara yang boleh saya lakukan supaya suami tahu tindakannya itu memburukkan lagi hubungan kami.

Isteri Kecewa, Setapak

Suami isteri perlu membentuk hubungan dan memberi layanan sempurna kerana kebanyakan masalah berlaku apabila semakin lama tempoh perkahwinan, semakin kurang layanan serta semakin hilang nikmat hubungan suami isteri.

Lebih buruk jika tiada lagi kemesraan antara kedua-duanya. Umpamanya, suami selalu memikirkan soal kerja sehingga tiada masa untuk bersama-sama isteri dan anak-anak.

Begitu juga dengan sikap suami atau isteri yang suka berfoya-foya. Pelbagai cabaran yang dihadapi memerlukan kekuatan dan keyakinan diri untuk menempuhinya.

Setiap masalah yang dihadapi perlu dicari penyelesaiannya serta diurus dengan baik. Masalah kecil lama-kelamaan akan menjadi barah yang akan merosakkan hubungan suami isteri.

Ada kalanya, ada individu yang tidak mampu menghadapi segala masalah yang menimpa seorang diri dan ia menyebabkan masalah terus berpanjangan.

Mereka memerlukan bimbingan dan bantuan daripada orang lain untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi atau sekurang-kurangnya seseorang yang boleh menjadi pendengar untuk meluahkan masalah dihadapi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangka-sangka (dugaan-dugaan) terhadap orang kerana setengah sangkaan-sangkaan itu ialah dosa dan janganlah kamu mencari-cari aib orang dan jangan pula sesetengah kamu mengumpat orang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati (bangkai)? Maka tentu kamu benci memakannya (sebab itu janganlah kamu mengumpatnya). Takutlah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah penerima taubat lagi penyayang.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Mungkin sangkaan yang lahir dalam fikiran suami atau puan selaku isteri menyebabkan sukar mencari penyelesaian terhadap sikap suami. Teguran yang dibuat itu akhirnya menyebabkan berlakunya pertengkaran.

Pertengkaran suami isteri di hadapan anak-anak atau didengari jiran tetangga adalah kehidupan kekeluargaan yang tidak sihat dan akan memberi impak negatif.

Sebaiknya, masalah sedemikian perlu dirujuk kepada orang berkelayakan untuk membantu bagi mendapatkan penyelesaian terbaik kedua-dua pihak.

Cadangan puan untuk merujuk kaunselor bagi merungkai masalah dan memperbaiki hubungan adalah pilihan terbaik.

Cuma sikap ego yang berakar umbi dalam diri suami seolah-olah menafikan kehidupan rumah tangganya berada dalam masalah yang semakin lama semakin memburukkan keadaan.

Dalam konteks mendapatkan khidmat kaunselor ini, kedua-dua pihak perlu memberikan kerjasama dan perlu bersedia untuk hadir. Namun, jika suami enggan merujuk kaunselor, puan masih boleh merujuk kaunselor untuk mencari kaedah sesuai dalam menyelesaikan masalah dihadapi.

Kadangkala sebagai isteri walaupun selepas enam tahun hidup bersama suami, masih ada perkara yang puan tidak sedari menyebabkan suami tidak puas hati.

Mungkin juga suami masih tidak dapat menyelami hati dan sikap isteri dalam tempoh berkenaan. Justeru, masalah seperti itu perlu dibicarakan daripada hati ke hati.

Puan juga boleh mencipta ruang untuk meluahkan perasaan masing-masing dalam suasana penuh kemesraan dan penuh kasih sayang. Ketepikan dulu emosi dan tidak puas hati sikap suami dan cuba gunakan kelembutan serta kasih sayang.

Oleh itu, menjadi tugas pasangan dan ahli keluarga masing-masing untuk membetulkannya.

Antara usaha lain yang sesuai diambil adalah cuba mendapatkan bantuan dan nasihat daripada ahli keluarga rapat yang dihormati dan dipercayai oleh puan suami isteri.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 12:42 PM