BENDUNG pembunuhan serta tegakkan keadilan. - Gambar hiasan
Mohd Shahrizal Nasir

Perbuatan membunuh jiwa insan oleh pihak tidak berhati perut adalah perbuatan diharamkan Islam.

Perkara itu dijelaskan Allah SWT dalam al-Quran yang maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar.” (Surah al-An’am, ayat 151)

Islam amat menjaga nyawa setiap umatnya. Setiap darah umat Islam haram untuk ditumpahkan lebih-lebih lagi saudara sesama Islam.

Apatah lagi jika insan yang menjadi mangsa bunuh diperlakukan sedemikian tatkala sedang menjalankan tugas untuk menyelamatkan nyawa orang lain.

Pastinya hal itu memerlukan pembelaan sewajarnya tanpa sebarang prejudis, lebih-lebih lagi jika wujud usaha melengahkan tuntutan pembelaan.

Islam menetapkan hukuman qisas bagi membendung pembunuhan jiwa manusia yang tidak berdosa. Hukuman itu diperuntukkan bagi menegakkan keadilan dan mengurangkan bebanan kesedihan ditanggung keluarga mangsa.

Selain itu, hukuman qisas juga adalah satu hukuman yang dapat menundukkan hati dan nafsu manusia serta menerbitkan perasaan takut dalam diri untuk membunuh insan lain yang tidak berdosa.

Dengan adanya pelaksanaan hukum itu, kejadian pembunuhan dapat dibendung.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, wahai orang-orang yang berakal supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 179)

Insan yang tergamak membunuh manusia lain dengan tangannya sendiri menunjukkan betapa dirinya tunduk dengan nafsu dan bisikan syaitan.

Golongan itu menganggap mereka berkuasa memusnahkan kehidupan orang lain. Apatah lagi jika mangsa pembunuhan itu insan yang sedang melaksanakan tanggungjawab memastikan keselamatan orang lain terjamin.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tidak halal darah seorang Muslim yang menyaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah dan akulah pesuruh Allah melainkan dengan salah satu daripada tiga perkara, nyawa (dibalas) dengan nyawa, penzina yang sudah berkahwin dan orang yang meninggalkan agamanya dan jamaah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam Islam, dosa membunuh adalah salah satu daripada dosa besar yang ditetapkan Allah SWT.

Jika dosa syirik tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT, dosa membunuh pula tidak akan terampun melainkan dengan taubat.

Sebaliknya perlu menjalani hukuman setimpal dengan perbuatan yang dilakukan si penjenayah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jauhilah diri kamu daripada tujuh dosa yang boleh membinasakan.”

Baginda ditanya: “Apakah dosa itu wahai Rasulullah?” Baginda SAW bersabda: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.” (Hadis riwayat Muslim)

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 12:11 PM