GAMBAR hiasan.
Sedetik Rasa

SETIAP kali selepas memberi salam dalam solat, ada dalam kalangan kita terus bangun melaksanakan solat sunat ba’diyah, malah ada juga terus keluar masjid.

Kita seharusnya mengikuti sunah yang dilakukan Nabi SAW, apa yang Baginda baca dan lakukan.

Barangkali, timbul persoalan adakah Rasulullah SAW berwirid selepas soat kerana ada yang mengatakan ia tidak dilakukan Baginda dan dikatakan sebagai bid’ah dhalalah.

Bagaimanapun, perkara itu dijawab oleh pendakwah, Ustaz Muhadir Joll dalam bukunya, Kekeliruan Umat: Inilah Jawapannya.

Menurut beliau, tidak syak lagi Rasulullah SAW berwirid selepas solat berdasarkan dalil di dalam hadis riwayat Muslim. Diriwayatkan daripada Tsauban beliau berkata, “Apabila selesai mengerjakan solat, Rasulullah SAW membaca istighfar tiga kali lalu membaca, “Allahuma anta salam wa minka salam tabarakta ya dzal jalali wal ikram” bermaksud, “Ya Allah, Engkau pemberi keselamatan, dan daripada-Mu keselamatan, Maha Suci Engkau, wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.”

Sehubungan itu, setiap kali selesai memberi salam, jangan ubah tempat duduk atau terus bangun dan berjalan keluar.

Sebaliknya, berada pada posisi itu buat seketika untuk mengamalkan sunah berkenaan. Niatkan kita baca itu kerana mengikut sunah Nabi SAW.

Maka, ia akan menjadi nilai tambah kepada amalan dan ibadat kita disebabkan dilakukan kerana ilmu.

Dalam hadis lain dinyatakan, daripada Abu Hurairah, beliau berkata: Abu Zar al-Ghifari bertanya: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya mendapat pahala yang banyak. Mereka solat seperti mana kami solat, mereka berpuasa seperti mana kami berpuasa. Mereka mempunyai harta yang lebih yang mereka boleh bersedekah dengannya sedangkan kami tidak mempunyai harta untuk kami bersedekah dengannya.”

Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Abu Zar, mahukah kamu aku ajarkan beberapa kalimat yang boleh menyamakan darjatmu dengan orang-orang yang sudah mendahuluimu dan orang-orang yang datang sesudah kamu tidak akan dapat menyamaimu kecuali sesiapa yang beramal seperti amalan engkau?”

Abu Zar berkata: “Tentu ya Rasulullah.” Baginda bersabda: “Hendaklah kamu bertakbir (Allahu Akbar) setiap kali selepas solat sebanyak 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali, bertasbih (Subhanallah) 33 kali dan kamu mengkhatamkannya dengan “laa ilaha illallah wahdahu laa syarika lah lahul mulku wa lahul hamduwa huwa ‘ala kulli syai’in qodir” maka dosamu akan diampunkan walaupun sebanyak buih di lautan.” (Riwayat Abu Dawud)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 9:31 AM