GAMBAR hiasan.
Dr Nur Najwa Hanani Abd Rahman

MANUSIA diciptakan Allah SWT dengan pelbagai potensi, bakat dan kelebihan. Ia membolehkan mereka berusaha untuk memastikan pencapaian kejayaan melalui pelbagai pekerjaan.

Pekerjaan daripada perspektif Islam merujuk kepada proses ke arah lebih cekap, lebih baik dan memberi manfaat.

Penciptaan pelbagai jenis pekerjaan bukan setakat memenuhi tuntutan diri sendiri, keluarga dan organisasi setempat tetapi dikembangkan lagi bagi memenuhi keperluan sejagat.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mulk, ayat 15 yang bermaksud: “Dialah Yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah, dan (ingatlah), kepada Allah jua (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula, (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya).”

Seorang pekerja perlu sentiasa berusaha meningkatkan mutu kerja, proses kerja, produk dan perkhidmatan ketika menjalankan tugas secara berterusan sama ada bekerja dengan organisasi atau membina kerjaya sendiri.

Mereka perlu bertindak secara profesional, bersedia untuk bekerja kuat dan boleh dipercayai apabila diberi tanggungjawab.

Bagi memastikan kecemerlangan dalam kerjaya, setiap individu perlu membuktikan mereka mampu menjalankan tugas, mengelola, menguruskan kerja dengan baik dan berani mengambil risiko dalam kerjaya yang dipilih.

Di samping itu, mereka perlu menggembleng sumber tenaga manusia, kewangan dan sumber lain untuk memastikan tugas yang dilaksanakan mendatangkan hasil dan kesejahteraan kepada manusia sejagat berlandaskan syariat Islam.

Segala pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan kepakaran digunakan untuk memenuhi keperluan dan kehendak manusia sejagat.

Arahan kerja dan komunikasi seharian juga dinyatakan dengan tegas dan jelas, tetapi bersopan supaya mesej yang ingin disampaikan diterima dan difahami sepenuhnya.

Selain itu, sikap toleransi dan amalan bermaafan perlu dijadikan sebagai budaya kerja. Situasi sebegitu akan merapatkan lagi hubungan pekerja dan majikan serta mewujudkan suasana harmoni dalam kecemerlangan kerjaya.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 159 yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang berlimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonlah ampun bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

Seterusnya, perlu timbul perasaan takut dan merasakan diri mereka sentiasa diperhatikan Allah SWT. Ia sekali gus dapat mengawal setiap gerak hati, tutur kata dan tindak-tanduk yang tidak menyalahi perintah Allah.

Niatkan setiap yang dilakukan untuk memberi kebaikan dan manfaat kepada umat manusia. Maka, keberkatan dan keredaan Allah akan kita peroleh.

Penulis pensyarah kanan, Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 9:42 AM