DUNIA adalah tempat untuk mencari bekalan di alam akhirat kelak.
Mohd Shahrizal Nasir

Setiap tahun, penjawat awam atau pekerja sektor swasta mempunyai tanggungjawab melaporkan prestasi kerja tahunan masing-masing.

Masing-masing akan menyatakan setiap gerak kerja yang dilakukan sepanjang tahun bagi proses penilaian oleh pihak majikan. Maka, tidak hairanlah setiap apa sahaja gerak kerja dilakukan perlu direkodkan sebagai bukti amanah dilaksanakan dengan jayanya.

Semua akan bersungguh-sungguh merekodkan hasil kerja yang dilaksanakan bagi mendapat markah penilaian yang tinggi. Tidak ada orang yang mahukan markah penilaian rendah.

Kebiasaannya, pekerja yang mendapat markah penilaian tinggi akan mendapat ganjaran dan penghargaan. Sebaliknya, pekerja yang tidak mencapai prestasi sepatutnya bakal dikenakan tindakan.

Maka, prestasi kerja setiap kakitangan menentukan perjalanan keseluruhan sesebuah organisasi sama ada berada dalam keadaan baik atau sebaliknya.

Sama ada kerja yang dilakukan kecil atau besar, semuanya mesti direkodkan dalam laporan prestasi dengan kemas dan teratur. Tidak dinafikan, seseorang pekerja mungkin terdesak akan terbabit dengan penipuan maklumat ketika mengisi laporan penilaian kerja tahunan.

Berdepan proses penilaian prestasi kerja tahunan itu memberi gambaran setiap amalan yang dilakukan dalam kehidupan juga kelak akan dihitung dengan seadilnya.

Setiap manusia di dunia ini tidak akan terlepas daripada perhitungan yang adil di akhirat kelak. Tidak akan ada manusia yang mampu untuk memanipulasi rekod amalannya kerana setiap perhitungan yang dilakukan Allah SWT adalah sangat adil.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat, maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun, dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung), dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.” (Surah al-Anbiya’, ayat 47)

Tidak seperti perhitungan dunia yang ada kalanya betul, tidak kurang juga berat sebelah. Ada insan teraniaya disebabkan perhitungan tidak adil baginya. Namun, bagi Allah SWT, setiap amalan akan dihitung dengan tepat dan adil.

Keadilan Allah SWT tidak sama dengan makhluk-Nya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Jika salah seorang daripada kalian memperindah keislamannya, maka setiap kebaikan yang dilakukannya akan dicatat baginya dengan sepuluh kali ganda (pahala) hingga tujuh ratus kali ganda. Dan setiap keburukan yang dilakukannya akan dicatat baginya satu keburukan (dosa) seumpamanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pada hari perhitungan amalan nanti, setiap insan akan menerima keputusan daripada Allah SWT. Keputusan itu menentukan sama ada seseorang itu menuju ke syurga atau ke neraka.

Allah SWT menjelaskan perihal keputusan perhitungan amalan manusia itu menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Kemudian sesiapa yang menerima surat amalnya dengan tangan kanannya maka dia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan. Dan dia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita. Dan sesiapa yang menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya maka dia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya. Dan dia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.” (Surah al-Insyiqaq, ayat 7-12)

Ketika hidup di dunia ini, setiap amalan tidak terlepas daripada catatan malaikat. Malaikat yang ditugaskan mencatat amalan manusia tidak sesekali leka dengan tugasan yang diberikan.

Tidak mungkin manusia dapat menyembunyikan kejahatan yang dilakukan kerana semuanya akan dicatat secara terperinci.

Tidak seperti ketika mengisi butiran prestasi kerja tahunan, mungkin ada yang sengaja atau terpaksa menipu butiran kerana ingin selamat daripada sebarang tindakan.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Surah Qaf, ayat 18)

Tidak hanya rekod yang dicatat, pada hari perhitungan kelak anggota badan turut menjadi saksi terhadap setiap perbuatan buruk yang dilakukan.

Ketika itu mulut akan dikunci dan atas kuasa Allah SWT, tangan dan kaki akan berbicara sebagai saksi atas perbuatan yang dilakukan.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Pada hari ini Kami tutup mulut mereka dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan.” (Surah Yasin, ayat 65)

Seperti kita berharap mendapat penilaian cemerlang hasil pekerjaan kita di dunia, harapan sama juga diharap berlaku ketika amalan kita dihitung di akhirat kelak.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 12:42 PM