GAMBAR hiasan.
Qira’ah Fatwa

Apakah yang dimaksudkan dengan aib serta hukum menyebarkan aib orang?

Dalam satu hadis riwayat Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Imam Muslim -2590 dalam sahih-nya)

Daripada Ibn Umar R.anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi - 2032)

Perbuatan menyebarkan aib orang lain termasuk dalam sunnah sayyiah yang berdosa jika diteruskan oleh orang lain.

Daripada Jarir bin Abdullah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal dengannya dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun, dan barang siapa yang memulakan dalam Islam suatu sunah yang buruk, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan baginya dosa sesiapa yang beramal dengannya, tanpa berkurang dengan satu dosa suatu apa pun.” (Hadis riwayat Muslim - 1017) dalam Sahih-nya)

Mohon selalu kepada Allah SWT supaya Dia pelihara aib kita daripada tersebar.

Daripada Ibn Umar, bahawa Rasulullah SAW sering mengulang-ulang doa ini pada waktu pagi dan petang yang bermaksud: “Ya Allah aku memohon keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah aku memohon kepada-Mu kemaafan dan keselamatan pada agamaku dan duniaku, pada ahli keluargaku dan harta bendaku. Ya Allah tutuplah auratku (aib dan kelemahan), dan amankanlah ketakutanku. Ya Allah peliharalah aku daripada bahaya yang datang dari hadapanku, dari belakangku, dari kananku, dari kiriku, dari atasku dan aku berlindung dengan keagungan-Mu daripada tergelincir dari bawahku.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari - 2100 dalam Adab al-Mufrad)

Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 12:25 PM