GAMBAR hiasan.
Fatimah Syarha Mohd Noordin

SYEIKH Prof Dr Yusuf al-Qaradawi menulis dalam kitabnya, al-Awlawiiyat al-Harakah al-Islamiyah fi al-Marhalah al-Qadimah, dalam menyatakan keutamaan gerakan Islamiah bagi menghadapi cabaran mendatang iaitu: “Meletakkan setiap sesuatu pada martabatnya (kedudukannya), tidak dikemudiankan apa yang sepatutnya didahulukan atau mendahulukan apa yang sepatutnya dikemudiankan, tidak diperkecilkan sesuatu perkara yang besar dan tidak diperbesarkan sesuatu perkara yang kecil.”

Meletakkan keutamaan bermakna meletakkan sesuatu yang layak pada tempatnya berdasarkan piawaian syariat Islam yang penuh keadilan.

Keutamaan juga bermakna tidak memperbesarkan perkara kecil dan tidak meremehkan perkara besar.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan langit ditinggikan-Nya dan Dia ciptakan keseimbangan. Agar kamu jangan rosakkan keseimbangan itu. Dan tegakkanlah keseimbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi keseimbangan itu.” (Surah al-Rahman, ayat 7-9)

Melihat pelbagai isu kebobrokan akhlak masyarakat, kita perlu mengenang kembali sejarah dakwah rasul yang bijak mencegah punca masalah berbanding sekadar merawat permasalahan yang muncul itu.

Antara punca utamanya ialah apabila manusia tidak kenal Tuhan. Mereka mudah melakukan kejahatan kerana tidak tahu ada satu kuasa yang Maha Mengetahui setiap yang mereka fikir, rasa apatah lagi perkara yang mereka lakukan sama ada dalam keadaan sembunyi atau terang.

Tidak hairanlah keutamaan paling besar ditunjukkan oleh dakwah Nabi Isa ialah mengajak masyarakatnya meyakini Allah yang satu.

Beriman kepada Allah menuntut manusia meyakini ajaran rasul yang diutuskan termasuk membenarkan wahyu yang terdahulu.

Seterusnya, Nabi Isa menjadikan peringatan kepada hari kebangkitan sebagai keutamaan yang tidak kurang pentingnya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).” (Surah Maryam, ayat 33)

Lihat pula keutamaan dakwah yang dibawa Nabi Muhammad. Baginda diutuskan menjadi nabi ketika masyarakat ‘dibelit’ cara hidup yang sangat rosak.

Masyarakat Makkah bukan tidak maju dari segi ilmu keduniaannya, namun sikap dan perangai mereka penuh kejahilan seperti menyembah berhala, memuja malaikat, jin, matahari, bulan dan objek sekeliling.

Mereka turut membunuh anak perempuan, menindas orang miskin, mabuk serta menghina wanita.

Akhirnya, Islam membuka mata masyarakat untuk menghargai kemanusiaan. Islam memberi kedudukan kepada wanita sebagai anak perempuan, isteri, ibu dan anggota masyarakat.

Islam juga tidak menghapuskan kebiasaan sesuatu kaum secara mengejut, sebaliknya mengajar mereka peringkat demi peringkat seperti kesukaan masyarakat ketika itu kepada arak dan kebiasaan menjadikan manusia sebagai hamba abdi.

Islam turut mengangkat takwa sebagai bentuk kemuliaan seseorang, bukan kaum atau warna kulit.

Daripada sejarah nabi itu, kita melihat dengan jelas keutamaan (awlawiyyat) matlamat dakwah Islamiah adalah mentuhankan Allah dan mengiktiraf ajaran Rasul-Nya, seterusnya mentadbirkan alam dengan menegakkan al-Din dalam seluruh aspek kehidupan.

Aspek kehidupan termasuk kehidupan individu, keluarga, masyarakat, negara, ummah dan dunia merangkumi juga hubungan keamanan sesama umat Islam dengan bukan Muslim.

Berikut adalah contoh keutamaan dakwah:

Mengubah secara berperingkat bukan secara drastik.

Berhati-hati dengan konsep ‘tadarruj’ iaitu mengubah secara berperingkat.

Lihat keutamaan dakwah Nabi dalam fasa Makkiyah. Dakwah tertumpu kepada akidah dan akhlak seperti keutamaan proses menanam asas bangunan berbanding proses mencantikkan bangunan itu.

Fasa Makkiyah ternyata lebih lama berbanding fasa Madaniah yang mana dengan penanaman asas yang kukuh, maka penerapan hukum pada fasa Madaniah menjadi lebih berjaya.

Lihat juga proses pengharaman arak perlu melalui beberapa peringkat tertentu, bukan diharamkan secara mengejut.

Mengutamakan keringanan dan kelonggaran berbanding sikap sempit.

Keringanan diberikan jika ia diperlukan seperti berada dalam keadaan lemah, sakit, tua atau faktor lain.

Bukan itu sahaja, ramai ahli fuqaha menjelaskan pendapat yang lebih ringan kepada orang ramai dalam beberapa hukum yang masih dipertikaikan kesahihannya khususnya berkaitan bidang muamalat.

Roh kemudahan itu selari dengan firman Allah yang bermaksud: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

Fatwa berubah mengikut masa dan tempat.

Islam mengiktiraf peranan akal dan kepelbagaian tempat, suasana dan situasi masyarakat berbeza apabila mengiktiraf kewujudan aliran mazhab fiqh walaupun pandangan mereka ada kalanya berbeza.

Mujtahid dan fuqaha membolehkan fatwa diubah mengikut masa, tempat, budaya dan keadaan berpandukan apa yang dilakukan sahabat dan khulafa al-Rashidin.

Jelas, Islam bijak meletakkan keutamaan bahkan berhikmah dalam pelaksanaannya. Kita semua adalah da’i untuk meneruskan dakwah dan perjuangan mereka hingga akhir zaman.

Penulis ialah pendakwah dan penulis buku

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 12:51 PM