GAMBAR hiasan.
AL-FIQH

Dalam membicarakan bab wuduk, terdapat perkara yang disebut sebagai fardu wuduk.

Kenapa solat pula terdapat perkara disebut sebagai rukun solat? Apa perbezaan antara rukun dan fardu?

Perbezaannya adalah perkara rukun itu, orang yang bersolat mesti menyempurnakan segala rukun solat secara berturut-turut sehingga selesai.

Berlainan dengan perkara fardu dalam wuduk, ia boleh dipisahkan antara satu perbuatan dengan perbuatan yang lain. Contohnya, selepas membasuh muka, boleh berhenti seketika sebelum membasuh tangan dan begitu seterusnya. Sebab itu, ia dinamakan fardu.

Apa yang dimaksudkan dengan membasuh anggota wuduk?

Disyaratkan membasuh anggota wuduk itu ialah dengan mengalirkan air yang digunakan sebagai basuhan di atas anggota berkenaan. Tidak memadai jika sekadar menyapu tanpa mengalirkan air di atasnya kerana itu tidak dinamakan membasuh.

Di samping itu, diwajibkan supaya menghilangkan terlebih dahulu sesuatu yang menghalang sampainya air kepada anggota wuduk, tidak kira banyak atau sedikit.

Walaupun yang menghalang itu seperti tahi mata kering atau masih basah, lilin, celak mata, tanah liat atau duri. Tidak kira sama ada diri sendiri yang membuatnya atau dibuat orang lain.

Jika terdapat perkara berkenaan, bererti ia boleh menghalang sampainya air kepada anggota wuduk. Maka, wuduk itu dikira tidak sah.

Jika perkara itu disedari berlaku pada imam, maka makmum tidak boleh mengikut solat imam berkenaan walaupun imam itu tidak menyedarinya.

Begitu juga jika terdapat najis yang jelas kelihatan pada anggota zahir. Jika ia diketahui atau diberitahu selepas mengerjakan solat, maka seseorang itu perlu mengulangi solat atau mengqadanya.

Bagaimana jika anggota wuduk terkena duri dan patah di dalamnya? Ia tidak kelihatan, tetapi dirasai, adakah sah wuduk dalam keadaan demikian?

Sah wuduk walaupun terdapat duri di dalam mana-mana anggota wuduk.

Bahkan, seseorang perlu membasuh di sekeliling tempat yang terkena duri itu kerana di kawasan itu dinamakan kawasan zahir manakala di dalamnya yang ditutupi duri itu dikira kawasan batin.

Tetapi jika duri itu dicabut dan meninggalkan kesan lubang, ia hendaklah dibasuh ketika mengambil wuduk.

Sumber: Kitab Furu’ Al-Masa’il wa Usul Al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 12:17 PM