FOTO HIASAN
Addin

Saya seorang wanita berusia 28 tahun dan bercerai dengan suami sudah hampir dua tahun. Saya ingin mendapatkan penjelasan mengenai proses penjagaan anak.

Buat masa ini, anak tinggal bersama saya dan bekas suami pula tidak pernah berbincang berkenaan hak penjagaan anak. Apa yang menjadi persoalan, apakah syarat melayakkan seorang ibu atau bapa untuk mendapatkan hak penjagaan anak?

Suami sebelum ini pernah menyatakan, seandainya saya berkahwin lain dia akan tuntut hak penjagaan anak kami.

Siti, Kuala Lumpur

Islam meletakkan aturan tertentu dalam hal penjagaan anak bagi memastikan kebajikan dan keperluan mereka menjadi matlamat utama.

Hak penjagaan atau hadanah bermaksud perbuatan mendidik dan menjaga seseorang yang tidak dapat menguruskan diri sendiri kerana tidak mumaiyiz seperti kanak-kanak dan orang gila.

Tugas itu termasuk menguruskan keperluan makan minum, pakaian dan tidur di samping memastikan kebersihan tubuh dan pakaian pada peringkat umur tertentu.

Pengertian hadanah juga merujuk kepada penjagaan, pengawasan dan pengasuhan sama ada dari segi fizikal, jiwa dan akal bertujuan menjaga maslahah kanak-kanak yang tidak mampu menjaga diri sendiri supaya membesar dalam keadaan sempurna.

Pihak yang berjaya mendapatkan hak hadanah disebut sebagai hadin bagi lelaki dan hadinah bagi perempuan bermaksud pengasuh. Oleh kerana hadanah berkait rapat dengan kepentingan kanak-kanak, ibu dan bapa, maka dari segi kedudukan hak, hadanah bukan hak eksklusif mana-mana individu.

Ia membabitkan hak setiap individu berkaitan iaitu hak pengasuh, hak kanak-kanak dan juga hak bapa sebagai penjaga hakiki atau mana-mana orang yang berperanan sebagai bapa jika bapa tiada atau meninggal dunia.

Jika terdapat perebutan, maka hak kanak-kanak diutamakan daripada yang lain. Sebarang keputusan perlu melihat kepada kepentingan terbaik kepada kanak-kanak itu secara keseluruhannya.

Selain itu, istilah hadanah merujuk kepada pengasuhan anak yang masih kecil kerana fitrah anak kecil memerlukan pengasuhan serta pengawasan rapi. Apabila disebut pertikaian hak hadanah, ia membabitkan anak kecil dan bukan anak yang sudah mumayyiz atau baligh.

Undang-undang keluarga Islam di Malaysia memperuntukkan tempoh penjagaan bagi kanak-kanak lelaki tamat apabila cukup umur tujuh tahun dan sembilan tahun bagi kanak-kanak perempuan. Tempoh itu boleh dilanjutkan mahkamah atas permohonan pengasuh sehingga usia 11 tahun bagi kanak-kanak perempuan dan sembilan tahun bagi lelaki.

Perbezaan tempoh antara kanak-kanak lelaki dan perempuan mengambil kira keperluan kanak-kanak perempuan tinggal lebih lama bersama ibu untuk diasuh keperibadian serta adab sopan sebagai seorang perempuan dan juga bagi membiasakan diri dengan tugas pengurusan rumah tangga.

Anak lelaki dianggap perlu lebih awal berada di bawah pengawasan bapa bagi mempelajari tugas sebagai seorang lelaki yang hanya layak diajar oleh golongan lelaki.

Oleh itu, apabila tamat tempoh hadanah mengikut prinsip biasa, penjagaan kanak-kanak diturunkan kepada bapa. Sekiranya usia anak itu sudah mumaiyiz, maka dia berhak memilih sama ada untuk tinggal bersama ibu atau bapa melainkan mahkamah memerintahkan selain daripada itu.

Prinsip itu dikemukakan atas anggapan kanak-kanak mumaiyiz berkeupayaan menilai yang mana di antara ibu atau bapa yang lebih rapat serta memberi perhatian terhadap diri mereka.

Pemilihan kanak-kanak untuk tinggal bersama ibu atau bapa boleh dianggap orang yang dipilih itu lebih menyayangi dan mengasihinya. Setiap enakmen negeri meletakkan syarat tertentu yang menjadi kriteria kelayakan seseorang menjadi pengasuh.

Seseorang pengasuh dianggap berkelayakan mendidik dan menjaga kanak-kanak jika dia:

a. Seorang beragama Islam.

b. Seorang yang waras akal fikiran.

c. Seorang yang pada tahap umur yang layak untuk menjaga dan memberi kasih sayang yang diperlukan oleh kanak-kanak.

d. Seorang yang mempunyai akhlak yang baik menurut Islam.

e. Seorang yang tinggal di tempat terjamin keselamatan moral dan fizikal kanak-kanak yang dijaga.

Undang-undang keluarga Islam juga menentukan keadaan yang menyebabkan hak hadanah seseorang pengasuh digugurkan iaitu:

a. Pengasuh perempuan berkahwin dengan lelaki yang tidak ada hubungan kekeluargaan yang dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu. Jika pengasuhannya dalam keadaan itu akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak. Hak ini hanya akan dikembalikan apabila perkahwinan dibubarkan.

b. Jika pengasuh berakhlak buruk secara keterlaluan dan terbuka.

c. Jika pengasuh menukar permastautinan dengan niat menghalang bapa kepada kanak-kanak melakukan pengawasan ke atas kanak-kanak, tetapi jika perempuan itu ibu yang diceraikan, dia boleh membawa anaknya ke tempat lahirnya yang asal.

d. Jika pengasuh murtad iaitu meninggalkan agama Islam.

e. Jika pengasuh menganiaya dan mengabaikan kanak-kanak.

Justeru, sekiranya puan masih menjaga anak selepas perceraian sehingga tempoh semasa, maka wajar puan memohon perintah penjagaan atau hadanah anak itu.

Keadaan ini lebih mudah kerana anak sememangnya berada di bawah jagaan semasa ibunya iaitu si pemohon. Kelayakan seorang ibu akan hilang sekiranya ibu berkahwin lain.

Namun puan masih boleh mengemukakan alasan kukuh mengapa anak itu lebih baik dijaga dan diuruskan oleh ibu berbanding bapa. Mahkamah akan membuat penilaian keseluruhan mengenai kebajikan anak sebelum membuat keputusan.

Penulis peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 11:27 AM