ORANG zaman dahulu terpaksa mengembara untuk mencari ilmu.
Mohd Rizal Azman Rifin

Bagaimana sikap anak-anak kita terhadap aspek kebersihan serta susunan buku-buku akademik mereka di dalam bilik?

Kita sudah tentu sangat gembira apabila melihat mereka begitu bersemangat dan berdisiplin mengulang kaji pelajaran serta dapat menunaikan tanggungjawab menyiapkan tugasan yang diberikan guru.

Namun, satu perkara penting yang perlu dipantau dan diberikan bimbingan adalah menerangkan kepada anak-anak perihal adab dan sifat memuliakan ilmu.

Cara beradab dengan bahan ilmu itu ialah meletakkannya dengan susunan rapi. Pastikan anak-anak tidak membiarkan buku teks dan latihan berselerak di atas lantai ketika menyiapkan kerja sekolah.

Demikian juga dengan mashaf al-Quran, ia tidak boleh dibiarkan bertindan dengan bahan bacaan lain. Al-Quran perlu diletakkan di susunan paling atas sebagai tanda memuliakannya.

Seorang tokoh ulama bernama Abu Bakar Muhammad bin al-Hasan bin Furak al-Isbahani atau lebih popular dengan panggilan Ibn Furak adalah seorang ulama Ahli Sunnah yang begitu komited dengan ajaran Islam.

Beliau mempunyai kemahiran dan kebolehan luar biasa iaitu mampu mematahkan hujah dalam perdebatan dengan pihak yang ingin mempersoalkannya dalam hal berkaitan akidah.

Setiap kali berdebat, beliau pasti dapat menangkis apa saja helah lawan untuk memesongkan fakta. Di sebalik reputasinya sebagai pendebat ulung yang petah dan pintar berhujah berasaskan nas sahih, beliau memiliki keperibadian akhlak dan adab sopan yang sangat tinggi.

Antara perkara yang sangat diberikan perhatian ialah beradab dengan mashaf al-Quran. Beliau sangat menghormati kitab Allah itu sehingga tidak pernah menyentuhnya tanpa wuduk, malah beliau sentiasa memastikan dirinya duduk bersila serta menghadap kiblat apabila ingin menyentuh dan membaca al-Quran.

Begitulah ketinggian adab tokoh ulama berkenaan terhadap al-Quran. Beliau juga berasa kurang selesa dan tidak tenang sekiranya hendak tidur dalam bilik yang di dalamnya terdapat al-Quran.

Sebaliknya, beliau akan beralih ke bilik lain sebagai menghormati mashaf al-Quran. Kisah itu diceritakan oleh Ibn al-Subki dalam kitabnya, Tabaqat al-Shai’yah al-Kubra.

Sedarlah kita bahawa selain wajib beradab dan memuliakan guru yang mendidik dan mengajar, kita juga disuruh supaya beradab dan menghormati ilmu itu sendiri.

Pernah berlaku kepada seseorang yang mencampakkan buku di hadapan Imam Ahmad. Melihat perbuatan orang itu, beliau amat marah lalu menegurnya dengan berkata: “Beginikah perilakumu kepada ucapan para ulama?” Ucapan para ulama itu bermaksud, apa yang tertulis dalam kitab-kitab yang kita pelajari.

Imam As-Syafii juga mengingatkan kita dengan berpesan: “Sesiapa yang mempelajari ilmu dengan beradab, maka Allah akan mencurahkan keberkatan dalam ilmunya.”

Justeru, apa saja buku pelajaran, apatah lagi mashaf al-Quran wajib kita pelihara dengan sempurna selain meletakkannya di tempat yang sesuai.

Jangan lupa ajarkan kepada anak-anak supaya mereka tahu menghormati ilmu kerana pada ilmu itu terdapat keberkatan.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 10:03 AM