GAMBAR hiasan.
Fatimah Syarha Mohd Noordin

Mengajak masyarakat sekeliling mengenal Allah bukan kerja mudah. Meskipun Islam mengajar supaya tidak memaksa orang bukan Islam menganut agama kita, Islam tetap mengajar supaya sentiasa sabar ‘mengajak’ mereka.

Ini kerana setiap pilihan hidup manusia akan dipertanggungjawabkan
di hadapan Allah. Kasihani orang yang tidak pernah mendengar mengenai Islam daripada sumber tertingginya, al-Quran dan al-Sunnah.

Sekuat mana hujah yang dibentangkan, pasti ada golongan yang tidak mahu menerimanya. Jangan cepat kecewa, katakan saja, “Bagimu agamamu, bagiku agamaku.”

Itu roh keamanan yang Islam ajar supaya sesebuah masyarakat saling hidup harmoni dan menerima kepelbagaian. Apapun, tugas berdakwah tetap tidak boleh berhenti.

Antara cara untuk menguatkan diri dalam usaha dakwah ialah mengimbau kembali kisah insan yang tinggi kedudukannya di sisi Allah dan bagaimana jalan dakwah mereka.

lDakwah Nabi Ibrahim

Nabi Ibrahim dilahirkan di Fadan (Iraq). Baginda dibesarkan tengah-tengah masyarakat menyembah batu dan bintang serta menolak peranan akal untuk berfikir.

Mereka mengikuti sangkaan dan hawa nafsu apabila menjadikan berhala dan patung sebagai objek jelmaan Tuhan.

Nabi Ibrahim mahir menggunakan hujah logik. Baginda menggunakan manhaj diskusi, dialog dan berdebat dengan cara yang baik.

Kisah Nabi Ibrahim menjelaskan kepada kita bahawa sekuat manapun dalil yang dikemukakan, tetap ada golongan menentang tanpa hujah kukuh.

Ia berlandaskan sentimen kebencian, sombong atau takbur. Bahkan, golongan menolak itu bukan sekadar benci, bahkan mencari jalan untuk membunuh Nabi Ibrahim.

Lalu mereka mengumpulkan kayu dan mencampakkan Nabi Ibrahim dalam unggun api yang besar. Bagaimanpun, Allah tetap menyelamatkannya dengan kuasa-Nya.

Allah berfirman bermaksud: “Tidakkah Engkau (pelik) memikirkan (Wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah yang menghidupkan dan yang mematikan.”

Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Surah Al-Baqarah, 258)

l Dakwah Nabi Syuaib

Nabi Syuaib mendiami bandar Madyan di Jordan. Kaum Nabi Syuaib dilimpahi hidup penuh kemewahan.

Sayang sekali mereka salah menggunakan nikmat itu untuk hidup melampiaskan hawa nafsu. Mereka tamak untuk hidup lebih mewah dengan menipu dalam timbangan dan sukatan.

Allah yang mengasihani mereka mengutuskan seorang Rasul untuk menyeru ke jalan yang benar.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib. Ia berkata: “Wahai kaum, sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Al-A’raaf, ayat 85)

l Dakwah Nabi Musa

Sejarah menyaksikan Nabi Musa diutuskan kepada Bani Israel, khususnya dalam dakwah kepada Firaun dan pengikutnya di Mesir.

Masyarakatnya hidup dalam ketakutan dan penindasan. Kekejaman Firaun tiada tolok bandingnya. Dia memaksa tenaga buruh, menumpahkan darah termasuk membunuh bayi lelaki.

Firaun dihantui ketakutan pada mimpi ngeri lahirnya seorang bayi lelaki dalam kalangan Bani Israel yang akan meruntuhkan takhta kerajaannya.

Dia tidak sanggup kehilangan takhta lalu memaksa rakyatnya mengaku dia Tuhan. Hasil kepimpinan yang buruk itu, lahir juga masyarakat berakhlak buruk.

Dalam keadaan itu, Allah mengutuskan Nabi Musa untuk menyeru mereka kembali ke jalan bahagia.

Allah mengiktiraf kekuatan jiwa dan peribadi Nabi Musa apabila melantik baginda menjadi Rasul selepas lama berkhidmat
di Madyan bagi menunaikan maharnya menikahi anak Nabi Syuaib.

Selepas dilantik menjadi Rasul, Nabi Musa meminta Allah memantapkan dirinya dengan komunikasi berkesan dan menguatkan jalan dakwahnya dengan pertolongan Harun yang lebih fasih berhujah.

Baginda memberanikan diri berjumpa Firaun untuk menerangkan agama yang dibawanya. Baginda menggunakan kata-kata lembut dan penuh sopan.

Nabi Musa juga menyeru masyarakatnya menyembah Allah dan meninggalkan kepercayaan karut.

Baginda mengajak mereka mensyukuri nikmat yang Allah berikan kepada mereka. Allah menceritakan dalam al-Quran bermaksud: “Dan (ingatkanlah mereka Wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada kamu ketika ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi dan ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya) dan ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu)”. (Surah Al-Maaidah, ayat 20)

Hasil usaha dakwah Nabi Musa dan Nabi Harun itu, maka ramai yang menjadi pengikutnya.

Penulis ialah pendakwah dan penulis buku

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 2:17 PM