GAMBAR hiasan.
Fadly Samsudin

Sebahagian ulama membahagikan kehidupan manusia kepada tiga bahagian iaitu 20 tahun masa muda, 20 tahun pada usia matang manakala 20 tahun lagi waktu persiapan untuk mati.

Bagi golongan yang mencapai usia 40 tahun, mereka perlu berfikir lebih jauh kerana usia itu mereka sudah berada di persimpangan terakhir sebelum menempuh fasa menanti kematian.

Di dalam al-Quran dinyatakan hal golongan berusia 40 tahun. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).” (Surah al-Ahqaaf, ayat 15)

Dalam urusan agama, seseorang perlu bersiap sedia kerana apabila usia menjangkau 40 tahun, dia perlu mengimbas kembali apa yang sudah dilakukan sepanjang hidup.

Malah, dalam soal pemakanan juga golongan pada usia itu sepatutnya sudah mula memikirkan kesan baik atau buruk terhadap apa yang dimakan.

Tidak boleh lagi makan sembarangan kerana dia perlu tahu organ pada tubuhnya sudah tidak seperti usia 20 tahun dahulu. Itu semua demi kebaikan kerana ingin mendapatkan sesuatu yang lebih baik buat dirinya.

Nabi bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang panjang usianya dan baik amalannya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Manakala, seburuk-buruk manusia adalah dia diberikan usia yang panjang, namun amalannya buruk atau semakin buruk.

Modal kita di dunia ini bukan wang ringgit atau harta, tetapi diukur bagaimana usia itu dilaburkan.

Dalam surah Al-Faatir, ayat 37, Allah berfirman menyatakan, orang-orang yang berada di dalam api neraka nanti akan menjerit dan berteriak supaya Allah keluarkan mereka seterusnya mereka dapat melakukan amal soleh tidak seperti amalan mereka dahulu.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini), kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka): “Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa) kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan.”

Dalam ayat itu dinyatakan, manusia diberikan peringatan. Ibnu Abbas mentafsirkan peringatan itu sebagai uban. Jika kita melihat cermin lalu melihat rambut mula ditumbuhi uban-uban, maka itu adalah antara peringatan yang dapat dilihat secara fizikal supaya diri sentiasa ingat ‘waktu’ (kematian) kian hampir.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Muhamad Faisal Ashaari berkata, secara umum ayat 15 dari surah al-Ahqaaf itu ditujukan kepada orang beriman secara umumnya perlu berbuat baik kepada ibu bapa yang mendidik mereka sejak kecil.

Menurutnya, apabila mereka meningkat dewasa sehingga berumur 40 tahun itu adalah kemuncak kehidupan.

“Pada ketika itu, mereka perlu lebih bersyukur lagi kerana dipanjangkan usia hingga mencecah 40 tahun. Pada usia itu juga, ramai manusia sudah mencapai tahap keseimbangan dalam kehidupan.

“Mereka sepatutnya lebih bersyukur kerana Allah memberikan nikmat kepada mereka. Namun, nikmat itu bukan disebabkan kepandaian atau kehebatan mereka, sebaliknya itu semua kurniaan daripada Allah,” katanya.

Beliau berkata, manusia tidak boleh merungut kerana kesusahan itu akan bertambah.

“Sungguhpun bersusah payah mencari kehidupan, tetapi mereka perlu mencari masa untuk menambah amal kebajikan. Jangan lupa ke masjid atau surau serta menghadiri kuliah agama.

“Tidak semestinya perlu sentiasa berada di atas tikar sembahyang sahaja. Konsep ibadat itu sangat luas, bermula daripada mengucap dua kalimat syahadah hingga membuang duri tepi jalan, semua itu dikira sebagai ibadat,” katanya.

Dr Muhammad Faisal berkata, perubahan diri perlu kerana ia satu tuntutan sejajar dengan pertambahan usia.

“Bagi golongan muda, mereka perlu terus istiqamah dan jangan menanti usia tua baru hendak mula beribadat.

“Selain itu, tidak semestinya orang yang baik pada di peringkat awal, terus istiqamah hingga akhir. Orang yang baik itu adalah mereka istiqamah dalam kehidupan,” katanya.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 11:34 AM