GAMBAR hiasan.
Sedetik Rasa

Bercakap perihal orang lain memang seronok. Tidak kira sama ada diri sendiri bercerita atau kita menjadi pendengar. Bagaimanapun, itu bukan akhlak sebenar seorang Muslim kerana perbuatan itu satu daripada dosa besar.

Sehubungan itu, jangan sesekali kita bercakap mengenai hal atau aib seseorang sekiranya kita tidak mahu orang lain berbicara mengenai diri kita.

Pastikan diri kita terhindar daripada orang atau kumpulan yang dalam bicara mereka ada menyebut nama orang lain.

Begitu juga elakkan diri daripada menjadi individu yang gemar ‘tadah’ telinga untuk mendengar perkara yang mengaibkan orang.

Apabila tergolong sebagai pendengar, kita seolah-olah menggalakkan orang itu terus bercakap. Sedangkan setiap bicara yang dibualkan itu perkara maksiat dan berdosa besar.

Tidakkah kita turut berkongsi dosa sama? Seandainya kita berbicara mengenai hal orang lain dan perkara itu dibencinya, maka ia dikira sebagai mengumpat.

Mengumpat juga boleh ditakrifkan sebagai bercakap perkara yang benar berlaku pada diri seseorang. Apatah lagi perkara itu tidak benar sepertimana dikatakan, maka ia akan menjadi fitnah.

Memang sangat mudah mengumpat. Contohnya, kita menghadiri satu majlis perkahwinan, selepas pulang ke rumah kita mula bercakap mengenai orang tertentu seperti pengantin lelaki tidak sepadan dengan isterinya kerana dia berkulit hitam manakala isteri putih dan cantik.

Adakah kita sanggup bertemu dan memohon maaf kepada orang yang kita umpat itu? Jika kita tidak mampu berbuat demikian, maka seluruh amalan kebaikan yang kita lakukan akan terhapus dan berpindah milik kepada orang yang diumpat itu.

Jelas, begitu mudah lidah menjadi penyumbang dosa kepada manusia. Bagaimanapun, lidah juga ‘aset’ memudahkan manusia memperoleh pahala.

Allah menyatakan mengenai perkara itu dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Surah al-Hujuraat, ayat 12)

Betapa jijik amalan mengumpat itu apabila Allah bandingkannya seperti memakan daging saudara kita yang sudah mati.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hadis itu menjelaskan, seseorang hendaklah tidak bercakap kecuali dalam perkara yang memberi kebaikan. Jika ia tidak mendatangkan sebarang faedah, maka kita dituntut untuk diam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 11:24 AM