GAMBAR hiasan.
Mohd Rizal Azman Rifin

DUNIA bukan matlamat mutlak buat manusia meraih nikmat kerana ia bersifat sementara. Bagaimanapun, bukan bermakna kita perlu sentiasa tegar dengan amalan akhirat sehingga melupakan tanggungjawab dan urusan duniawi.

Islam menyuruh kita seimbangkan kedua-duanya. Dalam kesibukan mengurus hal ehwal keduniaan, jangan sesekali kita melupakan bekalan untuk menuju ke akhirat.

Tingkatkan usaha untuk beribadat dan beramal soleh kerana dengan cara itu saja kita bakal ditempatkan pada kedudukan yang tinggi di akhirat kelak.

Allah SWT menjanjikan balasan syurga yang penuh kenikmatan buat hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Nikmat itu tidak tergambar pada fikiran mereka.

Dalam surah As-Sajadah, ayat 17, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka, iaitu bermacam-macam nikmat yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.”

Apa yang Allah sediakan untuk kita di dalam syurga tidak dapat diperincikan serta tidak terfikir oleh kekuatan akal.

Allah SWT sentiasa menyeru hamba-Nya supaya beramal di dunia untuk merebut kedudukan terbaik di akhirat.

Dalam surah Ali Imran, ayat 133, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertakwa.”

Rasulullah SAW turut mengingatkan umatnya tidak lalai dengan kesibukan dunia tanpa mempedulikan urusan bekalan akhirat.

Baginda bersabda yang bermaksud: “Jadilah engkau di dunia ini seperti orang asing atau pengembara. Apabila engkau berada pada waktu petang, janganlah engkau menunggu pagi hari dan jika engkau berada pada waktu pagi hari, janganlah menunggu petang hari. Manfaatkanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu dan manfaatkanlah hidupmu sebelum datang kematianmu.” (Hadis direkodkan oleh At-Tirmizi)

Dalam surah Al-Hasyr, ayat 18, Allah menegaskan dengan firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperlihatkan apa yang dilakukannya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Allah SWT menjelaskan, hamba-Nya bertakwa itu adalah ciri terulung yang bakal mendapat nikmat syurga.

Dalam surah Ali Imran, ayat 133, Allah berfirman yang bermaksud: “Syurga disediakan (dipersiapkan) bagi orang yang bertakwa.”

Demikian juga dalam surah Maryam, ayat 63, Allah menegaskan: “Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba Kami yang selalu bertakwa.”

Dalam surah Al-Mukminun Allah SWT menyenaraikan mereka yang bakal ditempatkan dalam syurga Firdaus.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya. Dan orang yang menjauhkan dirinya daripada perbuatan dan perkataan yang tidak berguna. Dan orang yang menunaikan zakat. Dan orang yang menjaga kemaluannya. Kecuali terhadap isteri atau hamba yang mereka miliki. Sesungguhnya mereka dalam hal ini tidak tercela. Sesiapa yang mencari selain itu, mereka itulah orang yang melampaui batas. Dan orang yang memelihara amanat yang dipikul dan janjinya. Dan orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang yang akan mewarisi iaitu mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.”

Pertama dan terulung bagi meletakkan diri sebagai golongan beruntung adalah menjadi orang beriman. Orang beriman sentiasa khusyuk dalam solatnya, bukan solat yang dilakukan sambil lewa dan hambar.

Kedua, kita diarahkan menjauhkan diri daripada sebarang perbuatan serta mengeluarkan kata-kata yang tidak baik.

Mungkin kita mampu khusyuk dalam solat. Soalnya, mampukah kita pertahankan anggota badan dan lidah daripada berbuat sesuatu yang melanggar etika Islam?

Mengumpat, fitnah, berburuk sangka masih dilakukan secara terang-terangan. Jika itu ada pada kita, bermakna kita masih belum mencapai kriteria yang digariskan Allah untuk menjadi hamba yang beruntung di akhirat kelak.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 10:44 AM