GAMBAR hiasan.
AL-FIQH

1. Adakah wanita dituntut datang ke masjid untuk solat berjemaah bersama lelaki?

Makruh hukumnya bagi wanita muda atau gadis (datang ke masjid untuk solat berjemaah bersama lelaki). Begitu juga wanita yang sudah berusia datang ke masjid untuk solat jemaah dengan mengenakan bau-bauan dan memakai perhiasan.

2. Jika ternyata berlaku kekurangan atau kecacatan pada solat pertama, adakah solat ulangan yang kedua itu diambil kira?

Sekiranya anda mengetahui dan menyedari kecacatan pada solat yang pertama itu sebelum mengulangi solat yang kedua, maka solat itu sah dan memadai.

Bagaimanapun, jika diketahui kecacatan solat yang pertama itu selepas selesai mengerjakan solat yang kedua, maka ia tidak memadai.

3. Ada pendapat menyatakan, makruh solat mengikut imam yang fasik. Mana lebih baik antara mengikut imam fasik atau solat secara bersendirian atau keduaduanya sama saja?

Mengikut pendapat yang sah, solat berjemaah walaupun berimamkan imam yang fasik lebih baik daripada solat bersendirian.

4. Apakah hukum mencukur rambut di kepala? Adakah hukumnya sunat atau hanya diharuskan saja?

Membuang (sebahagian) rambut di kepala serta menjaganya dengan menyapu minyak serta menyisirnya dengan rapi lebih baik jika mampu berbuat demikian.

Jika tidak mampu, harus mencukurnya melainkan dalam beberapa keadaan tertentu seperti bercukur ketika bertahalul bagi haji dan umrah, mencukur kepala bayi pada hari ketujuh selepas dilahirkan dan bercukur bagi orang kafir yang memeluk Islam, maka bercukur adalah lebih baik.

5. Adakah terdapat nas yang menyebut Nabi Muhammad SAW bercukur dan berapa kali Baginda melakukannya?

Memang terdapat nas yang menyebut Nabi Muhammad SAW pernah bercukur iaitu sebanyak empat kali.

Kali pertama dan kedua Baginda bercukur ketika peperangan Hudaibiyah yang dilakukan oleh Kharrasy ibn Umaiyah.

Kali ketiga di Ja’ranah ketika melakukan umrah qada dan dicukur oleh Abu Hind al-Hijam manakala kali keempat ketika melakukan Hujjatul Wada’ dan dicukur oleh Mu’ammar ibn Nadhlah dan ada pendapat lain menyatakan oleh Kharrasy.

Sumber: Kitab Furu’ Al-Masa’il wa Usul Al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 11:42 AM