GAMBAR hiasan.
Datuk Dr Zahazan Mohamed

SAYA ada satu hajat dan saya sudah banyak kali berdoa, tetapi doa saya masih tidak dimakbulkan. Bagaimana cara terbaik supaya doa kita dimakbulkan Allah SWT?

Murshid, Alor Setar, Kedah

DOA adalah inti ibadat. Allah SWT menjadikan doa sebagai alat untuk hamba-Nya berhubung terus dengan-Nya selaku Maha Pencipta seluruh makhluk dan alam ini.

Imam Al-Qurtubi berkata: “Apabila ditanyakan mengapa kita sudah banyak memanjatkan doa kepada Allah tetapi masih belum juga dikabulkan?” Jawapannya kembali kepada ayat al-Quran dalam Surah al-Baqarah, ayat 186. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya tentang Aku kepadamu, maka katakanlah bahawa sesungguhnya Aku adalah dekat. Aku memperkenankan doa setiap orang yang berdoa kepada-Ku.”

Dalam Surah al-Mukmin, ayat 60 menegaskan: Dan Tuhanmu berkata: “Berdoalah kepada-Kupasti Aku kabulkan.”

Perkataan ‘Ujibu’ dalam ayat itu bermaksud: “Aku mengabulkan doa” manakala perkataan ‘astajib’ pula bermaksud “Aku kabulkan”.

Bukanlah memberi pengertian secara mutlak bahawa semua doa meliputi pelbagai bentuk pasti dikabulkan begitu saja.

Apabila satu doa ingin dikabulkan, ia mesti memenuhi beberapa syarat. Allah SWT menegaskan dalam ayat 55, Surah al- A’raf yang bermaksud: “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dengan suara yang lembut. Kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”

Justeru, merendah diri dengan suara yang lembut adalah sebahagian prasyarat sesuatu doa itu dikabulkan. Apabila seseorang terus-menerus melakukan perbuatan dosa sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, bererti dia belum bersikap merendah diri.

Orang yang melakukan dosa boleh dikatakan sebagai seorang yang sombong. Padahal Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi melampaui batas.

Apabila melakukan begitu (dosa), bagaimana doanya boleh dikabulkan. Pada hakikatnya, Allah SWT sangat menyukai setiap doa yang dipanjatkan oleh hamba-Nya.

Perihal dikabulkan di dunia atau ditunda sebagai simpanan di akhirat adalah hak Allah SWT. Dalam hal itu, Abi Sa’id Al-Khudri menegaskan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada seorang Muslim yang memanjatkan doa kepada Allah yang tidak disertai perbuatan maksiat dan memutuskan silaturahim kecuali Allah akan memberikan kepadanya salah satu daripada tiga perkara iaitu:

1. Doanya dikabulkan dengan segera di dunia.

2. Ditunda sebagai tabung akhirat.

3. Boleh jadi penolakan keburukan yang akan menimpa dirinya.

Sahabat Nabi bertanya: “Adakah kami perlu memperbanyakkan doa, wahai Rasulullah?”

Jawab Rasulullah: “Allah sangat menyintai orang yang memperbanyakkan doa.”

Ketiga-tiga perkara dalam hadis itu adalah bentuk dikabulkan satu doa.

Sebahagian ulama mengatakan, Allah SWT akan sentiasa mengabulkan doa apabila Dia menghendaki-Nya. Allah SWT berfirman dalam Surah al-An’am, ayat 41 yang bermaksud: “Maka Dia menghilangkan bahaya yang kerananya kamu berdoa kepada-Nya, jika Dia menghendaki.”

Itu termasuk bab mutlak dan muqayyad. Sebab Rasulullah SAW juga pernah memanjatkan doa mengenai tiga perkara, namun yang dikabulkan cuma dua perkara saja.

Perkara itu dinyatakan dalam kitab Tafsir Al-Qurtubi. Sebagaimana yang dikemukakan seorang sahabat Sa’ad bin Abi Waqas: “Pada suatu hari Rasulullah SAW pulang dari daerah pergunungan yang berada di Madinah. Baginda melalui sebuah masjid milik Bani Mu’awiyah, kemudian masuk ke dalam dan melakukan solat sunat dua rakaat. Kami para sahabat ikut pula melakukan solat sunat berserta Rasulullah SAW.” (Hadis riwayat Muslim)

Sesudah itu, Rasulullah SAW berdoa kepada Allah dengan doa yang sangat panjang. Baginda menghadap kepada kami seraya bersabda: “Saya sudah berdoa kepada Allah dengan doa yang sangat panjang dengan sabdanya yang bermaksud: “Saya berdoa kepada Allah tentang tiga perkara, namun hanya dua saja dikabulkan, sementara satu lagi tidak dikabulkan oleh Allah. Aku memohon kepada Allah SWT agar umatku jangan dihancurkan dengan datangnya musim kurangnya bahan makanan, kemudian dikabulkan oleh Allah.

“Saya memohon kepada Allah agar umatku tidak dikalahkan oleh musuh. Kemudian dikabulkan oleh Allah SWT. Dan saya memohon kepada Allah agar di antara umatku jangan sampai berlakunya perselisihan, kemudian yang satu ini tidak dikabulkan oleh Allah SWT.”

Apa yang penting bagi kita ialah sentiasa memelihara dan menjaga etika dalam berdoa dan pra-syarat yang ada di dalamnya.

Dengan demikian, kemungkinan doa dikabulkan adalah lebih besar, insya-Allah.

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 3:04 PM