GAMBAR hiasan.
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

“Apabila seseorang memeluk Islam, mereka yang bukan Islam beranggapan bahawa anda sudah menjadi Melayu. Oleh kerana menjadi Muslim sangat dikaitkan dengan menjadi Melayu, jadi kawan-kawan saya berasa kehairanan, mereka fikir saya akan menjadi Melayu, mengikuti budaya Melayu.”

Begitulah pengakuan seorang tokoh korporat wanita, Saralyn Hor yang menerima Islam. Apakah benar apabila seseorang akan menjadi Melayu apabila menerima Islam sebagai agamanya?

Disebabkan majoriti beragama Islam di Malaysia adalah orang Melayu, maka masyarakat bukan Islam melihat kaitan dan hubungan Islam itu dengan Melayu.

Islam dipraktikkan mengikut acuan tempatan iaitu budaya Melayu. Bagaimana pula bangsa lain yang menerima Islam?

Apakah mereka juga perlu mengikut budaya sama seperti orang Melayu Islam? Salah satu halangan utama dalam menyampaikan kefahaman Islam kepada masyarakat Cina bukan Islam adalah memberitahu mereka bahawa seseorang Cina Muslim tidak mengubah budaya mereka dan menjadi orang Melayu (Mhd Omar & Syed Ismail al-Qudsy, 2016)

Oleh yang demikian, mengekalkan budaya Cina penting bagi masyarakat Cina Muslim dalam menyampaikan mesej Islam.

Pada umumnya, masyarakat Cina di Malaysia melihat budaya Islam sebagai budaya orang Melayu. Mereka menganggap Islam itu asing dan menjadi ancaman kepada budaya mereka.

Seseorang yang menerima Islam dalam kalangan orang Cina dikatakan secara langsung akan mengubah budayanya menjadi orang Melayu.

Bangsa dan agama adalah dua perkara berbeza. Bangsa akan kekal bagi seseorang dan tidak boleh diubah walaupun ada yang tidak mahu kepada bangsanya sendiri.

Budaya sesuatu bangsa juga adalah lambang identiti masing-masing. Agama pula adalah kepercayaan dan keimanan seseorang merujuk kepada ketuhanan.

Orang Cina amat bangga dengan budaya mereka. Budaya adalah identiti mereka. Konsep bangsa dan etnik adalah berdasarkan kepada identiti. (Brubaker & Cooper, 2000)

Bagi masyarakat Cina Muslim di Malaysia, selepas memeluk Islam, pada kebiasaannya mereka akan menghadapi dilema identiti sama ada ingin mengekalkan identiti Cina atau identiti Islam.

Identiti Islam selalu digambarkan sebagai Melayu. Ia membentuk persepsi dan pemahaman bahawa untuk menjadi seorang Muslim di Malaysia mereka perlu menjadi orang Melayu dan begitulah sebaliknya.

Bagi sesetengah orang, persepsi itu terus berkembang dalam erti kata mereka yang menjadi Muslim bukan saja perlu menjadi Melayu tetapi turut melepaskan identiti bangsanya.

Ada yang beranggapan dia bukan lagi berbangsa Cina selepas menjadi seorang Muslim. Oleh sebab itu, masyarakat Cina Muslim perlu faham serta dapat membezakan antara adat budaya dengan ajaran agama seperti yang diamalkan masyarakat Melayu Islam.

Maka, akan lahir satu identiti Cina Muslim unik yang mengekalkan budaya bangsa yang tidak bertentangan dengan syariat Islam, seterusnya beramal dengan ajaran Islam sebenar.

Cina Muslim juga tergolong dalam komuniti Cina dan Melayu kerana mereka berkongsi atau mempunyai beberapa persamaan.

Mereka tergolong dalam komuniti Cina tetapi menganut agama komuniti Melayu. Dalam konteks Malaysia, Cina Muslim dianggap minoriti berganda iaitu minoriti Muslim dalam kalangan majoriti Cina bukan Islam dan minoriti Cina dalam kalangan masyarakat Melayu Islam.

Sebagai umat Islam, tanpa mengira bangsa atau suku kaum mereka harus merasakan semua umat Islam itu bersaudara.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudaramu itu dan bertakwalah terhadap Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah Al-Hujurat, ayat 10)

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 12:53 PM