GAMBAR hiasan.
Fadly Samsudin

Pada hari akhirat kelak, semua manusia akan dibangkitkan sebagaimana keadaan mereka dilahirkan iaitu tidak berpakaian dan dalam keadaan tidak berkhatan.

Allah SWT menyatakan mengenai perkara itu menerusi firman-Nya dalam Surah al-Anbiya’, ayat 104 yang bermaksud: “Sebagaimana Kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, Kami ulangi wujudnya lagi sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami, sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya.”

Di sana manusia akan diasingkan kepada dua kumpulan iaitu golongan kanan dan golongan kiri. Ketika itu, ada sekumpulan manusia dalam kalangan umat Nabi Muhammad SAW diambil oleh malaikat lalu diletakkan dalam golongan kiri.

Sudah pasti yang kiri itu adalah golongan bermasalah. Ketika melihat umatnya diambil malaikat dan digolongkan dalam kumpulan kiri, Nabi Muhammad SAW berkata kepada Allah, itu adalah umatnya.

Seboleh-bolehnya Baginda tidak mahu sahabat serta umatnya disentuh api neraka. Allah SWT berkata, Baginda tidak tahu apa yang umatnya lakukan selepas kewafatannya.

Lalu Nabi SAW berkata, ketika hidup, Baginda menjadi saksi atas Islam dan berimannya semua sahabatnya.

Baginda akan membaca semula ayat al-Quran yang pernah dibaca Nabi Isa. Ayat daripada Surah al-Maaidah, ayat 117 itu bermaksud: “Aku menjadi saksi terhadap mereka (dengan membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah) selama aku berada dalam kalangan mereka, kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka dan Engkau jualah yang menjadi saksi atas tiap-tiap sesuatu.”

Dalam ayat seterusnya dalam surah sama menyatakan, sekiranya Allah SWT memutuskan untuk memberi azab kepada mereka, tiada siapa yang dapat menghalang atau melawannya.

Bagaimanapun, Nabi SAW tetap berusaha dan memilih untuk membaca ayat itu supaya Allah SWT mengurniakan belas ihsan kepada umatnya yang tergolong dalam kumpulan kiri itu.

“Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba-Mu dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah saja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Maaidah, ayat 118)

Walaupun bilangan manusia ketika itu terlalu ramai, Nabi SAW tetap mengenali umatnya. Ia berdasarkan kepada anggota wuduk mereka yang bercahaya.

Cerita mengenai akhirat sememangnya sangat menggerunkan. Dalam sebuah hadis daripada Saidina Abu Bakar As-Siddiq, beliau menceritakan, pada satu hari Nabi SAW membuat satu perkara pelik.

Nabi SAW keluar pergi ke masjid untuk menunaikan solat subuh. Selepas solat Subuh, Baginda duduk sehingga masuk waktu dhuha.

Selepas menunaikan solat dhuha, tiba-tiba Nabi SAW ketawa. Perkara itu dilihat oleh sahabat Baginda. Kemudian, Nabi duduk dan tunggu sekali lagi di tempat itu sehingga Nabi solat Zuhur, Asar dan Maghrib.

Sepanjang tempoh itu, Nabi tidak bercakap dengan sesiapa pun. Sehingga Nabi SAW solat Isyak, kemudian Baginda bangun dan pulang ke rumah.

Sahabat kemudian bertanya kepada Abu Bakar, kenapa Nabi tidak bercakap dengan mereka sejak subuh. Lalu Abu Bakar pergi ke rumah Nabi untuk mendapatkan kepastian.

Nabi Muhammad SAW menjelaskan kepada Abu Bakar, dalam tempoh itu Allah SWT memperlihatkan kepadanya kisah dunia dan akhirat.

Baginda berkata, seluruh manusia akan dihimpunkan di padang mahsyar dalam keadaan wajah mereka dalam ketakutan.

Di sana keadaan matahari terpacak sejengkal di atas kepala, seluruh manusia ketika itu akan tenggelam dalam peluh masing-masing sementara menunggu masa untuk dihitung.

Lalu pada ketika itu, akan ada manusia bercakap sesama mereka dan mahu mencari sesiapa yang dapat membantu untuk melepaskan diri daripada keadaan penuh seksa itu.

Dalam satu hadis dinyatakan, mula-mula mereka akan mencari Nabi Adam untuk minta pertolongan. Ini disebabkan Nabi Adam adalah bapa kepada seluruh manusia.

Bagaimanapun, Nabi Adam tidak dapat membantu dan mencadangkan mereka berjumpa Nabi Nuh. Begitu juga dengan Nabi Nuh, baginda tidak berupaya untuk menolong dan mencadangkan supaya bertemu Nabi Ibrahim.

Jawapan sama diberikan Nabi Ibrahim yang menyatakan baginda tidak mampu memberi pertolongan. Nabi Ibrahim kemudian mencadangkan mereka berjumpa Nabi Musa.

Jawapan sama diberikan Nabi Musa kerana pada hari itu baginda turut mempunyai hal dengan Allah SWT. Lalu Nabi Musa seterusnya mencadangkan mereka berjumpa Nabi Isa.

Nabi Musa berkata, Allah SWT memberikan Nabi Isa banyak keistimewaan dan mukjizat antaranya mampu mencelikkan orang buta, menyembuhkan orang kena penyakit sopak dan paling hebat, baginda boleh menghidupkan orang mati atas keizinan Allah SWT.

Bagaimanapun, apabila sampai kepada Nabi Isa, baginda juga tidak boleh memberi pertolongan tetapi mencadangkan supaya berjumpa penghulu kepada seluruh manusia iaitu Nabi Muhammad SAW.

Akhirnya, apabila dapat berjumpa Nabi Muhammad SAW, Baginda terus berdoa kepada Allah SWT supaya dapat membantu umatnya.

Malaikat Jibril bertemu Allah SWT lalu Allah memerintahkannya supaya memberitahu Nabi Muhammad Dia mengizinkan Baginda memberikan syafaat kepada sesiapa saja.

Malaikat Jibril kemudian datang berjumpa Nabi Muhammad SAW untuk menyampaikan hal berkenaan. Nabi Muhammad SAW yang mendengar berita gembira itu terus sujud sebagai tanda syukur.

Nabi SAW terharu kerana Allah SWT memberi peluang kepadanya memberikan syafaat serta pertolongan yang membolehkan umatnya mendapat syurga.

Begitulah betapa kasih dan sayang Nabi Muhammad SAW kepada umatnya. Sehubungan itu, jangan sesekali kita berputus asa untuk melakukan amalan kebaikan serta mencari rahmat dan belas kasihan daripada Allah SWT.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 12:40 PM