GAMBAR hiasan
Mohd Rizal Azman Rifin

Islam bukan saja melarang umatnya mencaci dan memaki-hamun, tetapi turut mengharamkan sebarang tindakan yang boleh membawa kepada bibit-bibit perbuatan itu seperti mengejek atau menyindir.

Kehidupan moden pada hari ini menyaksikan banyak perilaku bertentangan amalan dan etika sosial apabila timbul pelbagai perbuatan menyeleweng daripada landasan dibenarkan agama.

Perkara itu berlaku kerana terkeliru dengan budaya dan nilai hidup. Apa saja perbuatan mencetuskan perbalahan, ia tetap dihukum haram.

Allah SWT mengingatkan, sebarang perilaku yang boleh menyakiti orang mukmin tanpa kesalahan yang mereka lakukan boleh menyebabkan seseorang itu berdosa dan dilaknat Allah.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab, ayat 58 yang bermaksud: “Dan orang yang menyakiti orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka memikul pembohongan dan dosa yang nyata.”

Imam Abu Daud mencatat sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak disebut insan beriman manusia yang suka mencela, melaknat melakukan perkara keji dan bercakap kotor.”

Dikisahkan juga pada suatu hari, isteri Rasulullah SAW, Aisyah berkata kesat terhadap orang kafir yang memusuhi Islam.

Lantas Baginda SAW menegur perbuatan isterinya dengan bersabda, “Hentikanlah wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah tidak menyukai perbuatan menghina dan perbuatan keji.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Seorang sahabat Rasulullah SAW, Abu Ayyub al-As’ary memberitahu bahawa Baginda SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak ada seorang pun yang menghina seorang Muslim di satu tempat yang padanya dia dinodai harga dirinya dan dirosakkan kehormatannya, melainkan Allah akan menghina orang yang menghina itu di tempat yang dia inginkan pertolongan-Nya. Dan tidak seorang pun yang membela seorang Muslim di tempat padanya dia dinodai harga dirinya dan dirosakkan kehormatannya, melainkan Allah akan membela orang yang membela itu di tempat yang dia menginginkan pembelaan-Nya.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud)

Imam At-Tirmizi meriwayatkan sabda Rasulullah SAW yang bersumberkan kisah Jabir bin Salim, beliau memberitahu, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Janganlah kamu mencaci sesiapa pun. Maka saya berkata dalam (berjanji) diriku, maka mulai saat itu saya tidak pernah lagi mencaci sama ada kepada orang merdeka, hamba, unta mahupun kambing.”

Sambung Jabir lagi, “Aku juga pernah mendengar yang Rasulullah SAW bersabda, ‘Janganlah kamu mengambil ringan perbuatan baik walaupun sedikit. Berbicaralah kepada saudaramu dengan wajah yang berseri-seri kerana hal itu juga satu kebaikan. Angkat sarungmu sehingga setengah betis. Jika kamu enggan maka julurkan seperti di atas buku lali. Janganlah kamu melakukan isbal kerana isbal itu adalah perbuatan sombong. Apabila ada seseorang yang mencela dan mencacimu dengan sesuatu yang dia ketahui mengenai dirimu, maka jangan kamu membalas celaannya dengan sesuatu yang kamu ketahui mengenai dirinya kerana akibat buruknya hanya akan menimpa dirinya sendiri.’”

Lihat betapa indahnya ajaran Rasulullah SAW kepada umat Islam dalam meniti kehidupan bermasyarakat. Perkara yang memungkinkan tercetusnya perbalahan dan permusuhan, awal-awal lagi sudah ditegah.

Semua itu demi mengharmonikan hidup bermasyarakat. Seandainya kita menuruti dan akur dengan pendidikan yang ditinggalkan Baginda SAW, sudah pasti kehidupan masyarakat kekal harmoni tanpa diganggu dengan ‘drama’ permusuhan.

Rasulullah SAW turut menasihatkan umatnya supaya bersabar, tenang jiwa ketika berhadapan dengan manusia berperangai negatif seperti suka mencaci dan menghina.

Seorang lagi sahabat karib Baginda SAW bernama Abdullah bin Umar memberitahu, beliau pernah mendengar Rasulullah SAW memberikan panduan ketika berhadapan orang yang suka mencaci, mengejek dan menghina.

Kata Abdullah, Baginda SAW nasihatkan umatnya, “Apabila seseorang mencacimu dengan sesuatu yang dia ketahui, maka janganlah kamu membalasnya dengan sesuatu yang kamu mengetahui mengenai dirinya. Sebab dengan itu, kamu mendapat pahala, sedangkan dia akan mendapat akibat buruknya.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud)

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, perbuatan menyindir atau troll berisiko mewujudkan permusuhan sesama manusia serta menyalahi hukum syarak.

Perbuatan troll sebagai situasi membimbangkan kerana disebarkan dalam pelbagai konteks termasuk mesej bertulis, klip video pendek dan gambar yang diubah suai dengan dialog dicipta sendiri.

Kebanyakan troll yang disebarkan mengandungi unsur menghina, memperlekeh, menyindir, mengejek nama, tubuh badan dan perilaku.

Kegiatan itu berisiko menyebarkan pendustaan, membangkitkan permusuhan, menyemai kebencian dan menjatuhkan maruah individu yang menjadi mangsa pebuatan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan, perbuatan troll adalah haram jika digunakan sebagai alat menyebarkan pendustaan, permusuhan dan perbalahan antara manusia, apatah lagi sesama Muslim.

Bagaimanapun, dalam kenyataan itu juga dinyatakan, jika troll dilakukan hanya sekadar sindiran menggunakan bahasa kiasan tanpa menjatuhkan maruah peribadi seseorang, tetapi lebih kepada teguran atau nasihat secara berhikmah, ia tidak menjadi masalah.

Media sosial adalah alat komunikasi bagi memudahkan manusia berhubung. Hukum asal menggunakannya juga harus sekiranya tujuan dan kaedah penggunaannya tidak melanggar hukum syarak.

Biarpun bukan dalam bentuk percakapan, tangan yang menulis, berkongsi serta menyebarkan itu akan menjadi saksi di atas apa yang dilakukan.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 1:00 PM