GAMBAR hiasan.
Kembara Mukmin

Antara ciri-ciri seorang mukmin adalah sentiasa berusaha menepati janji termasuk janji yang harus, apatah lagi pada perkara yang wajib dipenuhinya. Apabila ingkar terhadap sesuatu perjanjian, itu adalah tanda orang yang mempunyai ciri kemunafikan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada empat sifat jika semuanya terdapat pada diri seseorang, maka bererti dia adalah seorang munafik. Jika hanya salah satu daripada empat sifat itu ada dalam diri seseorang, bererti di dalam dirinya ada sifat kemunafikan sehingga dia meninggalkannya. Keempat-empat sifat itu adalah jika diserahkan amanat atau kepercayaan, dia mengkhianatinya, jika berbicara, dia berbohong, jika mengadakan perjanjian, dia merosakkannya dan jika berselisih faham, dia terlalu berlebihan dan melampaui batas.” (Fathul Mubdii)

Dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!” (Surah as-Saff,
ayat 2)

Allah SWT menyanjung hamba-Nya yang diri mereka sentiasa berusaha untuk menepati janji.

Perjanjian seorang hamba beriman dengan Allah SWT adalah yang paling istimewa. Setiap mukmin bersaksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Maka, dengan perjanjian itu kita perlu menjadi orang yang beriman.

Orang beriman juga diseru memenuhi perjanjian dan hukum syariat di dunia ini manakala orang kafir tidak diminta berbuat demikian, tetapi mereka tetap akan dihukum di akhirat kelak.

Selain itu, Rasulullah SAW turut memerintahkan umatnya sentiasa bersikap jujur, menepati janji serta menjauhkan diri daripada sifat khianat dan menipu.

Perintah Allah SWT supaya manusia menepati janji kerana ia sebahagian daripada ketakwaan.

Allah SWT memuliakan orang yang dalam dirinya memiliki sifat menepati janji dengan memberinya ganjaran pahala.

Dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai Bani Israel! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang Aku berikan kepada kamu dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) dengan-Ku supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu dan kepada Aku sahaja hendaklah kamu berasa gerun takut (bukan kepada sesuatu yang lain).” (Surah al-Baqarah, ayat 40)

Jika terdapat janji pahala atas sifat menepati janji, maka bagi mereka yang ingkar juga terdapat ancaman seksa kerana merosakkan janji.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “… dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.” (Surah Al-Israa’, ayat 34)

Dalam kitab Ihya Ulumiddin, Ali bin Abi Talib berkata, “Rasulullah SAW adalah orang yang paling memenuhi janji.”

Pada diri Rasulullah SAW sentiasa dihiasi sifat dan akhlak dalam urusan menjaga serta menunaikan janji sama ada janji itu dibuat secara bertulis secara rasmi atau berbentuk ucapan.

Segala perkara yang dijanjikan terhadap diri sendiri atau orang lain, Rasulullah SAW tidak pernah mengkhianatinya walaupun terhadap musuh Baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 12:46 PM