GAMBAR hiasan.
Mohd Shahrizal Nasir

SATU ketika dulu, jika hendak mengakses Internet tempatnya di kafe siber. Sebelum dapat menggunakan komputer, perlu membuat bayaran terlebih dahulu di kaunter.

Penggunaannya juga terhad membabitkan e-mel dan beberapa capaian tertentu. Masa terus berubah, kini hampir setiap orang dewasa memiliki telefon pintar dengan kemudahan Internet.

Bukan saja orang dewasa, ada juga kanak-kanak lebih mahir mengakses Internet menggunakan telefon sendiri atau meminjamnya daripada ibu, ayah atau orang dewasa.

Jika diperhatikan di kedai makan contohnya, ketika sedang menunggu makanan sampai, ada dalam kalangan keluarga duduk di meja sama namun masing-masing sibuk dengan telefon.

Mereka tidak bercakap, sebaliknya leka mengakses Internet menggunakan telefon. Pada zahirnya mereka bersama, tetapi masing-masing berada dalam dunia sendiri.

Ia dilihat tidak manis apabila perbualan berlangsung antara ahli keluarga tanpa memandang muka antara satu sama lain.

Itulah antara suasana yang melanda masyarakat kita hari ini. Telefon dan segala aplikasi media sosial menjadi punca hubungan komunikasi kian hambar atau disaluti keruntuhan adab.

Islam amat mementingkan hubungan sesama insan khususnya membabitkan sesama ahli keluarga. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu…” (Surah al-Isra’, ayat 24)

Perbuatan berbicara dengan ibu bapa tanpa memandang wajah mereka menyalahi perintah Allah SWT. Setiap anak perlu sentiasa merendah diri dan bersifat belas kasihan terhadap ibu bapa.

Bukan itu saja, ramai juga menggunakan Internet melalui telefon untuk mengakses kandungan yang tidak memberi manfaat seperti mencari berita peribadi individu tertentu.

Akhirnya, sesuatu bersifat peribadi dan memalukan menjadi tatapan umum dan dijadikan bahan cerita tanpa kesudahan.

Tidak kurang juga ada yang terjebak dengan tabiat menyebarkan berita palsu dengan tujuan tertentu sehinggakan berita palsu itu tersebar dan sukar diperbetulkan lagi.

Masyarakat awam pula sangat mudah mempercayai berita palsu itu dan turut menyebarkannya tanpa dibuktikan terlebih dahulu kesahihannya.

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya bahaya perbuatan berbohong. Sabda Baginda bermaksud: “Dan jauhilah oleh kalian perbuatan dusta kerana dusta membawa seseorang kepada kejahatan dan kejahatan menghantarkan seseorang ke neraka. Dan jika seseorang sentiasa berdusta dan memilih kedustaan, maka akan dicatat di sisi Allah sebagai pendusta (pembohong).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Perlakuan tanpa usul periksa membuka ruang pelakunya menjadi mangsa penipuan atau pelbagai bentuk jenayah lain.

Dalam melayari aplikasi yang terdapat dalam Internet, pengguna perlu sedar ia dikendalikan pihak lain dan sudah pastinya kebanyakan mereka bukan Muslim.

Hari ini kelihatan ramai terjebak dengan aplikasi tertentu dalam media sosial. Contohnya, ada membabitkan penyenaraian maklumat anak-anak dan ahli keluarga termasuk nama, tarikh lahir, maklumat fizikal dan sebagainya.

Terdapat juga aplikasi yang dapat mencipta wajah seseorang bertukar muda, tua, berlawanan jantina dan seumpamanya.

Terkini, perbandingan gambar individu untuk tempoh 10 tahun. Ramai yang terjebak melakukannya secara sedar tanpa paksaan untuk tujuan suka-suka sahaja.

Namun, tidak mustahil ada pihak sedang mengumpul data tertentu, maka dengan mudah mendapatkannya melalui capaian Internet yang dikawal mereka.

Mereka yang mencipta aplikasi itu sudah pasti dapat mengawal serta menyimpan rekodnya. Itulah yang terjadi dalam dunia hari ini.

Kita tergoda dengan sesuatu yang nampak seperti tidak berbahaya, tetapi sedarkah kita mereka tidak melakukan itu untuk sia-sia, pasti ada tujuan dan cita-cita tertentu.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Daripada kebaikan keislaman seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berguna baginya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Ayuh kita tinggalkan perkara yang tidak membawa faedah dalam kehidupan. Fokus kepada perkara yang diperintahkan Allah SWT. Kita suka membaca pelbagai cerita dalam Internet, tetapi tidak ada masa pula untuk membaca al-Quran walaupun sedikit.

Kita boleh memegang telefon pintar berjam-jam lamanya, namun berat untuk beristighfar dan mengingati Allah SWT. Ingatlah, syaitan tidak akan membiarkan kita masuk ke dalam syurga dengan mudah.

Lantas syaitan menjadikan manusia sentiasa sibuk dengan perkara yang boleh menjauhkan diri mereka daripada agama.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 1:15 PM